Sunnah Yang Hampir Dilupakan: Keutamaan Berzikir Semasa Bangun Tengah Malam

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةٌ، فَعَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ ،

Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan sunnah dalam Islam, dia mendapat pahalanya sekali gus pahala siapa sahaja yang mengamalkannya dengan tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.

(HR. Muslim no. 1017)

Keutamaan Berzikir Semasa Bangun Tengah Malam

Daripada Ubadah bin Somit, Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الملكُ، وَلَهُ الحَمدُ، وَهُوَ عَلَى كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. الْحَمدُ لِلَّهِ، وَسَبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إلا الله، والله أكبر، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إلا بالله. ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي. أَوْ دَعَا اسْتَجِيبَ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاتُهُ

Maksudnya: “Barangsiapa bangun atau mengigau pada tengah malam, hendaklah dia membaca: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan pujian. Dialah yang berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji hanya bagi Allah, Maha suci Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah, Allah Maha besar dan tiada daya dan kekuatan kecuali atas pertolongan Allah. Lalu membaca: Ya Allah, ampunilah aku atau doa yang lainnya, nescaya doanya akan dikabulkan. Jika dia berwuduk lalu mengerjakan solat, maka solatnya diterima.”

(HR Al-Bukhari no. 1154)

Menurut Al-Hafiz, amalan hanya dapat dilakukan oleh orang yang sudah terbiasa dan suka berzikir. Zikir itu akan selalu terucap dalam lisannya, sama ada ketika tidur mahupun bangunnya. Allah memuliakan orang yang memiliki perilaku tersebut dengan mengabulkan doa dan menerima solatnya.” (Fathul Baarii 3/49)

Menurut Al-Hafiz lagi, Ibnu Battol menyarankan, “Sesiapa yang terbangun hendaklah spontan mengucapkan kalimat tauhid, menyebutkan segala kerajaan hanya milik Allah, pengakuan akan limpahan nikmat-Nya dan memuji-Nya. Bertasbih kepada Allah, tunduk kepada-Nya dengan bertakbir dan pasrah kepada-Nya akan keterbatasan kemampuan kecuali dengan pertolongan-Nya. Oleh itu apabila dia berdoa, Allah pasti mengabulkannya dan apabila dia solat, solatnya diterima. Sesiapa sahaja yang mendengar hadis ini, harus mengamalkan dengan ikhlas, semata- mata kerana Rabbnya, Allah SWT.”

Pemuda-pemuda zaman ini, menggantikan adab ini dengan petunjuk doktor, mereka hanya meletakkan segelas susu di sebelah mereka, supaya apabila mereka terbangun atau gelisah di tempat tidur dapat terus meminumnya. Walaupun perbuatan ini terbukti memberi manfaat sebagaimana penjelasan doktor, namun apa yang diajarkan oleh Nabi SAW jauh lebih utama dan sempurna untuk diaplikasikan.

Rasulullah SAW mengajarkan zikir sebagaimana yang kita ketahui, di dalamnya berisikan tauhid, supaya dengan perbuatan itu Allah mengampuni dosa kita. Iaitu dosa yang menyebabkan timbulnya berbagai penyakit dan musibah yang menimpa badan dan jiwa kita. Pujilah Allah di atas limpahan nikmat agama ini dan terimalah berbagai adab dan hukum berdasarkan ilmu dan amal, semuanya dengan penuh keyakinan yang mantap.

Wallahu a’lam.

Sumber: 100 Sunnah Yang Hampir Dilupakan oleh Haifa Abdullah Al-Rasyid

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑