Soalan
Apakah hukumnya jika kita melangkah atas kubur muslim yang lain sewaktu menziarahi tanah perkuburan? Apakah Adakah perbuatan ini dikira sebagai berdosa?
Penjelasan
Menziarahi tanah perkuburan merupakan salah satu daripada amalan yang dianjurkan dalam Islam. Secara lazimnya, pelaksanaan amalan ini bertujuan mengunjungi pusara ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai atau sesiapa sahaja yang telah meninggal dunia bertujuan mendoakan keampunan dan kesejahteraan buat mereka.
Tanah perkuburan adalah salah satu kawasan yang perlu dihormati dan suasana ketika menziarahinya pula mestilah berlangsung dalam keadaan yang tawaduk dan penuh keinsafan.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!”
(Surah al-Takathur 102:1-3)
Dalam menghuraikan maksud ayat di atas, Imam al-Qurtubi turut menggariskan beberapa adab menziarahi kubur antaranya seperti:
- Berniat dalam hati untuk menziarahi kubur agar tidak sekadar merayau-rayau di sekitar tanah perkuburan.
- Berniat untuk menziarahi kubur demi memperoleh keredaan Allah SWT, memperbaiki semula rohani, memberi manfaat kepada orang mati dengan membaca al-Quran dan doa di sisi kuburnya.
- Dilarang berjalan dan duduk di atas kubur.
- Mengucapkan salam sebaik sahaja melangkahkan kaki memasuki ke tanah perkuburan dan memberikan salam juga kepada kubur yang dikenali.
- Menghadap ke arah si mati kerana menziarahinya seumpama bercakap dengannya.
- Membayangkan diri sebagai seseorang yang akan terkubur dalam tanah, terputus hubungan daripada ahli keluarga dan orang yang dikasihi.
- Merenungi keadaan saudara-saudaranya yang telah pergi.
Di samping itu, terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan adab-adab ketika menziarahi kubur dan sewaktu berada di tanah perkuburan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda:
لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ
Maksudnya: “Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk di atas kubur.”
(Riwayat Muslim)
Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud dari hadis ini menyebut bahawa larangan daripada hadis ini jelas menegaskan perbuatan duduk di atas kubur adalah haram. Terdapat juga riwayat yang lain menyebut daripada Abu Marsad al-Ghanawi:
لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا
Maksudnya: ”Jangan kalian duduk di atas kubur dan jangan solat menghadap ke arahnya.”
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas juga, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin menyatakan bahawa perbuatan duduk di atas kubur dan menginjak-injak di atasnya termasuk dalam perkara yang dilarang. Para fuqaha juga tidak menghadkan larangan hanya pada duduk dan injak atas kubur malah perkara-perkara yang seumpama dengannya termasuklah bersandar di kubur.
Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap tegas Baginda dalam mengajarkan para sahabat mengenai adab-adab ketika berada di tanah perkuburan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Basyir, beliau menceritakan kisah sewaktu berada dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW di sebuah tanah perkuburan umat Islam. Pada ketika itu, muncul seorang lelaki yang melintasi tanah perkuburan dengan memakai kasut. Baginda SAW kemudian menyeru dan menyuruh lelaki berkenaan supaya membuka kasut. Lelaki tersebut kemudian menoleh lalu mengenali bahawa suara itu ialah suara Rasulullah SAW, lantas terus membuka dan mencampakkan kasutnya.
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan pandangan fuqaha seperti di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum melangkah ke atas kubur seseorang muslim yang lain dengan sengaja adalah haram kerana ia juga termasuk dalam perbuatan-perbuatan tidak beradab yang dilarang sewaktu menziarahi kubur.
Setiap muslim seharusnya menjaga adab dan tingkah laku ketika berada di tanah perkuburan kerana ia menjadi simbol bagi memperingati soal kematian dan mendorong manusia ke arah keinsafan kepada Allah SWT.
Muslim juga perlu menghormati kubur muslim yang lain kerana mereka juga merupakan golongan yang mulia di sisi Allah SWT disebabkan banyak melakukan kebaikan sewaktu hidup di dunia. Sementara perbuatan melangkah kubur menunjukkan sifat kurang beradab yang dipenuhi dengan unsur kelalaian malah turut bertentangan dengan perintah Allah SWT sewaktu berada di tanah perkuburan.
Wallahu a’lam
Sumber: PMWP
Leave a comment