Tipu Daya Iblis: Sertai Pertubuhan Yang Baik Untuk Menunjukkan Dia Baik

Berkata Imam Al-Jauzi: 

“Daripada tipu daya Iblis ke atas orang awam, mereka hanya menyertai kumpulan yang baik dan setelah itu dia tidak kisah dengan apa yang akan dilakukan selepas itu. Di antara mereka berkata, ‘Aku termasuk Ahlus Sunnah. Dan pada Ahlus Sunnah itu terdapat kebaikan.’ Lalu setelah itu dia tidak menghindari kemungkaran. Dan dikatakan kepadanya, menjaga akidah adalah kewajipan. Dan meninggalkan maksiat adalah satu kewajipan satu yang lain dan seseorang itu tidak boleh memilih hanya salah satu daripadanya. Penganut Rafidhah juga berkata, ‘Kami harus dibela kerana kesetiaan kami terhadap Ahlul Bait.’ Padahal mereka hanya berdusta. Padahal takwalah yang memelihara kita (daripada seksaan dan pembalasan bukannya sekadar mendakwa dengan kata-kata ‘kami pencinta ahlul bayt’).”

Syarah dan Tahqiq:

Ada daripada kalangan orang awam yang menyertai sesebuah pertubuhan atau persatuan yang baik, tetapi tetap tidak melakukan kebaikan. Contohnya, seseorang itu menyertai sebuah pertubuhan yang menegakkan ajaran Islam, tetapi dia sekadar menyertainya sahaja tanpa melakukan apa-apa kebaikan.

Lebih teruk lagi, kejahatan yang dilakukannya sebelum dia masuk ke dalam pertubuhan itu, tetap diteruskannya tanpa ada rasa bersalah. Walhal, menyertai sesebuah pertubuhan yang baik, tidak menjamin dirinya akan menjadi baik.

Walau bagaimanapun dengan menyertai sesebuah pertubuhan yang baik, jalan kepadanya untuk melakukan kebaikan akan menjadi mudah.

Terdapat juga sekumpulan orang awam yang lain, yang menyertai sesebuah pertubuhan yang baik, tetapi sikapnya tetap tidak baik. Contohnya, seseorang yang telah berada di dalam sesebuah pertubuhan yang baik, tetapi dia terus berkata buruk dengan mengeluarkan kata-kata kesat, mencaci, dan menghina kumpulan yang lain dan menganggap bahawa kumpulannya sahajalah yang benar. Sedangkan dia tidak menyedari bahawa Iblis telah berjaya menusukkan tipu dayanya secara diam.

Rujukan: Al-Adab Asy-Syar’iyah, Ibnu Muflih rahimahullah, 2/418.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis – Syarah Terpilih Kitab Talbis Iblis Ibnu Al-Jauzi, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑