Teks Khutbah Jumaat (WP):  Audit Diri Pencetus Kecemerlangan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍۢ سُوٓءًۭا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” 

(Surah Ar-Ra’d 13:11)

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkanlah amal ketaatan sebagai persiapan dan bekalan untuk kita bawa ke negeri akhirat yang kekal abadi. Khatib juga ingin mengingatkan, berikanlah sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan Allah SWT meredhai dan menerima segala amalan soleh kita semua. 

Meniti hari-hari terakhir di tahun 1445H, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Audit Diri Pencetus Kecemerlangan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran kita persembahkan ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan limpahan anugerah dan nikmat kepada kita. Sehingga ke saat ini rahmat dan kasih sayang Allah SWT masih berlangsung kepada kita dan tidak pernah berkurang. Sudah tentu banyak perkara suka duka, kejayaan dan kegagalan yang telah kita lalui sepanjang tahun 1445 hijrah ini. Itulah resam kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran untuk Allah SWT menguji siapakah yang paling baik dan bertakwa dari kalangan hamba-hamba-Nya.

Untuk memastikan semua yang telah dilalui memberi impak positif dalam diri, kita perlu mengaudit diri dan bermuhasabah. Muhasabah ialah perbuatan menilai diri untuk memperbetulkan kesilapan, memperbaiki kelemahan dan belajar dari kegagalan untuk mencapai kejayaan. Ia adalah proses mengaudit diri untuk menuju perubahan ke tahap yang lebih baik. Realitinya begitu, perubahan tidak dapat direalisasikan tanpa muhasabah

dan melakukan audit dalam diri yang menyedarkan kekurangan dan kelemahan kita. Kesungguhan untuk berubah ini ini perlu dipergiatkan dan dibuat secara konsisten bagi memartabatkan kita menjadi khaira ummah iaitu umat terbaik. Tiada siapa yang dapat merubah nasib kita selain diri kita sendiri. Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi ayat 11 surah ar-Ra’d  yang baca pada awal khutbah tadi, bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan apabila Allah mahu menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka), maka tiada sesiapapun dapat menolak apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tiada sesiapapun dapat melindungi mereka selain daripada-Nya.”

(Surah Ar-Ra’d 13:11)

Justeru, muhasabah menjadi alat penting dalam peningkatan diri dan kecemerlangan peribadi. Seseorang yang meluangkan waktu untuk merenung dan mengamati diri sendiri pasti akan dapat mengenali pola-pola negatif dalam diri dengan rendah hati. Proses ini memberi ruang setiap individu menerima kesalahan dan mengakui kelemahan diri lantas mengambil langkah-langkah positif yang diperlukan untuk mengubahnya.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Allah SWT menempelak golongan manusia yang telah sering diuji namun tidak mahu bermuhasabah dan mengambil pengajaran dari peristiwa yang mereka lalui. Pelbagai bentuk ujian yang Allah SWT berikan sama ada manusia sedari atau tidak untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya. Perasaan bimbang dan takut juga merupakan salah satu ujian dalam kehidupan di dunia manakala rasa aman dan tenteram pula adalah suatu nikmat yang besar yang perlu disyukuri dan dipertahankan. Lihatlah negara-negara bergolak yang telah ditimpa peperangan dan konflik. Mereka berada dalam suasana hidup yang amat menakutkan. Sebagai rakyat yang sayangkan negara, kita perlu hidup dalam harmoni, hormat menghormati dan mengelakkan sebarang pergaduhan. Keamanan dan kedamaian perlu dipelihara. Di kesempatan ini, khatib mengajak seluruh kaum muslimin untuk terus mendoakan keselamatan buat rakyat Palestin yang ditindas teruk di tanah air mereka sendiri. Semoga mereka segera bebas dari cengkaman rejim zionis Israel laknatullah.

Meskipun telah sering diuji, kebanyakan manusia gagal merangka tindakan untuk melakar perubahan seterusnya bangun membina kejayaan. Di atas realiti itu, bersama muhasabah yang dilakukan, kita perlu mengatur langkah perubahan ke arah kebaikan. Di antara langkah yang perlu dijayakan untuk mencapai kecemerlangan di segenap peringkat kehidupan ialah: 

Pertama: Bertaubat dari segala dosa dan hentikan semua kesilapan lalu. Ambil pengajaran dengan melakukan islah dan menyusun langkah menuju kecemerlangan dengan tatakelola yang betul, bersungguh-sungguh dan penuh berdisiplin. Proses islah perlu dilakukan dengan konsep ‘memperbaiki sedaya upaya’ bukan sekadar memperbaiki di batas kemampuan. Ini kerana memperbaiki sedaya upaya melambangkan kesungguhan usaha di tahap tertinggi yang mampu melangkaui tahap kemampuan diri. Inilah konsep إِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ yang jelas ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah Hud ayat 88:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّى وَرَزَقَنِى مِنْهُ رِزْقًا حَسَنًۭا ۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَآ أَنْهَىٰكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ(٨٨)

Bermaksud: “Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan mahu memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku beroleh taufik menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.”

(Surah Hud 11:88)

Kedua: Menanamkan sifat itqan dan kekal bermujahadah menyingkirkan semua sifat negatif bermula dari dalam diri kita dan di semua peringkat untuk kembali membangunkan negara ini menuju kecemerlangan. Kita perlu berganding bahu menanggung kepayahan dan bersama-sama menjayakan usaha-usaha murni yang dilaksanakan. Berilah ruang dan masa untuk proses pembaikan dan pemulihan ini berlangsung sama ada di peringkat pengurusan diri sendiri mahu pun di peringkat pentadbiran masyarakat dan negara.

Ketiga: Merancang tindakan dan usaha-usaha yang membawa kecemerlangan. Lihatlah bagaimana rapinya perancangan Nabi Yusuf selaku Menteri Perbendaharaan ketika berhadapan dengan krisis kemarau panjang di Mesir dengan persiapan seawal tujuh tahun sebelumnya dengan penyimpanan bekalan makanan yang cukup. Kita akan terus lemah dan gagal mencapai kecemerlangan jika hanya sibuk berbicara dan melayan impian. Semakin jauh jangkauan perancangan dan tindakan, semakin terserlahlah kebijaksanaan. Apatah lagi jika semua usaha kita mencakupi kecemerlangan dunia dan akhirat. Inilah yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam At-Tirmidzi daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:

“Orang bijak ialah sesiapa yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian, sedangkan orang lemah ialah sesiapa yang membiarkan dirinya menurut hawa nafsu namun berharap kepada Allah dengan berbagai impian.”

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya dengan muhasabah kita melakar perubahan dan mencapai kejayaan. Kehidupan yang penuh dengan cabaran ini perlu dimulakan dengan kesedaran lalu dimuatkan dengan perjuangan membina kecemerlangan dan kebahagian. Peribahasa Melayu mengingatkan; “umpama sirih, menjalar dulu kemudian melilit, barulah memanjat ke pucuk junjung.” Ertinya setiap sesuatu mesti dilalui secara bertahap bagi mencapai kesempurnaan dan kejayaan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mari kita hayati beberapa rumusan sebagai pedoman;

Pertama: Muhasabah ialah perbuatan menilai dan mengaudit diri bagi memperbetulkan kesilapan, memperbaiki kelemahan dan belajar dari kegagalan untuk menjadi lebih baik demi mencapai kejayaan.

Kedua: Setelah bermuhasabah, lakukan islah dengan konsep memperbaiki sedaya upaya bukan sekadar memperbaiki di batas kemampuan. Ini kerana memperbaiki sedaya upaya melambangkan kesungguhan usaha di tahap tertinggi yang mampu melangkaui tahap kemampuan diri.

Ketiga: Untuk mencapai kecemerlangan kita perlu sentiasa merancang tugasan, menyempurnakan kewajipan, menjauhi dosa dan kemungkaran di samping memperkuatkan iman dan bertawakal kepada Allah SWT.

Di penutup bicara khutbah hari ini, hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ (١٨)

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dia sediakan untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi Pengetahuan-Nya pada segala yang kamu lakukan.”

(Surah al-Hasyr 59:18)

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Tarikh Dibaca: 28 Jun 2024M l 21 Zulhijjah 1445H

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑