Soalan
Sekiranya kita menonton filem dari negara barat ataupun filem korea dengan subtitle dan kita membaca subtitle tersebut yang menulis Oh My God atau kita membaca di media sosial perkataan tersebut dan kita percaya bahawa God itu merujuk kepada ALLAH, adakah ini dibenarkan syarak?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Islam memandang dengan teliti penggunaan perkataan “Oh My God” sebagai subtitle ketika menonton filem atau rancangan TV dari negara barat atau Korea. Walaupun tiada larangan khusus terhadap tindakan ini dalam Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.
Pertama, perlu difahami bahawa Allah adalah nama Tuhan yang mulia (Ismul Jalalah) dengan sifat-sifat yang sempurna, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab suci al-Quran. Oleh sebab itu lafaz Allah adalah bersifat qadim dan azali, sebab nama Allah tidak dapat dipisahkan daripada Zat Allah.
Zat Allah bersifat qadim, maka nama Allah juga bersifat qadim, dan azali. Oleh sebab nama Allah itu bersifat qadim, dan azali maka lafaz Allah bukanlah lafaz dari bahasa manusia. Lafaz “Allah” juga bukan berasal dari bahasa Arab disebabkan:
- Nabi Adam dan nabi-nabi sebelum orang Arab seperti nabi Nuh, Nabi Idris, Hud, Saleh, Ibrahim menyebut Tuhan mereka dengan nama Allah.
- Lafaz Allah tidak memiliki akar kata (root word) dalam Bahasa Arab, oleh sebab itu lafaz Allah bukan bahasa Arab.
- Tuhan dalam bahasa Arab disebut dengan “Ilah” (god) dan jika dalam bentuk khas disebut dengan “al-Ilah” (The God).
(Rujuk; Isu Kalimah Allah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hlmn.1)
Kedua, hakikat nama Allah adalah nama khas (proper name) telah disepakati oleh para ulama terdahulu. Pengukuhan bahawa ‘Allah’ adalah nama khas yang unik dan istimewa jelas dinyatakan dalam al-Quran.
Dalam surah al-Ikhlas, Allah SWT berfirman:
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) Allah Yang Maha Esa;”Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
(Surah Al-Ikhlas: 1-4)
Ibn Kathir dan para ahli tafsir mentafsirkan ayat di atas dengan mengatakan bahawa Allah adalah nama khas kepada Zat Allah (ism ‘alam li zat Allah) dan ia adalah nama yang luhur (al-ism al-a’zom). Ibn Kathir menyebut:
وَلَا يُطلَق هَذَا اللَّفْظُ عَلَى أَحَدٍ فِي الْإِثْبَاتِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ؛ لِأَنَّهُ الْكَامِلُ فِي جَمِيعِ صِفَاتِهِ وَأَفْعَالِهِ
Maksudnya: “Dan tidak diberikan nama (Allah) ini kepada seseorangpun dalam bentuk pengesahan kecuali kepada Allah azza wajalla kerana hanya Dia-lah yang sempurna dalam sifat dan perbuatan”.
(Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, jld.8, hlmn.528)
Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir mengatakan:
الْمُخْتَارُ عِنْدَنَا أَنَّ هَذَا اللَّفْظَ اسْمُ عَلَمٍ لِلَّهِ تَعَالَى، وَأَنَّهُ لَيْسَ بِمُشْتَقٍّ الْبَتَّةَ، وَهُوَ قَوْلُ الْخَلِيلِ وَسِيبَوَيْهِ، وَقَوْلُ أَكْثَرِ الْأُصُولِيِّينَ وَالْفُقَهَاءِ،
Maksudnya: “Yang terpilih bagi kami bahawa lafaz ini (Allah) adalah nama khas (ism ‘alam) bagi Allah Ta’ala dan ia bukanlah perkataan yang dapat dipecahkan (mushtaq) sama sekali. Ini adalah pandangan al-Khalil (seorang yang paling berautoriti dalam hal bahasa) dan Sibawayh, dan pandangan majoriti ulama’ usul dan Fuqaha”.
(Rujuk; al-Tafsir al-Kabir, jld.1 hlmn. 162)
Ketiga, hak menggunakan kata-kata tertentu adalah penting kerana ia melibatkan kefahaman yang mendalam tentang hakikat yang terkandung dalam kata-kata tersebut. Menterjemahkan istilah seperti ‘God’ kepada ‘Allah’ bukan sekadar pertukaran perkataan, tetapi juga melibatkan pemahaman yang mendalam tentang implikasi dan makna yang tersirat di sebaliknya. Professor SMN al-Attas menjelaskan pentingnya isu ini dengan mempertimbangkan kesan yang berpotensi terhadap akal dan fikiran dengan kata-kata berikut:
“Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata hanya menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan.” (Rujuk: SMN al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu Dan Pandangan Alam, hlmn. 47)
Kalimah ‘Allah’ bukan sekadar sebuah perkataan dalam bahasa Melayu atau bahasa lainnya; sebaliknya, ia adalah nama ilahi yang unik dan universal yang dimiliki oleh Allah SWT. Nama ini adalah anugerah dari-Nya dan merupakan cara yang Dia pilih untuk dipanggil oleh hamba-hamba-Nya.
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang ditanya kami cenderung mengatakan bahawa mempercayai perkataan ‘Oh my God’ di dalam subtitle dari filem barat atau Korea membawa maksud Allah adalah diharamkan kecuali jika terhindar dari unsur-unsur berikut:
- Menunjukkan kehinaan.
- Ada unsur tasyabbuh(menyerupai) dengan non-muslim.
- Boleh menimbulkan kekeliruan.
- Boleh dikaitkan dengan konteks kesesatan, kebatilan, dan pendustaan.
- Boleh menggambarkan yang buruk pada Allah.
- Meredai Tuhan orang bukan Islam
- Menuturkan di tempat yang tidak boleh contoh: dalam gereja.
- Boleh disamakan dengan agama-agama bukan Islam.
Tambahan pula, nama Allah itu adalah nama bagi zat tuhan yang mulia. Oleh itu, jika kita mendakwa istilah ‘Oh My God’ itu merujuk kepada Allah atau tuhan sekalipun ia tidak bertepatan dengan kaedah penterjemahan dan hakikat maksud tuhan yang sebenar di sisi syarak.
Kalimah Allah wajib dipelihara kesuciannya dan tidak boleh disamakan dengan perkataan yang lain berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia bersidang kali ke-82 pada 5-7 Mei 2008 seperti berikut:
“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh karena itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Waallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment