Kisah Qarun Dalam Al-Quran

Ibn Abbas RA mengatakan bahawa Qarun adalah sepupu kepada Nabi Musa AS. Qatadah berkata: Dia digelar “An-Nur” (cahaya) kerana memiliki suara yang lunak merdu ketika membacakan kitab Taurat, tetapi akhirnya dia berpaling menjadi manusia munafik dan menolak Nabi Musa AS dan menderhaka kepadanya.

Maka binasalah Qarun kerana maksiatnya berkait harta dan kekayaan yang dimilikinya. Shahr Ibn Haushab berkata: Qarun biasa menyeret pakaiannya ke tanah kerana sifat keangkuhan dan kesombongan. Allah Ta’ala telah menyebut kisahnya secara terperinci dalam Surah Qasas. Telah disebutkan bahawa kekayaan dan kemewahannya begitu banyak sekali sehingga kunci-kuncinya terlalu berat untuk dibawa oleh sekumpulan lelaki gagah sekalipun.

Dikatakan juga kunci-kunci kepada hartanya begitu banyak sehingga kunci-kunci tersebut perlu dibawa oleh enam puluh keldai! Namun, Qarun telah dinasihati oleh orang-orang soleh dari kalangan kaumnya dengan berkata: Janganlah kamu menyombongkan diri atau berlagak dengan harta benda, dengan mengingkari Allah Ta’ala. Nikmatilah daripada pendapatan halal dan baik anda tetapi janganlah kau lupa tentang mereka yang miskin dan memerlukan. Kongsilah kekayaanmu dengan mereka juga. Dan janganlah kamu menyakiti orang-orang yang kamu diperintahkan untuk berbuat kebaikan.

Sekiranya kamu menyakiti mereka, Dia akan menghukum kamu dan mengambil kembali apa yang telah Dia berikan kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan dan orang yang membuli. Jawapan Qarun terhadap nasihat baik kaumnya ini tidak lain adalah: “Semua kekayaan ini diberikan kepadaku hanya kerana pengetahuan yang aku miliki!” Dengan kata lain, “Aku tidak memerlukan apa yang kalian katakan atau rujuk, kerana Allah hanya mengurniakan aku semua ini kerana Dia tahu bahawa aku berhak memperolehinya. Juga, jika Dia tidak mengasihiku, Dia tidak akan mengurniakan atau memberikan aku segalanya!”

Namun, Allah SWT menolak kenyataannya dengan berfirman: (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Maka, seandainya apa yang dia katakan itu benar, Kami tidak akan mengazab seorang pun di antara orang-orang yang lebih kaya daripadanya dan harta dan kekayaannya tidak akan menjadi bukti cinta dan perhatian Kami kepadanya.

Firman Allah Ta’ala: Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. Banyak penafsir menyebut bahawa dia keluar kepada kaumnya dalam kemewahan yang besar (hamba, pakaian dan binatang tunggangan). (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.

Apabila kata-kata mereka itu sampai ke telinga orang-orang yang soleh, mereka berkata kepada mereka: “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.

Ibn Abbas RA berkata bahawa Qarun memberi seorang wanita jahat sejumlah wang untuk menuduh Nabi Musa AS melakukan perbuatan jahat di hadapan kaumnya. Wanita itu dikatakan telah memfitnah Nabi Musa AS dan akibatnya, Nabi Musa AS sujud dan meminta pertolongan Allah SWT dan kemudian berkata kepada wanita itu: Demi Allah! Beritahu aku, siapakah yang mengupah kau untuk melakukan ini?  Wanita tersebut berkata: Qarunlah yang mengupah aku untuk berbuat demikian. Kemudian, wanita itu memohon keampunan daripada Allah SWT dan bertaubat kepada-Nya. Setelah itu, Nabi Musa AS melaknat Qarun.

Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa AS bahawa Dia telah menundukkan bumi untuk mentaati beliau. Nabi Musa AS kemudian memerintahkan bumi untuk menelan Qarun dan rumahnya sambil berkata: “Wahai bumi, ambillah mereka semua.” Maka bumi menenggelamkan mereka sehingga ke paras buku lali. Kemudian Musa berkata: “Ambillah mereka.” Lalu bumi menenggelamkan mereka hingga paras lutut mereka, lalu hingga ke paras bahu mereka. Kemudian Musa berkata: “Ambilah harta benda mereka.” Maka bumi menelan harta benda mereka sedangkan mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri.  Kemudian Musa mengisyaratkan dengan tangannya: “Musnahlah kamu semua, wahai Bani Lawiy.” Lantas mereka semua ditelan oleh bumi. 

Allah Ta`ala berfirman: Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.

Imam Bukhari RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Pada suatu ketika seorang lelaki berjalan dengan pakaian yang membanggakan dirinya serta rambutnya disikat rapi dan berlagak sombong ketika berjalan. Tiba-tiba Allah membenamkannya ke dalam bumi maka dia terus menerus meluncur ke dalam bumi hinggalah hari kiamat.

(Hadith Riwayat Sahih al-Bukhari) 

Telah diriwayatkan daripada Qatadah, bahawasanya dia berkata: “Setiap hari, sedikit demi sedikit mereka ditelan bumi sehingga datangnya hari kiamat.”

Ibnu Abbas RA berkata: “Mereka tenggelam ke dalam bumi hingga sampai ke bahagian paling bawah dari bumi.” Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!” Kemudian, Allah Taala memberitahu kita bahawa Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Imam Ahmad, dalam Musnadnya, melaporkan bahawa suatu ketika Nabi SAW mengingati solat itu dan bersabda: “Sesiapa yang menjaga solat, ia akan menjadi cahaya, petunjuk dan (sebab) kejayaan (baginya) pada hari kiamat. Manakala sesiapa yang tidak menjaganya, (maka) tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan (dalam hidup dunia dan akhirat). Bahkan pada hari kiamat kelak dia akan akan (dihimpunkan) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubaiy Ibn. Khalaf (Musuh Rasulullah SAW semasa di Mekah)”

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Qasas ayat 76-83 yang bermaksud:

Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).” (76)

 “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”(77) 

Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).(78)

Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.(79) 

Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.(80)

Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”. Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.(81)

Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”(82) 

Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.(83)

 (Surah Qasas 28:76-83) 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑