Terlalu banyak pahala yang dijanjikan kepada mereka yang dengan ikhlas mengimarahkan masjid dengan bersolat, berzikir dan sebagainya. Jadikan masjid dekat di hati kita kerana inilah tempat yang paling disukai oleh Allah SWT.
Masjid merupakan tempat yang paling dicintai Allah SWT
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا
Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.”
(Riwayat Muslim 671)
Membina masjid kerana Allah seumpama membina sebuah rumah untuknya di syurga
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ قَالَ “ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ كَمَفْحَصِ قَطَاةٍ أَوْ أَصْغَرَ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ ”
Daripada Jabir bin Abdullah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung atau lebih kecil, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga”
(HR. Ibnu Majah, no.738 – Status Hadis Sahih)
Memperoleh Naungan Allah SWT pada hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه.
Maksud: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: Pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah SWT, Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, dua orang yang saling mencintai kerana AllahSWT, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.”
(HR Bukhari)
Memperoleh Pahala Solat Yang Berlipat Pahala
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya:” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
(Riwayat Muslim 1509)
Masjid adalah rumahnya setiap mukmin
Di dalam hadis daripada Abu al-Darda’ RA, Nabi SAW bersabda:
الْمَسْجِد بَيتُ كُلّ تَقِيّ
Maksudnya: “Masjid adalah rumah setiap orang yang bertaqwa.”
(Sahih; al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)
Bukti Keimanan Seorang Mukmin
Hadith daripada Abi Sa’id RA, bahawa Nabi SAW:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ المَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ
Maksudnya: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”.
[Riwayat Ahmad, no. Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no. Hadith 802][Imam al-Tirmizi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib]
Setiap Langkahan Ke Masjid Itu Sedekah
Rasulullah SAW banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan berjalan kaki untuk solat berjemaah di masjid. Antaranya, Rasulullah SAW bahawa setiap langkahan seseorang ke masjid merupakan sedekah, Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang panjang:
وكلُّ خطوَةٍ تخطوها إلى الصلاةِ صدَقَةٌ
Maksudnya: Dan pada setiap langkah untuk menuju solat (berjemaah di masjid) adalah sedekah.
Hadith riwayat al-Bukhari (2891) dan Muslim (1009)
Menunggu Untuk Solat di Masjid Mendapat Keampunan & Menambah Pahala
Rasulullah SAW bersabda:
ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ
Maksudnya: Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah SWT akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat RAnhum menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasulullah SAW!”. Rasulullah SAW bersabda, “Menyempurnakan basuhan wuduk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat.”
(Hadith riwayat Ibn Majah 776)
Memperoleh Pahala Solat Tahiyatul Masjid
Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh seseorang yang memasuki masjid. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk sehingga dia selesai solat dua rakaat.
(Riwayat Al-Bukhari 1167)
Tempat Suci untuk Beribadah
إن هذه المساجد لا تَصْلُحُ لشيء من هذا البَول ولا القَذَر، إنما هي لِذِكْر الله عز وجل، والصلاة، وقراءة القرآن
Maksud: “Sesungguhnya masjid-masjid itu tidak layak sedikit pun ada kencing dan kotoran. Masjid-masjid itu hanya untuk zikir (mengingat) Allah Ta’ala – dan membaca Al-Quran.”
(HR Muslim)
Rasulullah SAW memberi peringatan bahawa masjid-masjid itu perlu digunakan untuk solat, membaca Al-Quran serta berzikir. Hendaknya seorang mukmin menghormati rumah-rumah Allah dengan tidak semudahnya membuang angin dan kotoran di dalamnya, juga tidak boleh mengangkat suara di dalam masjid. Seorang mukmin perlu menjaga adab apabila berada di rumah Allah.
Wudhu di Rumah, Solat di Masjid, Menghapuskan Dosa
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya: Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT, maka langkahan pertama menghapuskan dosanya, dan langkahan kedua mengangkat darjatnya.
(Riwayat Muslim 666)
Memakmurkan Masjid Petanda Orang yang Mendapatkan Petunjuk
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ
Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”.
(Surah At-Taubah 9:18)
Leave a comment