Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Remaja Masa Depan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى (١٣)

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

 (Surah Al-Kahf 18:13)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Remaja Masa Depan”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

 Alam remaja merupakan tempoh pembentukan peribadi dan jati diri, sikap bertanggungjawab, berdikari dan belajar memimpin. Remaja berperanan penting dalam membentuk masa depan persekitaran komuniti, masyarakat dan negara unggul. Remaja merupakan aset yang sangat berharga dan mesti dibimbing dan dididik dengan betul supaya berakhlak mulia dan menjauhi akhlak buruk untuk kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara. 

Hadis daripada Talhah bin Kuraiz Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah, suka kepada pemurah, suka kepada ketinggian akhlak, dan benci kepada akhlak yang rendah (buruk).”

(Riwayat al-Baihaqi) 

Tetamu Allah SWT yang dikasihi sekalian,

Di dalam al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyentuh perihal remaja, memberikan nasihat, teladan dan kisah yang bermanfaat kepada golongan remaja. Mari kita renungkan kisah Ashabul Kahfi (Pemuda-pemuda Gua). Kisah Ashabul Kahfi adalah kisah yang masyhur dikhabarkan di dalam al-Quran. Ia melibatkan sekumpulan pemuda yang beriman mencari perlindungan di dalam gua untuk menyelamatkan diri demi mempertahankan akidah dan keimanan mereka. Kisah ini terkandung dalam Surah Al-Kahfi ayat 13-14 yang bermaksud: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى (١٣) وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا (١٤) 

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.” Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya, jika kami menyembah yang lain-Nya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

(Surah Al-Kahfi 18:13-14)

Seterusnya kisah Nabi Yusuf Alaihissalam yang memaparkan peribadi remaja yang mulia, mempunyai kesabaran yang tinggi, berakhlak mulia dan bijaksana. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 22 yang menyebut tentang kebaikan yang diberikan kepada Nabi Yusuf Alaihissalam seusia remaja. 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥٓ ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ (٢٢)

Maksudnya: “Dan ketika Yusuf sampai peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan, dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”

(Surah Yusuf 12:22)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Remaja mempunyai peranan yang sangat penting dalam membentuk masa depan masyarakat dan negara. Legasi tamadun yang baik perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk kelangsungan memacu kemajuan dan kesejahteraan ummah. Beberapa aspek penting perlu diberi  perhatian agar remaja hari ini boleh berperanan dengan berkesan dan dapat memberi nilai tambah kepada masa depan negara yang mengamalkan lunas-lunas Islam, aman dan makmur. 

Sehubungan itu beberapa perkara perlu diutamakan dalam membentuk remaja masa depan, antaranya:

1. Didiklah remaja dengan cara didikan Islam dan tingkatkan nilai mereka dengan ilmu pengetahuan. Pendidikan merupakan kunci kemajuan dan pembangunan negara. Remaja yang berpendidikan dan berilmu mampu membina keyakinan, mengambil tanggungjawab dan boleh disandarkan kepadanya amanah kepimpinan. Ilmu juga akan menjadi penyuluh kepada remaja meneroka kebenaran, batas hak dan kebatilan serta mampu melaksanakan amar makruf dan mencegah kemungkaran dengan baik dan bijaksana.

Remaja Islam mesti menguasai ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah mencakupi ilmu keduniaan secara seimbang untuk sebuah tamadun Islam yang unggul. Maka kita sebagai umat Islam yang menjadi contoh kepada para generasi muda ini, didiklah mereka dengan tauladan yang baik dalam segenap aspek kehidupan agama dan dunia, termasuk dalam berkeluarga, berorganisasi, berpolitik, bermasyarakat, bernegara dan bagaimana menjadi individu yang berpendirian mengikut acuan dan ketentuan agama Islam. 

2. Bentuklah ciri kepimpinan, integriti dan jati diri remaja. Remaja perlu dipersiapkan dengan tasawur Islam (gambaran umum Islam) dan prinsip-prinsip agama Islam yang jelas. Sebagai pemimpin masa akan datang, remaja perlu memimpin negara melalui pembangunan siasah politik yang tersusun rapi dan tidak sama sekali mengenepikan kepentingan agama dalam urusan kemakmuran sesebuah negara. Semai dan tanamlah ke dalam diri remaja itu sebagai individu yang memimpin untuk kepentingan masyarakat, bukan untuk kepentingan peribadi dan kelompok. 

Malangnya, apa yang berlaku hari ini, remaja tidak dapat mencontohi sesuatu yang benar dan tepat untuk mereka. Apa yang mereka lihat dalam soal kepimpinan adalah perbalahan yang tidak pernah padam sesama umat Islam, caci maki, penipuan, fitnah dan kecaman. Keadaan ini memerlukan remaja dididik untuk terus memiliki jati diri kental. Maka remaja perlu dididik untuk menghadapi pelbagai situasi dengan mengambil sikap tidak mudah terpengaruh, terikut-ikut atau taasub perkara yang negatif. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

Maksudnya:  “Islam bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali kepada keadaan asalnya dalam keadaan dagang. Maka beruntunglah orang-orang yang dalam keadaan dagang (berpegang teguh padanya)”.

(Riwayat Muslim) 

Hadirin yang dirahmati Allah SWT, 

Pada hari ini, negara meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan remaja sebagai peneraju kegemilangan dan masa depan negara. Sebagai aset penting negara, golongan remaja perlu mengambil iktibar dan sempadan kepada kebenaran apa juga yang berlaku hari ini. Remaja perlu menghayati pengajaran daripada peristiwa masa lalu dan hari ini sebagai tauladan dan sempadan di era kepimpinan masa hadapan. Remaja sebagai generasi pelapis, perlu mempersiapkan diri dan memandang ke hadapan dengan penuh tanggungjawab untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang aman, damai, sentiasa dalam kerahmatan dan mendapat keampunan Allah SWT. 

Hadirin yang dirahmati Allah SWT, 

Mimbar ingin menyampaikan nasihat agar remaja terus kekal istiqamah menyediakan diri dengan :-

1. Mengukuhkan iman dan meningkatkan ketaqwaan. Ini bermaksud, sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT, menjaga halhak Allah SWT (mendirikan solat, melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Ini kerana dengan menjaga hak-hak Allah SWT maka Allah SWT akan memakmurkan dunia ini dan memuliakan agama kita. Berbuatlah baik dengan beramal soleh dan banyakkan membaca al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Muddatthir ayat 56 : 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَمَا يَذْكُرُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ هُوَ أَهْلُ ٱلتَّقْوَىٰ وَأَهْلُ ٱلْمَغْفِرَةِ (٥٦)

 Maksudnya: “Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah, Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintah-Nya, dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat)”

(Surah al-Muddatthir 74:56)  

2. Tuntutlah ilmu, kerana ilmu itu adalah penyuluh kepada kebenaran. Ilmu itu adalah alat sebuah kejayaan di dunia mahupun kejayaan di hari akhirat kelak. Berusaha mencari ilmu dari guru yang murshid di mana jua. Menuntut ilmu bukan sahaja perlu, bahkan merupakan kewajipan sebagai seorang Islam.  Kata-kata Imam As-Syafi’e:

Maksudnya: “Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah ia berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah ia berilmu”. 

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

(Riwayat Muslim)

3. Memilih rakan yang baik dan betul. Pilih rakan yang boleh memberi pengaruh positif dan mengajak kepada kebaikan. Elakkan daripada rakan-rakan yang boleh membawa kepada perbuatan maksiat atau merosakkan akhlak. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama kawannya. Maka hendaklah mempertimbangkan siapa yang menjadi kawannya.”

(Riwayat Imam Ahmad) 

Hadirin jumaat yang dikasihi Allah SWT,

 Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

  1. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Justeru itu, didik dan pandulah para remaja mengikut acuan yang bertepatan syariat Islam. 
  2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa remaja adalah aset yang berharga, perlu dibimbing dan dididik dengan betul untuk kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara pada masa depan. 
  3. Umat Islam hendaklah memastikan remaja dapat membina dan mengukuhkan iman dan taqwa, menjaga lisan dan perbuatan agar hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah SWT itu sentiasa hebat dan penuh makna. 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهْدِيَهُۥ يَشْرَحْ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُۥ يَجْعَلْ صَدْرَهُۥ ضَيِّقًا حَرَجًۭا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ (١٢٥) 

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah Al-An’am: ayat 125)

Tarikh Dibaca: 6 Muharam 1446H/12 Julai 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑