Ramai kaum wanita hari ini merungut kerana lelaki yang benar-benar bertanggungjawab hanya tinggal beberapa kerat sahaja di dunia ini. Pada pendapat mereka, jika dipertemukan dengan lelaki sebegini, tentu sekali mereka akan berumahtangga dan bahagia di bawah kepimpinan mereka. Malangnya, fenomena lelaki kebudak-budakan pula yang semakin membarah dan ramai lelaki muda dalam umur 20-an hanyalah sekadar budak lelaki yang bertambah umur mereka tetapi masih belum menjumpai sifat matang. Sesetengah daripada mereka tidak berjaya menjumpai maskuliniti yang dicari.
Dahulu, saya pernah menganalisa sebab terjadinya fenomena ini, tetapi hari ini saya ingin fokus kepada penyelesaian. Kita boleh mengelakkan masalah lelaki kebudak-budakan ini dengan membesarkan anak lelaki kita melalui cara yang betul. Dengan membesarkan seorang lelaki, berbanding budak lelaki, anak lelaki kita akan menjadi lelaki bertanggungjawab yang bersedia untuk memikul beban rumahtangga dalam usia yang muda.
Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlu melakukan beberapa perkara ini dengan betul ketika membesarkan mereka.
1. Jangan Memanjakan Anak Lelaki!
Ketika anak lelaki kita sedang membesar, adalah penting untuk kita melayan mereka sebagai seorang lelaki dari setahun ke setahun. Terutama apabila mereka sudah mencapai umur baligh, kita perlu mula melayan mereka seperti lelaki muda. Beri mereka ruang dan privasi, tetapi beri juga mereka lebih tanggungjawab dan panduan. Berbincang dengan mereka secara matang tentang topik-topik dewasa. Dengar pendapat mereka ketika perbincangan keluarga. Masalahnya, terlalu ramai remaja lelaki yang masih lagi dilayan seperti anak kecil walaupun umur sudah mencapai 20-an. Natijahnya, mereka ini gagal membesar! Pada ketika kita mula melayan mereka sebagai lelaki, mereka akan belajar menjadi dewasa dan disyorkan agar langkah ini dimulakan ketika anak-anak di usia muda.
2. Biarkan Mereka Mencuba Sesuatu Yang Sukar & Gagal Melakukannya!
Lelaki perlu menghadapi risiko dan ketidaktentuan. Penting sebagai seorang pemimpin untuk mempunyai keberanian dan sanggup menanggung risiko untuk melindungi, menyediakan keperluan dan memimpin keluarganya. Tetapi, jika seorang lelaki sering dilindungi daripada setiap perkara yang berisiko, bagaimana mungkin dia boleh menjadi berani? Budak lelaki perlu diberi peluang untuk mencuba perkara yang menakutkan, kemudian biarkan mereka gagal, belajar daripada kesilapan mereka, mencuba lagi dan lagi sehingga mereka berjaya. Dari sinilah keberanian, keyakinan dan kebolehan untuk mengambil risiko itu terbentuk. Ini semua kualiti yang penting untuk memimpin rumahtangga.
3. Ketika Mereka Membesar Berikan Mereka Lebih Kebebasan & Tanggungjawab!
Lelaki muda memerlukan ruang dan kebebasan untuk membesar dan membentuk kemahiran mereka, tetapi mereka juga perlu diberi tanggungjawab untuk menyediakan mereka kepada tanggungjawab memimpin rumahtangga. Ibu bapa perlu mengemudi kedua ini secara cermat ketika anak lelaki mereka sedang membesar. Ketika anak lelaki kita masih kecil, kita perlu memberi perhatian dan menguruskan segala keperluan mereka. Tetapi, apabila mereka semakin membesar, mereka perlu kerap berjauhan dari kita, dan perlu memikul tanggungjawab di rumah supaya mereka boleh menjadi lelaki yang sejati.
4. Berbincang Dengan Mereka Tentang Kelelakian, Perkahwinan & Cara Mempimpin Keluarga
Banyak latihan kelelakian perlu dilakukan oleh ayah, atau figura bapa di dalam keluarga seperti ayah tiri, datuk atau pakcik. Bapa atau figura bapa ini perlu meluangkan masa dengan anak-anak lelaki mereka dan memberitahu mereka tentang realiti kehidupan yang sebenarnya. Anak-anak ini perlu disedarkan tentang jerih perih kehidupan. Beri mereka nasihat bagaimana untuk berhadapan dengan ujian kehidupan dan bagaimana untuk memimpin keluarga. Apabila budak lelaki menjadi seorang lelaki, mereka perlu belajar tentang hakikat kehidupan supaya mereka bersedia apabila tiba masanya untuk mempimpin keluarga sendiri.
5. Sandarkan Harapan Yang Tinggi Ke Atas Bahu Mereka Dan Bina Keyakinan Diri Mereka
Adalah sangat penting untuk kita meletakkan harapan yang tinggi tetapi realistik ke atas anak lelaki kita. Budak lelaki memerlukan motivasi untuk berusaha dan mencapai sesuatu yang hebat. Sekiranya seorang budak lelaki membesar di dalam keluarga kelas pertengahan, dan ibu bapa tidak meletakkan apa-apa harapan ke atas dia untuk melakukan sesuatu yang produktif dalam hidupnya, budak ini tidak akan ada sebab untuk meninggalkan sikap kebudak-budakannya. Oleh itu dia akan terus-menerus menjalani kehidupannya sebagai seorang ‘remaja’ kerana tiada siapa yang mengharapkan apa-apa daripadanya.
Ibu bapa perlu memberitahu anak lelaki bahawa mereka mengharapkan anak ini bekerja keras, menyumbang kepada masyarakat dan satu hari nanti akan membimbing keluarga sendiri. Ibu bapa juga perlu membina keyakinan kepada anak-anak ini supaya mereka dapat melakukan tugasan ini dengan baik. Ibu bapa boleh membantu membina keyakinan anak lelaki mereka dengan tidak memanjakan mereka, membiarkan mereka gagal tatkala mencuba perkara baharu, dan terus menyakinkan anak-anak bahawa mereka ini mampu mencapai kejayaan yang lebih hebat.
6. Memudahkan Perkahwinan Mereka Di Usia Muda
Kesilapan besar yang dilakukan generasi masa ini ialah apabila mereka terus-menerus melambatkan perkahwinan. Kononnya belum bersedia, dan ini mengheret mereka untuk membujang bertahun-tahun, dan kadangkala sehingga berdekad. Budak-budak lelaki ini akhirnya berperangai kebudak-budakan dalam usia 30-an kerana mereka tidak mengambil langkah yang perlu untuk matang; dan ini semua bermula daripada keluarga mereka sendiri.
Percayalah, tiada siapa pun yang benar-benar bersedia untuk berkahwin dan menjadi ibu bapa, kerana tanggungjawab ini memberi cabaran yang membuat kita belajar daripada pengalaman. Menghadapi cabaran-cabaran ini juga adalah langkah penting untuk anak lelaki menjadi matang. Apabila orang muda berkahwin dan bertanggungjawab ke atas seseorang yang lain, ini akan memaksa mereka untuk berusaha lebih, dan menjadi lebih matang dan bertanggungjawab. Sama juga apabila dia mendapat anak yang pertama. Lantas, tidak wajarlah seorang lelaki terus melambat-lambatkan perkahwinan dan mempunyai zuriat. Sebaliknya, terimalah ini sebagai langkah yang diperlukan ke arah pembentukan lelaki sejati yang bertanggungjawab.
Kesimpulan
Membesarkan anak lelaki untuk menjadi lelaki yang bertanggungjawab bukanlah tugasan yang mencabar. Manusia telah melakukannya semenjak dahulu lagi. Cuma, pada dekad ini, manusia telah hilang punca apabila kita mencedok nasihat membesarkan anak-anak daripada sumber moden dan terkini.
Jika kita meninggalkan nasihat keibubapaan yang tidak berfaedah ini dan kembali kepada nasihat yang asas, kita akan mendapati bahawa membesarkan anak-anak lelaki sebenarnya semulajadi bagi setiap ibu bapa kerana membesarkan anak-anak ini sebenarnya sifat semulajadi manusia. Seharusnya kita perlu menghindarkan mendidik anak-anak dengan cara yang moden dan pelik, dan berpegang teguh kepada cara yang telah diiktiraf di sepanjang sejarah manusia. Jika kita mampu melakukannya, insyaAllah, anak-anak bujang lelaki kita akan bersedia untuk berkahwin di usia muda, dan cemerlang sebagai Qawaam.
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan
Artikel Asal: Izzah Academy
Terjemahan: Mymuslimin.com