Soalan
Apakah fatwa terkini berhubung penyebaran fahaman aliran daripada pengasasnya Abdullah Al Harari atau lebih dikenali dengan panggilan Ahbash. Untuk makluman tuan, fahaman ini didapati telah menghukum kafir ke atas sebilangan besar ulamak tersohor seperti Ramadhan Al Buti, Yusuf Qordhowi, Mutawalli As Sya’rawi, Sayyid Qutb dan begitu jua ulamak tempatan yang tidak sebulu dengan ajaran mereka. Perkara ini boleh dirujuk melalui karya pengasas mereka antaranya seperti kitab yang berjudul “Tahzir Syar’ie Wajib”.
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Pengenalan Ahbash dan Abdullah al-Harari
Ahbash merupakan sebuah gerakan atau aliran pemikiran yang diasaskan oleh Sheikh Abdullah al-Harari atau nama sebenar beliau, Abdullah bin Muhammad bin Yusuf al-Harari al-Habasyi yang dilahirkan pada tahun 1910M di bumi Harar, Ethiopia.
Secara umumnya, beliau membesar dalam suasana ilmu serta telah mendapatkan pendidikan agama sejak dini bermula dari rumahnya sendiri dan di sekitar bandar Harar. Selepas menjangkau umur dewasa, beliau telah merantau ke Mekah, Madinah, Baitulmuqaddis dan Damsyik dan disebutkan beliau memberikan tumpuan dalam bidang hadis.
Beliau kemudiannya menjejakkan kaki di tanah Beirut, Lubnan pada tahun 1952M dan tinggal di sana, menulis beberapa penulisan serta menyebarkan pemikirannya sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2 September 2008. [Rujuk Bughyah al-Talib li Ma’rifat li ‘Ilm al-Dini al-Wajibi, hlm. 11]
Penamaan aliran Ahbash ini diambil bersempena dengan penisbahan nama Sheikh ‘Abdullah al-Harari iaitu al-Habasyi. Aliran ini menyatakan bahawa mereka merupakan daripada kalangan Ahlu al-Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang berpegang dengan mazhab al-Asha’irah dalam akidah, beramal dengan fiqh mazhab al-Shafi’i dan mengikuti jalanan tasawuf daripada tarekat al-Rifai’iyyah.
Kumpulan mereka ini juga aktif menyebarkan dakwah pemikiran mereka khususnya di Lubnan dan beberapa negara Eropah yang mempunyai komuniti Muslim yang sedikit seperti Australia, Denmark, Kanada dan Sweden atas nama Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khayriyyah al-Islamiyyah.
Kepincangan Aliran Ahbash
Kepincangan aliran ini berlaku disebabkan oleh pemikiran Sheikh Abdullah al-Harari yang bersifat ghuluw (melampau) dalam meletakkan hukum takfir (mengeluarkan seseorang daripada Islam) serta gemar menyesatkan pihak yang berbeza dengan alirannya khususnya aliran Wahhabiyyah. Sheikh Abdullah al-Harari sangat memusuhi aliran ini kerana menyebarkan ideologi mujassimah.
Oleh itu, beliau bertindak mengkafirkan beberapa ulama silam yang didakwa oleh beliau sebagai pro-mujassimah seperti Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah serta al-Dhahabi. [Rujuk Majalah Manar al-Huda al-Habasyiyah bil. 3 hlm. 234]
Selain itu, sifat ekstremisme beliau dizahirkan lagi dengan pernyataan beliau yang mengkafirkan beberapa ulama Islam moden seperti Syeikh Sayyid Qutub, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Mutawali al-Sha’rawi, Syeikh Dr. Ramadan Said al-Buti, Habib ‘Ali al-Jufri, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahhab, Syeikh Nasir al-Din al-Albani dan ramai lagi dalam karya umum beliau atau karya khusus seperti al-Nahj al-Sawi fi al-Radd ‘ala Sayyid Qutub wa Faisal al-Mawlawi.
Hal ini menunjukkan beliau bukan sahaja mengkafirkan tokoh aliran lawan tetapi turut mengkafirkan tokoh yang sealiran yang tidak senada dengan perbuatan beliau yang melampau tersebut.
Perbuatan Sheikh ‘Abdullah al-Harari yang bermudah dalam isu takfir ini bercanggahan dengan kaedah ASWJ ketika berinteraksi dengan aliran bidaah iaitu:
ولا نكفر أحدا من أهل القبلة
Maksudnya: “Kami tidak mengkafirkan seorang pun daripada ahli kiblat!”
[Rujuk; Sharh al-’Aqidah al-Tahhawiyyah jil. 2 hlm. 433]
Selain itu, antara bentuk ghuluw (melampau) dalam pemikiran Abdullah al-Harari adalah mencela para sahabat Nabi SAW khususnya Saidatina ‘Aishah RA dan Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yang terlibat dalam konflik peperangan yang dengan Saidina Ali bin Abi Talib RA seperti. [Rujuk Izhar al-’Aqidah al-Suniyyah hlm. 182]
Pandangan ini bercanggahan dengan kesepakatan para ulama bahawa kesemua para sahabat Nabi SAW itu adalah adil. Bahkan Nabi SAW melarang umatnya daripada mencela para sahabat baginda SAW. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.”
[Sahih al-Bukhari 3673]
Keadilan para sahabat juga disepakati oleh para ulama, dan ia hanya disanggah oleh aliran-aliran selain Ahlussunnah, antara Syiah dan Muktazilah. [Rujuk Ma’rifah al-Thiqat, jil. 1 hlm. 93] Lafaz yang sering digunakan oleh para ulama ialah:
الصَّحَابَةَ كُلَّهُمْ عُدُولٌ مَرْضِيُّونَ ثِقَاتٌ
Maksudnya: “Sahabat RA itu kesemuanya adil, diredai oleh Allah SWT dan thiqah (dipercayai)”.
[Rujuk al-Ba’ith al-Hathith fi Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith jil. 1 hlm. 49]
Fatwa Tokoh dan Institusi Islam Terhadap Aliran Ahbash
Aliran ini sememangnya menjadi perhatian disebabkan pembawaan pemikiran mereka yang ekstrem. Berdasarkan rekod, pihak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang belum mengeluarkan sebarang fatwa khusus berkenaan aliran Ahbash ini. Sehubungan dengan itu, boleh merujuk beberapa tokoh dan institusi Islam yang telah mengutarakan pandangan serta fatwa mereka terhadap kumpulan ini.
Beberapa tokoh yang memberi pandangan terhadap aliran Ahbash antaranya:
Sheikh Dr. Usamah Sayyid al-Azhari
“Kami menolak pemikiran takfir dari mana-mana orang atau aliran dengan apa jenama sekalipun. Wajib untuk kita waspada dengan pemikiran takfir ini kerana ia sangat berbahaya dan kami tidak akan sesekali menerima pemikiran ini daripada mana-mana aliran sekalipun.”
Kenyataan ini direkodkan pada sesi soal jawab beliau di Universiti Sultan Azlan Shah, Perak.
Sheikh Dr. Ali Jumaah (Mantan Mufti Mesir)
“Mereka (Ahbash) merupakan aliran yang tidak boleh diikuti. Hal ini kerana terdapat banyak perkara yang diperselisihkan serta diada-adakan selepas kematian guru mereka (Sheikh al-Harari) dan mereka lebih bergiat aktif dalam mengkafirkan umat dan bertambah keras dalam pengambilan nas-nas (dalam pendalilan).”
Kenyataan ini direkodkan pada sesi soal jawab beliau ketika menghadiri Festival Turath Islami 2023.
Selain itu, antara institusi yang telah memberikan fatwa mereka terhadap aliran Ahbash:
Dar al-Ifta al-Misriyyah (Jabatan Mufti Mesir)
“Justeru, setelah apa yang telah kita dapatkan daripada kitab-kitab Syeikh al-Habasyi, pengikutnya yang dikenali dengan nama “Ahbash,” pendapat-pendapat mereka, dan menilai kembali segala kritikan terhadap mereka, isu-isu yang dikatakan tentang mereka; maka jelaslah kepada kita sesungguhnya mereka adalah daripada ASWJ, bukanlah terkeluar daripada golongan ASWJ. Akan tetapi, ada beberapa kritikan (kesalahan) kepada mereka iaitu mereka terlalu cepat dan melulu memfasikkan, mengkafirkan, menghentam orang-orang yang berbeza pandangan dengan mereka, mentafsirkan ungkapang-ungkapan lawan mereka dengan tafsiran yang keji walhal ungkapan-ungkapan tersebut boleh ditakwilkan atau ditafsirkan kepada makna yang baik.” [Rujuk Mawsu’ah al-Fatawa al-Mu’assalah min Dar al-Ifta al-Misriyyah jil. 1 hlm. 283]
Fatwa Institusi Agama Malaysia
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-20 & 21/2016 pada 18-19 Februari 2016M @ 9-10 Jamadil Awwal 1437H telah membincangkan mengenai Ahbash. Jawatankuasa berpandangan bahawa Islam adalah agama yang menyeru perdamaian dan islah antara manusia dan mengamalkan agama tanpa bersifat melampau. Islam melarang dari bersikap mudah mengkafirkan dan menyesatkan sesama Muslim di atas sangkaan. Demikian Islam juga melarang mengubah tujuan perkataan atau tulisan pihak lain di atas perkara yang tidak mereka maksudkan. Setelah bermesyuarat maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis merumuskan seperti berikut:
Ahbash adalah aliran yang diasaskan oleh Abdullah al-Hariri al-Habashi yang mendakwa mereka beraliran Asya’irah, tetapi aliran Ahbash ini adalah sesat dan melampau (ghulu) dalam menghukum pihak lain. Asas kesesatan mereka bukan kerana aliran Asya’irah yang dipegang, tetapi kerana sifat melampau (ghulu) dalam mengkafir dan menyesatkan pihak yang berbeza. Mereka juga mengamalkan pendekatan mengutuk, mencerca dan memalsukan kalam pihak yang berbeza dengan mereka. Mereka telah mengkafirkan tokoh-tokoh ulama silam seperti Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Zahabi dan ulama semasa seperti al-Qaradhawi, al-Bhuti, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, al-Albani, Mutawali al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan selainnya.
Setelah meniliti fatwa-fatwa para ulama di peringkat antarabangsa seperti Dar al-Ifta’ Mesir (Majlis Fatwa Mesir), Majlis Fatwa Arab Saudi, fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bhuti dan lain-lain. Maka dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa aliran Ahbash adalah salah satu daripada aliran yang melampau, sesat dan menyesatkan. Kewujudannya dalam kalangan masyarakat Islam amat merbahaya. Jawatankuasa Fatwa Negeri berpandangan bahawa aliran ini hendaklah dicegah dari dipegang dan disebarkan. [Rujuk http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index./main/mainv1/fatwa/pr/11464%5D
Kesimpulan
Berdasarkan daripada keterangan di atas, kami menyimpulkan bahawa aliran Ahbash atau Jam’iyyah Khairiyyah al-Masyari’ ini merupakan sebuah aliran yang bersifat ekstremis takfiri yang berbahaya kepada akidah umat Islam. Oleh itu, aliran ini wajib dihindari dan ditegah penyebarannya dalam kalangan umat Islam.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment