أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَـٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَىْءٍۢ مَّوْزُونٍۢ (١٩) وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَـٰيِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُۥ بِرَٰزِقِينَ (٢٠)
Maksudnya: “Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya setiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang bukanlah kamu orang yang menyediakan rezekinya.”
(Surah Al-Hijr 15: 19-20)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mari kita perteguhkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh mengekalkan ketaatan dalam menyempurnakan suruhan-Nya dan menghindari larangan-Nya. Sesungguhnya hanya dengan ketakwaan kita dijamin meraih kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Semoga dengan memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan meninggalkan kelekaan dan perkara sia-sia ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, kita akan memperoleh ganjaran solat Jumaat yang sempurna di sisi Allah SWT.
Bersama kesedaran untuk sentiasa bersyukur dan saling menghargai, juga bersempena Hari Peneroka FELDA pada tahun ini, khutbah Jumaat hari ini membicarakan tajuk, “Mensyukuri Budi Menghargai Bakti.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Muka bumi yang terbentang luas dan dilengkapi dengan segala hidupan dan kemudahan adalah kurniaan Allah SWT untuk manusia membina kehidupan di atasnya. Limpah kurnia Allah SWT ini sewajarnya disyukuri dan dihargai dengan percaturan dan pengurusan yang baik agar ia kekal makmur dan berlangsung memenuhi keperluan hidup kita semua. Ingatan ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hijr, ayat 19-20 yang menjadi mukaddimah khutbah, bermaksud:
“Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya setiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang bukanlah kamu orang yang menyediakan rezekinya.”
(Surah Al-Hijr 15: 19-20)
Ayat ini memuatkan pedoman segala yang ada di bumi ini diciptakan mengikut sukatan dan timbangan yang tertentu untuk menjamin kelangsungan hidup khalifahnya, manusia. Sudah pasti nikmat muka bumi yang disediakan ini perlu digarap dan ditadbir urus dengan baik untuk mampu mencapai matlamatnya. Bumi yang indah ini perlu dimakmurkan untuk menghasilkan keperluan kehidupan manusia.
Selaras tuntutan ini, negara kita pada 1 Julai 1956 telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Ia ditubuhkan untuk berperanan memajukan tanah-tanah baharu untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian yang berkesan. Mereka yang menyertai rancangan ini disebut sebagai peneroka. Usaha ini telah menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin di samping meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Setiap peneroka diperuntukkan dengan sebuah rumah kediaman dan 10 ekar tanah ladang. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya dengan imbalan hasil ladang sebagai sumber nafkah diri dan keluarga. Di samping itu, proses ini membantu membangunkan ekonomi negara dan memakmurkan tanah di bumi menurut Islam. Hasilnya kini, kita dapat melihat pelbagai kemajuan, pencapaian dan nikmat telah dicapai di tanah-tanah rancangan FELDA yang dibangunkan.
Generasi yang lahir dari bumi bernama FELDA ini juga telah ramai yang berjaya membina pencapaian dan kecemerlangan dalam kehidupan. Semua nikmat ini perlu dihargai dan disyukuri bagi memastikan keberkatannya kekal dan berpanjangan. Bersama tuntutan ini, kita juga memahami betapa para peneroka juga telah mengharungi pelbagai cabaran dan kepayahan dalam usaha membangunkan kehidupan di tanah FELDA.
Para Tetamu Allah yang diberkati,
Hakikatnya, sebagai pekerja, walau di mana kita berada, di sektor awam atau swasta, makan gaji atau bekerja sendiri, peneroka, pengusaha atau peniaga, cabaran kerjaya dan kehidupan di dunia ini perlu dihadapi dengan pedoman syariat.
Berikut beberapa pedoman untuk kita semua:
Pertama: Mensyukuri Kurniaan Nikmat Allah – Segala yang kita miliki hari ini adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang perlu disyukuri. Allah menjanjikan pertambahan nikmat dengan kesyukuran yang dipersembahkan. Buktikan rasa syukur dengan amal-amal kebaikan di samping membicarakan nikmat kurniaan yang diterima. Untuk membangkitkan rasa bersyukur kita perlu melihat mereka yang lebih susah dan kurang daripada kita Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, baginda bersabda yang maksudnya:
“Lihatlah siapa yang berada di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu, itulah yang lebih wajar agar kamu tidak memandang rendah terhadap nikmat kurniaan Allah.”
Kedua: Tabah dan sabar hadapi kepayahan – Siapa pun yang hidup di dunia ini pasti menghadapi ujian dan kepayahan. Inilah realiti hidup di dunia. Ia adalah medan ujian untuk setiap kita mempersembahkan tahap kesabaran yang membuktikan keutuhan keyakinan kita kepada Allah SWT.
Warga peneroka secara khususnya pasti mempunyai pengalaman kepayahan yang sukar dilupakan ketika mula-mula memasuki penempatan FELDA dan bekerja di ladang yang diamanahkan. Juga ketika menghadapi kejatuhan harga komoditi sawit dan getah yang menjejaskan perolehan bulanan mereka. Warga kota juga turut bersama menghadapi cabaran kehidupan di bandar yang menuntut ketabahan dan kesabaran. Bagaimana kita melayani semua ujian dan cabaran itu? Sedarkah kita betapa semua itu sengaja direncanakan buat kita agar memperoleh ganjaran bersabar yang tiada batasan.
Hayati firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar ayat 10;
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قُلْ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۭ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ (١٠)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad,): “Wahai hamba- hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan dan (ingatlah) bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tiada terkira banyaknya.”
(Surah Az-Zumar 39:10)
Ketiga: Saling membantu dan berkongsi kurniaan – Bersama kepayahan, kita akur betapa masih terlalu banyak nikmat kurniaan Allah yang masih kita genggam. Lihatlah bagaimana Islam mengajar kita untuk berkongsi kurniaan dengan ibadah zakat yang difardukan. Malah kita juga dianjurkan untuk bersedekah dan berinfak menghulur sumbangan sebagai bukti kesyukuran.
Mereka yang dikurniakan limpahan rezeki, hulurkanlah bantuan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan. Yakinlah bahawa perkongsian nikmat akan membawa kelestarian dan keberkatan hidup. Teringat kita kepada peribahasa Melayu yang berbunyi ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’ yang membawa maksud kehidupan masyarakat yang sentiasa saling bersatu hati dan menguatkan di antara satu sama lain. Semoga rahmat Allah SWT terus bersama kelangsungan hidup kita.
Begitulah sewajarnya sebagai insan beriman, kita sentiasa bersama Allah SWT untuk kekal positif dalam apa juga keadaan. Sudah begitu resam hidup di dunia, susah dan senang datang bersilih ganti. Apa yang perlu adalah persiapan jiwa kita dalam mendepani semua cabaran ini.Beruntunglah mereka yang pandai mengendalikan emosi bersama ingatan kepada Allah SWT. Sewaktu susah dia bersabar, ketika dikurniakan nikmat dia bersyukur.
Hadirin Mukminin yang Berbahagia,
Apa yang diperkatakan ini adalah selaras dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang digarap untuk memastikan Kesejahteraan insan mendepani kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, dan pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun. Sesungguhnya, kita akan terus berada dalam kebaikan selama mana kita masih membicarakan kebaikan dan menghargai insan-insan yang menghasilkan kebaikan dalam hidup kita. Tinggalkanlah budaya hidup yang asyik membicarakan kekurangan dan keburukan insan kerana ia tabiat yang merugikan kita di dunia dan di akhirat nanti.
Mengakhiri khutbah, berikut dibentangkan kesimpulan khutbah hari ini:
Pertama: Buktikan rasa syukur dengan amal-amal kebaikan di samping membicarakan nikmat kurniaan yang diterima. Lihatlah kepada mereka yang lebih susah dan kurang daripada kita untuk membangkitkan rasa bersyukur.
Kedua: Hadapi semua ujian dan cabaran hidup dengan ketabahan dan kesabaran agar kita meraih ganjaran besar yang tiada batasan.
Ketiga: Lestarikan keberkatan hidup dengan sikap saling bantu membantu dan berkongsi nikmat yang diterima. Juga, budayakan gaya hidup banyak membicarakan kebaikan dan menghargai insan-insan yang menghasilkan kebaikan dalam hidup kita.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT di dalam Surah al-Israk, ayat 53:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوًّۭا مُّبِينًۭا (٥٣)
Bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang paling baik. Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka, sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”
(Surah Al-Israk 17:53)
Tarikh Dibaca: 6 Muharam 1446H/12 Julai 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment