Oleh: Shaykh Ismail Kamdar
Fenomena baru yang pelik seputar dunia internet ialah lelaki yang beranggapan bahawa merendah-rendahkan wanita membuatkan dia kelihatan maskulin. Budak-budak lelaki yang bodoh sombong ini merasakan mana-mana lelaki yang baik dan penyayang adalah golongan yang lemah, malang dan mudah dikawal wanita. Bagi mereka satu-satunya cara untuk mempamerkan kuasa dan kepimpinan seseorang ialah dengan bersikap keras, tiada simpati dan angkuh dalam cara mereka berkomunikasi dengan wanita. Ini sangatlah bertentangan dengan ajaran Nabi SAW dan akhlak mulia yang diajarkan Baginda SAW kepada kita semua.
Peribadi Kenabian
Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya terhadap wanitanya.”
(Riwayat al-Tirmidzi 1162)
Baginda SAW juga bersabda, “Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji).”
(Riwayat al-Tirmidzi 1923)
Baginda SAW bersabda, “Pelan-pelanlah (hati-hatilah) kamu dalam mengawal gelas-gelas kaca.”
(Sahih Muslim)
Merujuk kepada wanita yang lebih mudah tersinggung dengan kata-kata berbanding lelaki, maka lelaki dinasihatkan agar bertutur dengan lembut dengan wanita, berbanding dengan cara mereka bercakap sesama sendiri.
Akhirnya, Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini bermaksud lelaki dan perempuan mempunyai sifat yang berbeza, dan lelaki mestilah lemah lembut dan cuba memahami wanita, dan tidak cuba memaksa mereka untuk berfikir seperti lelaki atau bertindak seperti lelaki.
Untuk menegakkan benang yang basah, sebahagian daripada budak-budak lelaki ini mungkin memetik beberapa kejadian di mana Nabi SAW atau para sahabat bercakap tegas kepada beberapa wanita. Walau bagaimanapun, riwayat-riwayat ini adalah kes-kes berkecuali, tatkala mereka berurusan secara khusus dengan wanita yang keterlaluan. Ini bukanlah perangai biasa kaum lelaki berurusan dengan orang lain, terutamanya dengan wanita. Keperibadian dan gaya hidup seorang Muslim yang biasa ialah penuh dengan belas kasihan, kebaikan, persefahaman dan empati.
Rasulullah SAW menekankan belas kasihan sebagai keperibadian utama orang beriman. Baginda SAW bersabda, “Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah sesiapa yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit. (Riwayat al-Tirmizi 1924)
“Barangsiapa yang baik hati, penyayang dan mudah mesra, maka Allah akan melarangnya dari masuk neraka.”
(al-Sunan al-Kubraa lil-Bayhaqi 20806)
“Sesungguhnya, apabila Allah mencintai ahli sesebuah keluarga, Dia akan memasukkan kelembutan ke dalam mereka.”
(Fawā’id Abī Bakr al-Abharī 18)
Memimpin dengan Empati
Lelaki merupakan pemimpin dalam keluarga, tetapi mereka perlu memimpin dengan empati, kasih sayang, kebaikan dan keadilan. Kepimpinan tanpa kualiti-kualiti ini akan menjadi zalim, terutama jika diganti dengan kekasaran, keceluparan, keganasan dan keras hati. Lelaki muslim perlu berhati-hati dengan trend terbaru yang mendorong mereka mempamerkan kelelakian dengan cara yang kasar, keras, ganas dan jahat. Ini bukanlah Sunnah dan bukanlah cara untuk menjadi Qawwam sejati.
Suami terbaik ialah Rasulullah SAW. Sikap Baginda SAW terhadap keluarganya penuh dengan kebaikan, belas kasihan dan persefahaman. Baginda SAW jarang memarahi, dan apabila Baginda SAW menegur, ianya kerana mereka melampaui batas dan memerlukan amaran yang keras. Inilah cara Islam yang seimbang, memimpin dengan kebaikan dan kasih sayang, tetapi tegas menegur dalam situasi yang perlu diperbetulkan.
Al-Quran menekankan bahawa perkahwinan itu adalah sumber cinta, belas kasihan dan kedamaian. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Rum:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah Al-Rum 30:21)
Sifat Berbeza
Lelaki perlu faham bahawa wanita itu sifatnya berbeza daripada mereka. Apabila lelaki kasar tidak tentu arah kepada wanita, walaupun untuk memperbetulkan kesalahan mereka, ianya jarang menghasilkan kesan yang baik. Lebih-lebih lagi apabila tiada hubungan antara mereka.
Di zaman ini lelaki sering membetulkan wanita bukan mahram dengan cara kasar di alam maya dan kemudian tertanya-tanya mengapa kaum wanita bertindak balas dengan marah dan semakin galak melakukan dosa yang ditegur itu. Ini ialah kerana teguran tidak dilakukan dengan hikmah, jadi kesannya juga tidak baik. Sebaik-baiknya, wanita hendaklah ditegur oleh mahram, suami, guru, dan wanita lain.
Jarang sekali wanita akan menerima teguran dari lelaki bukan mahram dengan baik. Saya bukanlah menyokong kelakuan sedemikian; saya hanya menerangkan sifat manusia dan bagaimana ia biasanya berlaku. Dengan mahram dan isteri seseorang, jika kita mengekalkan budaya yang penuh kelembutan, kasih sayang dan kebaikan, maka teguran tegas sekali-sekali jika mereka keterlaluan akan diambil lebih serius.
Secara idealnya, kejadian sebegitu tidak akan timbul kerana perhubungan penuh kasih sayang selalunya membuatkan wanita kekal di jalan yang lurus. Penting bagi lelaki untuk belajar tentang perbezaan sikap lelaki dan perempuan, supaya mereka dapat membimbing wanita dengan baik. Pengetahuan ini akan memberi manfaat kepada lelaki dalam perhubungan mereka dengan wanita, bukan hanya dalam peranannya sebagai Qawwam.
Tolonglah Jangan Berperangai Jengkil!
Bukanlah sesusah mana untuk menjadi seorang yang baik dan penyayang. Sikap ini sepatutnya menjadi biasa dalam setiap perhubungan, terutamanya perkahwinan. Apabila seorang lelaki itu penyayang kepada isterinya dan menjaga keperluan emosi isteri, isteri tersebut akan menerima kepimpinannya dan mengikuti beliau sehingga ke syurga.
Perlu diingat bahawa kebaikan hanyalah satu aspek dalam perhubungan perkahwinan. Lelaki perlu memperkasakan sifat kepimpinannya, mempunyai matlamat untuk keluarga, menetapkan dan mengekalkan sempadan, dan mampu bertegas apabila anggota keluarga melampaui batas. Tiada satu pun daripada ini menafikan keperluan untuk menjadi baik, penyayang, dan tegas kepada mereka yang diletakkan di bawah jagaan anda.
Nasihat kenabian daripada khutbah terakhir Rasulullah SAW meringkaskan konsep ini dengan baik:
“Berpesanlah kamu semua dengan kebaikan terhadap wanita (para isteri), kerana mereka itu hanyalah penolong di sisi kamu. Kamu tidak menguasai dari mereka sedikit pun selain itu kecuali bila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Bila mereka melakukan hal tersebut, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya dan pukullah dengan pukulan yang tidak menjadikan cacat. Namun bila mereka mentaati kamu semua, maka tidak ada jalan bagi kamu untuk menyusahkan mereka. Ketahuilah, kamu memiliki hak terhadap isteri-isteri kamu. Dan mereka juga memiliki hak terhadap kamu. Hak kamu terhadap mereka adalah mereka tidak boleh membiarkan ada orang yang kamu benci untuk memijak hamparan (permadani) kamu dan isteri tidak boleh mengizinkan orang yang kamu benci masuk rumah kamu. Adapun hak mereka terhadap kamu adalah kamu berbuat baik kepada mereka dalam memberikan pakaian dan makanan mereka.”
(Riwayat al-Tirmidzi 1163)
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan
Artikel Asal: Izzah Academy
Terjemahan: Mymuslimin.com
Leave a comment