Pengagihan KWSP Tidak Sama Banyak Kepada Anak-Anak

Soalan

Saya ada tiga anak lelaki dan seorang perempuan serta isteri. Saya ingin memberi dua orang anak saya lebih; kalau boleh jumlah baki yang tinggal dalam KWSP bagi kedua-dua anak saya; sebab dua orang lagi berpendapatan lumayan, manakala dua orang lagi pendapatan yang kecil dan tidak dapat menyara hidup keluarga masing masing dengan baik. Apakah nasihat tuan?

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam menggalakkan umatnya untuk berbuat baik sesama manusia lebih-lebih lagi kepada kaum kerabat, sanak-saudara dan ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Berbuat baik sesama kaum kerabat ini merupakan salah satu bentuk untuk memelihara silaturahim. 

Firman Allah SWT:

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا

Maksudnya: “Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah al-Nisa’ 4:1)

Hibah dalam Islam

Hibah merupakan salah satu cara yang disyariatkan Allah SWT untuk berbuat baik sesama manusia. Hibah yang didefinisikan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Hibah ini boleh terjadi sama ada pemberian dalam perkara yang bersifat material atau perkara yang tidak bersifat material.

Manakala, daripada istilah syarak hibah merupakan pemberian hak milik kepada seseorang sewaktu hidupnya sebagai ibadah tatawuk tanpa mengharapkan sebarang balasan (iwad). Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama. [Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, jld. 3, hlmn. 176]

Pensyariatan hibah ini telah disebutkan dalam al-Quran, hadis dan juga ijmak ulama. Antara perbuatan yang baik ialah amalan memberikan sesuatu harta berserta perasaan kasih sayang kepada orang-orang fakir miskin serta golongan yang memerlukan dan juga yang lainnya, hal ini termasuklah amalan hibah dan sedekah. 

Firman Allah SWT:

لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi”

(Surah al-Baqarah 2:177)

Hibah Kepada Anak-anak

Islam mengharuskan ke atas ibu bapa untuk memberikan pemberian atau hibah kepada anak-anak mereka selain daripada nafkah yang wajib.

Namun begitu, disunatkan untuk tidak melebihkan pemberian kepada sebahagian anak berbanding sebahagian yang lain. Bahkan meletakkan kuantiti yang sama dalam hibah dan pemberian kepada semua anak tidak kira lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa. 

Ini adalah berdasarkan daripada hadis Rasulullah SAW:

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ تَصَدَّقَ عَلَىَّ أَبِي بِبَعْضِ مَالِهِ فَقَالَتْ أُمِّي عَمْرَةُ بِنْتُ رَوَاحَةَ لاَ أَرْضَى حَتَّى تُشْهِدَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ فَانْطَلَقَ أَبِي إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم لِيُشْهِدَهُ عَلَى صَدَقَتِي فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَفَعَلْتَ هَذَا بِوَلَدِكَ كُلِّهِمْ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ اتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا فِي أَوْلاَدِكُمْ ‏”‏ ‏.‏ فَرَجَعَ أَبِي فَرَدَّ تِلْكَ الصَّدَقَةَ ‏.‏

Maksudnya: Daripada Nukman bin Basyir, beliau berkata bahawa bapaku mendermakan sebahagian hartanya kepadaku. Ibuku ‘Amrah binti Rawahah berkata “Aku tidak meredai perbuatan tersebut sehingga perkara ini disaksikan oleh Rasulullah SAW. Maka bapaku pergi menemui Rasulullah SAW agar baginda menjadi saksi sumbangan yang diberikan kepadaku. Rasulullah SAW bersabda kepadanya; “Apakah kamu melakukan hal yang sama kepada semua anakmu?” Bapaku menjawab; “Tidak”. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi; “Takutlah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap anak-anakmu”. Kemudian bapaku pulang dan mengambil semula pemberiannya.

(Sahih Muslim 1632e)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis tersebut menyatakan bahawa:

“Wajib ke atas seseorang untuk menyamakan hibah di antara anak-anaknya, dan menghibahkan setiap seorang daripada mereka jumlah yang sama dan tidak melebihkan sebahagian yang lain. Namun sekiranya seseorang itu melebihkan pemberian hibah kepada sebahagian anak, atau memberikan hibah kepada sebahagian anak tanpa memberikannya kepada sebahagian yang lain, maka menurut mazhab Syafie hibah tersebut sah namun ia adalah makruh”

(Lihat Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld. 6, hlmn. 77)

Hal ini dititikberatkan oleh Islam bagi mengelakkan berlakunya iri hati dan hasad dengki sesama mereka yang boleh menimbulkan perasaan marah, derhaka dan berpecah belah dalam institusi kekeluargaan.

Imam Khatib al-Syarbini menyebutkan perkara ini dalam kitabnya bahawa keadilan dalam pemberian kepada anak-anak adalah sangat dituntut dan melebihkan pemberian kepada sebahagian anak daripada sebahagian yang lain dilarang dalam Islam. Beliau menyebut:

Maksudnya: (Dan disunatkan ke atas ibu bapa) dan ke atas (adil dalam pemberian kepada anak-anak dengan menyamaratakan di antara lelaki dan perempuan). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis sahih oleh Nukman bin Basyir r.anhuma, beliau berkata: ((Bapaku telah memberikanku pemberian, maka ibuku ‘Amrah binti Rawahah berkata: Aku tidak meredainya sehingga engkau bertemu dengan Rasulullah SAW, lalu aku didatangi oleh Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu ini meminta aku disaksikan kepadamu atas apa yang aku berikan kepada anak lelakinya, maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai Basyir, adakah engkau mempunyai anak yang lain selainnya? Bapaku menjawab: Ya, lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Apakah engkau memberikan kepada semua mereka sama seperti ini? Bapaku menjawab: tidak. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh bapaku dengan bersabda: kembalikanlah ia (mauhub). Dan dalam riwayat al-Bukhari dikatakan Rasulullah SAW bersabda: “Takutilah Allah dan bersikap adillah dengan semua anakmu”, manakala dalam lafaz Muslim dikatakan Rasulullah SAW bersabda: “Maka persaksikanlah atas perkara ini selain dariku”, dalam lafaz Ahmad “jangan engkau saksikanku perbuatan dosa, sesungguhnya bagi anak engkau itu ada hak yang engkau adilkan di antara mereka”. Ini supaya perkara ini tidak memecahbelahkan mereka dan membawa mereka kepada penderhakaan dan kedengkian. (Sahih al-Bukhari (2586), Sahih Muslim (1623)).

[Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlmn. 401]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang telah diajukan, pemberian atau hibah adalah sunat dan adalah lebih baik sekiranya diberikan kepada kaum keluarga. Justeru, disunatkan kepada seorang ayah untuk memberikan atau menghibahkan sebarang pemilikannya kepada anaknya selain daripada pemberian nafkah yang wajib.

Namun begitu, perlu diambil perhatian bahawa telah digariskan oleh syarak berkenaan hukum persamaan (taswiyah) dalam pemberian kepada anak-anak. Apabila ibu bapa melebihkan pemberian kepada sebahagian anak daripada anaknya yang lain, atau memberikan hibah kepada sebahagian anak sementara tidak memberikannya kepada sebahagian anak yang lain maka hibah tersebut adalah sah, namun hukumnya makruh.

Justeru, dinasihatkan dan dituntut kepada si ayah untuk menyamaratakan pemberian hibah kepada semua anak. Bahkan seperti yang disebutkan dalam hadis yang telah dinyatakan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan penarikan balik harta hibah yang telah diberikan kepada anak-anak dan dilakukan semula pemberian secara adil di antara mereka.

Sekiranya si ayah tersebut ingin melebihkan pemberian ke atas anak-anak yang lebih memerlukan di antara mereka, maka kami menasihatkan agar perkara ini tetap dimaklumkan kepada anak-anak demi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan ketidakpuasan hati yang ditakuti menjurus kepada perasaan kebencian, perpecahan antara adik- beradik dan kederhakaan terhadap ibu bapa.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑