أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ (٧٧)
Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
(Surah Al-Qasas 28:77)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk Kebahagiaan Abadi.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Kebahagiaan adalah perkara yang subjektif menjurus kepada perasaan gembira, damai dan tenang. Perasaan ini bukanlah dijamin berada di dalam diri semua manusia sebaliknya boleh diraih meskipun bagi golongan fakir dan miskin. Ada orang yang merasa bahagia dan tenang kerana memiliki harta yang banyak atau melakukan kerja dakwah dan kebajikan. Manakala ada yang merasa bahagia dengan jawatan dan kedudukan. Jelasnya menunjukkan ada pelbagai tafsiran dan ungkapan bahagia yang boleh disimpulkan pengertiannya.
Menurut Imam al-Ghazali, bahagia adalah ketika manusia berada di puncak ketakwaan dan ianya merupakan sebesar-besar nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Oleh itu, dalam melayari bahtera kehidupan, setiap manusia tercari-cari apakah erti sebenar kebahagiaan hidup? Namun, tidak semua manusia menemuinya kerana tidak memahami maksud sebenar kebahagiaan itu. Apabila kita memahami hakikat kebahagiaan, kita tidak merasa tertarik dengan kenikmatan dan habuan dunia. Lumrahnya, kehidupan pada hari ini membuatkan semakin ramai manusia lebih mementingkan harta benda, mengejar kemewahan berbanding kebahagiaan hidup. Begitu juga, populariti menjadi keutamaan hidup untuk disanjung dan dipuji meskipun jauh dilubuk hati tidak merasai ketenangan dan kebahagiaan, ibarat untung ada tuah tiada.
Hadirin jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Syariat Islam amat menitikberatkan soal kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini kerana, kejayaan hidup di dunia merupakan jambatan menuju akhirat yang kekal abadi. Kebahagiaan dalam Islam meliputi ketaqwaan kepada Allah SWT, melakukan kebaikan kepada orang lain, syukur dan reda dengan ujian, menjaga hubungan dengan Allah SWT serta mencari keseimbangan hidup di dunia dan di akhirat. Manakala, mendambakan kebahagiaan di dunia merupakan asas lahirnya generasi yang bertaqwa yang mewarisi kecemerlangan umat manusia.
Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat. Doa ini juga disebut dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 201:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ya tuhan Kami! kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari azab api neraka-Mu, Ya Allah!”
(Surah al-Baqarah 2:201)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Apabila kita menghayati konsep kebahagiaan dalam Islam, ianya anugerah ketenangan hati dan ketenteraman jiwa yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Namun, kurniaan ini perlu direnung secara mendalam dengan memahami kebahagiaan hidup di dunia tidak kekal dan amat jauh bandingannya dengan kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Begitu juga, kenikmatan dan kebahagiaan di dunia merupakan ujian kepada manusia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 7:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى ٱلْأَرْضِ زِينَةًۭ لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا (٧)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik perbuatannya”
(Surah Al-Kahf 18:7)
Sesungguhnya kebahagiaan hidup di dunia ini bersifat sementara kerana Allah SWT tidak menjadikan dunia sebagai matlamat hidup manusia. Namun, dunia merupakan bekalan menuju kebahagiaan hakiki. Oleh itu, berpadalah mencari kenikmatan dunia. Jangan sampai melupakan akhirat yang kekal abadi. Hidup yang berlandaskan aturan Ilahi menjadikan kita merasai nikmat kedamaian dan kebahagiaan sejati. Ketahuilah, kemewahan hidup dengan wang ringgit, pangkat, kedudukan, harta benda dan anak-anak belum menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ini kerana, kebahagiaan hakiki tidak bersandar kepada memiliki harta benda semata-mata, tetapi ia berkaitan dengan tujuan dan matlamat utama kita diciptakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Dzariyat ayat 56:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”
(Surah Al-Dzariyat 51:56)
Ada ketikanya, demi mengecapi kemewahan duniawi, ramai yang sanggup mengorbankan kebahagiaan diri dan insan yang berada disekeliling. Bekerja siang dan malam ibarat kaki naik kepala tanpa mempedulikan masa bersama keluarga, ibubapa dan saudara-mara. Manakala, hubungan ukhuwah di antara tetangga dan sahabat diabaikan dan dilupakan. Akhirnya, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi renggang dan jauh sekali wujud kasih sayang dan kebahagiaan. Renungkan firman Allah SWT dalam surah al-Thaghabun ayat 15:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ (١٥)
Maksudnya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan disisi Allah jualah pahala yang besar.”
(Surah Al-Thaghabun 64:15)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Kebahagiaan merupakan nikmat anugerah Allah SWT yang tiada nilainya. Anugerah ini tidak diberikan kepada mereka yang sentiasa mengabaikan hukum-Nya. Kebahagiaan ini hanya diberikan kepada mereka yang hampir dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bagi mukmin yang beriman, kebahagiaan hidup akan hadir apabila menyakini setiap rezekinya telah ditentukan oleh Allah SWT, maka segala pemberian Allah SWT adalah yang terbaik untuk dirinya.
Oleh itu, ia akan merasa tenang dengan meyakini qada dan qadar ketentuan dari Allah SWT. Sebaliknya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT akan sentiasa merasa gelisah, bimbang dan sedih kerana tidak memiliki keimanan kepada takdir-Nya. Begitu juga, setiap mukmin perlu selalu bersedia dengan musibah dan ujian yang datang pada bila-bila masa. Jika berhadapan dengan sesuatu musibah, hatinya telah bersedia menerima ujian dengan sabar. Secara tidak langsung ia merasakan kebahagiaan dalam hati orang-orang beriman.
Orang yang beriman sangat yakin bahawa kehidupan di dunia tidak kekal, oleh itu hatinya tidak teruja apabila mendapatkannya dan tidak bersedih apabila kehilangannya. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak beriman hatinya selalu lalai dan tenggelam dalam kenikmatan duniawi. Apabila ditimpa ujian mereka merasakan sangat berat untuk ditanggung dengan hati yang jauh dan kosong daripada mengingati Allah SWT. Oleh itu, kelompongan rohani mereka telah diisi dengan sifat bimbang dan risau takut kehilangan nikmat dunia.
Hadirin Jumaat yang dikasihi,
Bagi menjamin kelangsungan kebaikan hidup di dunia dan bahagia di akhirat dengan menjana kehidupan yang cemerlang, kita perlu konsisten bertaubat serta berazam untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosadosa besar ataupun kecil dengan mempelajari dan mempertingkatkan ilmu, menyesal atas perbuatan dosa-dosa yang lalu serta bertekad tidak mengulanginya. Di samping itu, kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dapat dibina dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang syumul dan mempelajarinya, mengenali zat Allah SWT serta mengetahui sifat-sifat kesempurnaan-Nya.
Dengan itu, roh dan jiwa akan diisi dengan ketaatan dan ketaqwaan yang mendorong melakukan amalan soleh dan menjauhi segala larangan sehingga terbinanya rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Ia memupuk sifat cintakan agama serta rela berjuang dan menjunjung tinggi syiar dan ajaran Islam.
Kebaikan juga akan muncul apabila kita sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT meskipun dilihat kurang dimata manusia. Yang besar itu tidak semestinya bahagia, yang cantik belum tentu kekal namun dengan bersyukur jiwa akan tenteram dan bahagia. Sehubungan itu, tidak salah mengambil sebahagian daripada kenikmatan dunia asalkan digunakan sebagai bekalan untuk meraih kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jadikan dunia sebagai destinasi persinggahan sementara, sebelum menuju ke alam yang kekal abadi. Ini kerana dunia bukan matlamat utama dalam kehidupan kita. Daripada Abdullah bin Umar Radhiallahuanhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
Maksudnya: “Jadilah hidup engkau di dunia seperti orang asing atau musafir”.
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
- Umat Islam hendaklah yakin dan berpegang bahawa beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia adalah satu tuntutan untuk kebahagiaan yang kekal abadi.
- Umat Islam hendaklah yakin bahawa apabila hati dan akal tunduk pada ketetapan ilahi maka kebahagiaan dan ketenangan akan menjadi miliknya yang menjadikan kebahagiaan selama lamanya.
- Umat Islam yang tahu tujuan kehidupan sebenar yang hakiki dan abadi akan sentiasa tenang, reda, syukur dan bertawakal dengan ketentuan Ilahi.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍۢ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓا۟ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ (٩٦)
Maksudnya: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah al-Nahl 16:96)
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Tarikh Dibaca: 28 Jun 2024M l 21 Zulhijjah 1445H
Leave a comment