Sunnah Yang Hampir Dilupakan: Membuka Anggota Tubuh Supaya Terkena Hujan

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةٌ، فَعَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan sunnah dalam Islam, dia mendapat pahalanya sekali gus pahala siapa sahaja yang mengamalkannya dengan tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.

(HR. Muslim no. 1017)

Membuka Anggota Tubuh Supaya Terkena Hujan

Imam Muslim (hadis no. 898) berkata, Yahya bin Yahya menceritakan bahawa Ja’far bin Sulaiman, daripada Thabit Al-Banani dan daripada Anas:

“Kami pernah di timpa hujan bersama Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah menyingkap bajunya sehingga terkena air hujan. Kemudian, kami mengatakan, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Kerana hujan ini baru sahaja Allah ciptakan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud no. 5100, Ahmad no. 3/133 dan 267, Nasai dalam Al-Kubra no. 1849, al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 571. Sementara itu, Ibnu Abi Asim meriwayatnya dalam kitab As-Sunnah.

Imam an-Nawawi memaparkan dalam Syarah Muslim 3/464, hadis ini menjadi dalil kepada ulama mazhab kami (Syafiiyyah) tentang dianjurkannya menyingkap sebahagian badan (selain aurat) semasa awal turunnya hujan. Tujuan di singkap baju supaya terkena terus dengan air hujan tersebut.

Melalui hadis ini juga dapat di ambil pengajaran bahawa kita perlu sentiasa bertanya. Orang yang tidak tahu perlu bertanya kepada orang yang lebih tahu apabila melihat sesuatu perlakuan baru supaya mendapat ilmu.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Darimi dalam bantahannya terhadap kelompok Jahmiyah no. 76 di bawah Bab: Istiwa’ur Rabb ‘alal Arsy wa Irtifa’uhu ilas Sama’i wa Bainunatuhu minal Khalq (Kebersemayaman Allah di atas Arsy dan naiknya Dia ke atas langit serta Perbezaannya dengan Makhluk-Nya).

Darimi (hal. 52 terbitan Al-Badr) juga mengatakan, “Sekiranya orang-orang yang berpaling dari kebenaran itu mengatakan bahawa Allah itu ada di mana-mana, tentu air hujan itu baru sahaja diciptakan Allah daripada langit, kerana air hujan itu sama seperti air biasa dan makhluk lainnya.”

Imam Zahabi juga mencantumkan hal ini di dalam kitab Al-‘Uluw lil ‘Aliyil Ghaffar, sebagaimana dalam kitab ringkasannya karangan Al-‘Allamah Al-Albani no. 25.

Al-Allamah bin Baz menjelaskan, hadis membenarkan bahkan sunat menyingkap tubuh badan seperti lengan atau kepalanya, sehingga terkena air hujan. Nabi pernah melakukannya. Oleh itu, disyariatkan bagi seorang muslim untuk membuka kopiah atau menyelak baju sekadar anggota yang dibolehkan untuk bermandi hujan. (Majmu’ Fatawa Ibni Baz 13/64)

Catatan:

“Tutuplah bekas-bekas kamu dan ikatlah kantong-kantong penyimpan air, kerana setiap tahun ada satu malam yang pada ketika itu diturunkan wabak penyakit. Wabak melalui bekas yang tidak tertutup atau kantong air yang tidak terikat, akan jatuh ke dalamnya.”

(HR Muslim)

Sumber: 100 Sunnah Yang Hampir Dilupakan oleh Haifa Abdullah Al-Rasyid

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑