أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (٢١٨)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Baqarah 2:218)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Hijrah Suatu Kemerdekaan “.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Ayat muqaddimah tersebut mengkhabarkan kepada kita tentang sifat orang beriman yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki keimanan mereka sehinggalah mencapai tahap kesempurnaan. Manakala maksud hijrah ialah berhijrah dari sudut tubuh badan dan amalan. Sudah tentulah untuk sampai kepada maksud keduanya memerlukan jihad atau mujahadah pada jalan Allah SWT dan akhirnya akan dianugerahkan dengan rahmat kasih sayang dan mendapat keampunan Allah SWT.
Jelaslah berdasarkan ayat ini yang membawa pengamatan kita pada dua pengertian hijrah iaitu hijrah makaniyah bermaksud perpindahan tubuh badan meninggalkan satu tempat menuju tempat yang lain untuk mencari redha Allah SWT. Manakala hijrah maknawiyah ialah meninggalkan amalan – amalan batil menuju kepada amalan – amalan yang benar dan mendapat keredaan Allah SWT. Bicara inilah yang berkait dengan sebuah kemerdekaan diri kita sebagai umat Islam iaitu membebaskan diri dari belenggu amalan, sikap, gaya hidup, budaya yang batil berubah kepada gaya hidup berpaksikan akidah, syariat dan akhlak sebagai cara hidup Islam.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Pengertian hijrah bermaksud melakukan perubahan dari sudut tekad, sikap, budaya, cita rasa atau gaya hidup ke arah yang lebih baik. Iaitu meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah SWT dan berubah kepada perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT. Hadis daripada Abdullah Bin Amru Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah daripadanya”.
(Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga hadis daripada Saidatina Aishah Radhiallahuanha bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ketika baginda sedang berpidato selepas Fathul Makkah.
Maksud: “Tidak ada hijrah setelah pembebasan Kota Makkah (Fathul Makkah), tetapi yang ada adalah Jihad dan Niat. Oleh kerana itu, jika kalian semua diminta keluar berjihad maka keluarlah (berangkatlah) berjihad”.
(Riwayat al Bukhari)
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Hijrah maknawiyah ini meliputi persoalan iktikad (kepercayaan dan keyakinan), fikriyah (pemikiran), syu’uriyah (cita rasa) dan sulukiyah (perjalanan keseluruhan akhlak).
1. Hijrah Keyakinan dan Kepercayaan
Dunia semakin maju dan berteknologi, sewajarnya tidak menjadi halangan untuk umat Islam mempelajari dan beramal berdasarkan akidah Islam yang sahih. Berbagai cara dan kaedah sama ada berguru secara bertalaqqi di masjid-masjid, pondok atau madrasah mahupun pengajian secara on-line agar menjadi golongan berilmu dan beramal serta berakidah dengan betul, namun yang menjadi kegusaran kita ialah masih ada golongan yang terpesong akidah, kepercayaan dan keyakinan mereka.
Wujud golongan yang mendakwa bahawa kononnya Nabi Muhammad SAW itu sebagai Tuhan, menyatakan Nabi Muhammad SAW tidak beranak dan diperanakan, tidak mempercayai adanya syurga dan neraka, mempertikaikan kenabian Nabi Muhammad SAW dan sebagainya. Malah ada segelintir masyarakat Islam yang masih tegar dengan amalan-amalan animisme berbaur khurafat dan syirik seperti meletakkan ancak, puja pantai, percaya bomoh, percaya adanya kuasa selain Allah SWT dan sebagainya.
Umat Islam yang sedemikian wajib segera bertaubat, melakukan hijrah atau berubah kepada hanya mentauhidkan Allah SWT semata-mata dan mengikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
2. Hijrah Pemikiran
Dengan perkembangan zaman, kemajuan teknologi dan derasnya arus informasi memudahkan berkembangnya aliran pemikiran sederas teknologi yang ada. Jolokan dunia tanpa sempadan merancakkan lagi penjajahan pemikiran dalam kalangan umat Islam. Lahirnya fahaman sekularisme (memisahkan kehidupan dengan agama), liberalisme (memberi hak kepada individu tanpa batasan), pluralisme agama (mendakwa semua agama benar dan sama), free thinker (pemikiran bebas tanpa anutan agama dan kepercayaan) semua itu mengancam akidah dan syariat Islam.
Umat Islam wajib berhijrah dan memerdekakan diri masing-masing dari serangan aliran pemikiran yang merosak dan menjahanamkan akidah dan kepercayaan Islam.
Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian,
Jelas Rasulullah SAW memperingatkan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri Radhiallahunhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Umatku nescaya akan mengikuti sunah (budaya, pemikiran, tradisi, gaya hidup) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun pasti umatku akan mengikuti mereka. Lalu para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! apakah mereka itu orang-orang Yahudi dan Nasrani ? Rasulullah SAW menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Riwayat Muslim)
Sewajarnya kita sentiasa berwaspada dengan pengaruh penjajahan pemikiran yang boleh membawa kepada kesesatan ini.
3. Hijrah Perasaan
Setiap tahun umat Islam menyambut tahun baru hijrah dengan pelbagai pendekatan dan aktiviti. Persoalannya ialah telah berhijrahkah kita kepada tekad, sikap, budaya dan cita rasa yang baru yang diwarnai oleh al Quran dan al-Sunnah?. Sekiranya perubahan dalam diri dan keluarga serta masyarakat masih belum berganjak ini bermakna kita masih belum lagi malah masih perlu kepada pemahaman, pembinaan dan kesedaran untuk berubah.
Syu’uriyah ataupun cita rasa, kesenangan dan kesukaan ini termasuklah soal hiburan, muzik, bacaan, hiasan, fesyen pakaian, idola, pembiayaan kewangan, makanan dan lain-lain, adakah telah diwarnai dengan syariat sebagai pedoman dan rujukan?. Ramai lagi di kalangan umat Islam tidak mengambil peduli soal halal dan haram, kadangkala bersikap asal jadi duit, asal makan sedap, asal hati gembira dan sebagainya tanpa rasa bersalah melakukan sesuatu dan merampas sesuka hati atau mengambil sesuatu sekalipun bercanggah dengan syariat.
Marilah kita hijrahkan diri kita daripada gaya hidup yang menyimpang daripada syariat Islam berubah kepada gaya hidup yang diredai oleh Allah SWT.
4. Hijrah Tingkah Laku
Tingkah laku atau Sulukiyah bererti perjalanan keseluruhan tingkah laku atau keperibadian seseorang. Setiap perjalanan pasti akan bertembung dengan pergeseran nilai yang baik mahupun yang buruk. Ini adalah gambaran bahawa kehidupan ini penuh dengan cabaran dan halangan.
Tidak hairan kini, munculnya pelbagai gejala sosial dan moral seperti rasuah, pecah amanah, penipuan dan salahguna kuasa. Umat Islam wajib berhijrah untuk memerdekakan diri dan masyarakat dari kemelut kehancuran dan kerosakan kepada membudayakan kehidupan dengan mengenali dan memahami syariat, beramal dengan amalan terpuji, jauhi kehidupan buruk yang mencemar nilai moral dan akhlak. Penghijrahan ini amat perlu untuk menjamin kelangsungan agama, negara dan bangsa.
Hadirin Jumaat yang berbahagia,
Kata-kata daripada Saidina Umar al-Khattab Radhiallahuanhu:
Maksud: “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab di akhirat kelak”.
Ayuhlah kita berhijrah melaksanakan perubahan ke arah yang lebih baik. Meninggalkan segala keburukan, kepincangan dan kegelinciran. Mudah-mudahan kehidupan kita akan dirahmati oleh Allah SWT dan bererti kita telah mencapai kemerdekaan di sisi Allah SWT.
Hadirin jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah sama-sama menghayati hijrah dan bina kehidupan kita dengan berpandukan akidah, syariat dan akhlak Islam.
2. Umat Islam disarankan meninggalkan perkara-perkara yang buruk, dosa dan maksiat, justeru melaksanakan perkara yang diperintah oleh Allah SWT.
3. Umat Islam hendaklah menjadi agen dakwah kepada orang lain kepada perkara-perkara amar makruf nahi munkar serta menunjukkan tauladan yang baik.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ (٢٠)
Maksudnya: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah paling besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Al-Taubah 9:20)
Tarikh Dibaca: 28 Zulhijjah 1445h/5 Julai 2024m
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment