Teks Khutbah Jumaat (WP): Menjejak Tarbiah Maal Hijrah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ (٢٠)

Maksudnya: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah paling besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Al-Taubah 9:20)

Para Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala yang diperintah dan menjauhi segala yang ditegah.

Jadikanlah takwa sebagai prinsip utama dalam setiap keputusan dan tindakan kita. Dengan berbekalkan takwa, mudah-mudahan kita beroleh rahmat-Nya di dunia, di samping redha dan keampunan-Nya di akhirat serta menjadi penghuni syurga-Nya yang abadi.

Menghampiri tarikh penting dalam sirah Nabawiah, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk “Menjejak Tarbiah Maal Hijrah.”

Kaum Muslimin sekalian,

Marilah kita imbau kisah tragis yang berlaku pada tahun 622 Masihi, ketika Rasulullah SAW dan para sahabat terpaksa meninggalkan kota Mekah akibat tekanan dan ancaman yang berterusan kaum Musyrikin terhadap umat Islam. Selama 13 tahun mereka dihina dengan pelbagai cacian dan tuduhan, disiksa dengan pelbagai kezaliman dan penindasan, diboikot dan disekat daripada mendapat keperluan harian, diserang fizikal dan mental lantaran mempertahankan iman dan kebenaran di bumi yang terletaknya Baitullah itu. Akhirnya, Allah SWT memerintahkan Baginda SAW dan para sahabat berhijrah ke Yathrib (Madinah Al-Munawwarah), bumi yang dipenuhi cahaya iman.

Sesungguhnya, hijrah yang berlaku ini bukan pernyataan menyerah kalah tetapi ia sebenarnya proses menyusun semula langkah perjuangan yang bermatlamatkan kejayaan yang gilang-gemilang, merentasi sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Di atas matlamat hebat ini, mereka rela meninggalkan harta dan kediaman, berpisah dengan keluarga yang enggan beriman, lalu mengikat janji setia untuk bersama dengan Rasulullah SAW walau apa pun yang akan berlaku di hadapan.

Baginda sendiri berjalan merentasi padang pasir berdebu, musafir panjang yang melelahkan. Malah diekori rapat oleh musuh, sebelum selamat tiba di destinasi yang dituju. Tiada ungkapan selain puji dan syukur kepada Allah SWT. Kaum Ansar bersyukur kerana tibanya utusan Allah di negeri mereka, dan Kaum Muhajirin bersyukur mendapat saudara sebaik orang-orang Yathrib. Ikatan persaudaraan seakidah telah mempersatukan mereka. Membangunkan iman dan meninggikan syiar Islam kini menjadi matlamat bersama. Hasilnya, kedudukan mereka diangkat tinggi di sisi Allah SWT sepertimana yang terungkap di dalam Surah Al-Taubah, ayat 20 yang bermaksud:

“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah paling besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Adakah kita hanya menelusuri kisah hijrah sebagai sebuah cerita penyedap telinga semata-mata? Sirah tidak hanya kekal sebagai sejarah, bahkan ia tinggalan berharga untuk dipelajari demi kelangsungan hidup beragama dan bermaruah pada masa kini dan mendatang. 

Peristiwa hijrah yang agung ini sebenarnya mengajarkan kita beberapa nilai penting:

Pertama: Tuntutan Tawakal Berbekal Ketabahan dan Keberanian. 

Rasulullah SAW dan para sahabatnya menghadapi banyak cabaran yang besar ketika menjayakan hijrah. Adakah mereka lari daripada ujian yang dihadapi? Saksikanlah, dengan keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT, mereka menghadapinya dengan penuh ketabahan dan keberanian. Ini mengajar kita untuk sentiasa positif, tabah dan tidak mudah menyerah kalah dalam menghadapi ujian hidup. InsyaAllah, dengan sikap sebegini kita dapat meraih kemenangan dan mencapai kejayaan dalam menghadapi segala ujian dan rintangan hidup.

Kedua: Tautan Persaudaraan Sesama Umat Islam.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda berjaya menyatupadukan dan membina sebuah komuniti yang ampuh dan kuat lantaran kaum Ansar dan Muhajirin dipersaudarakan sebagai umat Islam tanpa dibayangi perbezaan bangsa, keturunan mahu pun tempat asal. Ibnu Majah Rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abdullah bin Salam bercerita bahawa Rasulullah SAW ketika sampai ke kota Madinah bersabda:

Maksudnya: “Wahai manusia sebarkanlah salam, berilah makanan, hubungkan silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia tidur, nescaya kamu masuk Syurga dengan selamat sejahtera.”

Justeru, ini patut menjadi pedoman buat kita sebagai umat Islam pada hari ini. Kita perlu berusaha mempereratkan tali persaudaraan, saling mendokong dan membantu walau berbeza aliran politik, mazhab, status sosial, ekonomi dan latar belakang keturunan, agar dapat membina perpaduan dan kekuatan umat Islam di negara ini secara khasnya dan di seluruh dunia amnya.

Ketiga: Nilai Keikhlasan Dalam Setiap Amalan.

Kaum Muhajirin berhijrah kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, lalu Allah SWT dan Rasul-Nya meredhai dan memberkati hijrah mereka. Dalam konteks kehidupan hari ini, keikhlasan itu kita terjemahkan dalam niat dan usaha melakukan apa juga hijrah dan perubahan semata-mata kerana Allah SWT dan dipersembahkan kepada-Nya. Usaha berhijrah melakukan perubahan untuk memperbaiki diri, meningkatkan amalan kebaikan dan menghindari kemungkaran, jika dilakukan dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian dan habuan, pasti akan mendapat ganjaran kesempurnaan, kekal berterusan dan keberkatan dalam kehidupan daripada Allah SWT.

Saudara-saudaraku yang didoakan kebahagiaan,

Berbicara tentang perubahan positif, mimbar turut ingin menekankan tentang perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenyataan akhbar bahawa semakin ramai golongan muda, terutama individu berusia antara 20-an dan 30-an dikesan mengalami serangan jantung berikutan ketagihan rokok dan pengambilan vape. Lebih membimbangkan perokok ‘dua dalam satu’ iaitu menghisap rokok tembakau dan rokok elektronik (vape) dalam kalangan usia muda semakin ramai dan meningkat jumlahnya.

Keadaan lebih buruk apabila perokok mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti tidak bersenam dan pemakanan yang tidak dikawal, menyebabkan individu terbabit lebih cepat mendapat penyakit khususnya serangan jantung. Justeru, mimbar menasihatkan agar semua hadirin memikirkan kesannya kepada diri mahupun keluarga.

Bermujahadahlah meninggalkan kesedapan sementara demi kehidupan yang lebih sihat dan bahagia. Ambil kesempatan sempena tahun baharu 1446 Hijrah ini dengan niat dan azam yang kuat untuk berhenti merokok dan vape.

Buatlah perancangan yang jelas, berhentilah di samping sediakan strategi untuk menghadapi ketagihan dan tekanan yang datang. Carilah aktiviti atau hobi baharu yang boleh mengisi masa lapang yang untuk melupakan perbuatan tidak sihat ini. Kenangkan manfaat kesihatan yang besar akan diperolehi dengan berhenti merokok atau vape, seperti peningkatan fungsi paru-paru, penurunan risiko penyakit jantung, dan peningkatan kualiti hidup secara keseluruhan. 

Dengan niat yang teguh, sokongan yang mencukupi, dan strategi yang sesuai, insyaAllah individu yang terlibat boleh mengatasi kebiasaan tersebut serta menikmati kehidupan yang lebih sihat.

Para tetamu Allah yang dimuliakan,

Di ambang tahun baru Hijrah 1446 ini, marilah kita melihat kembali sejauh mana kemajuan diri, keluarga mahupun umat Islam pada hari ini. Dengan menerapkan nilai-nilai dari peristiwa Hijrah seperti ketabahan, persaudaran dan keikhlasan, insyaAllah kita dapat meningkatkan kualiti hidup sebagai hamba Allah SWT yang lebih bertakwa akhirnya. 

Peribahasa kita ada menyebut, “Ditumbuk dikisar, barulah lumat.” Bermaksud, perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.

Mimbar ingin melabuhkan bicara pada hari ini dengan beberapa kesimpulan:

Pertama: Hijrah bukan sekadar kisah perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain,namun ia melambangkan pelbagai perubahan seperti kekufuran kepada keimanan, kejahilan kepada berpengetahuan, kegagalan kepada kejayaan, dan kelemahan kepada kekuatan.

Kedua: Terapkan nilai-nilai positif hijrah ke dalam diri masing masing seperti ketabahan menghadapi ujian hidup, tawakkal kepada Allah SWT mempereratkan tali persaudaraan seagama dan mengikhlaskan amalan semata-mata kepada Allah SWT.

Ketiga: Umat Islam tidak akan berubah selagi kita tidak mahu dan tidak bertindak untuk berubah. Sungguh! Allah SWT pasti akan membantu hamba-Nya yang benar-benar ingin berhijrah dan berubah kepada yang lebih baik.

Hayati firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’am ayat 155:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌۭ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (١٥٥)

Maksudnya: “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.”

(Surah Al-An’am 6:155)

Tarikh Dibaca: 28 Zulhijjah 1445h/5 Julai 2024m
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑