Tipu Daya Iblis: Kenapa Ada Ramalan Bomoh Betul Tetapi Masih Haram Mempercayainya?

Berkata Imam Al-Jauzi:

“Yang menjadi kebiasaan mereka adalah percaya kepada perkataan bomoh, ahli nujum, atau peramal. Hal ini sangat berleluasa dalam kehidupan mereka dan menjadi tradisi orang-orang lama mempunyai kedudukan dalam kalangan mereka. Maka kamu akan lihat kebanyakan mereka itu apabila ingin bermusafir, memotong pakaian atau berbekam, mereka akan meminta nasihat ahli nujum dan melakukan apa yang disuruh. Dalam rumah-rumah mereka, terdapat takwim nasib/tilik dan berapa banyak rumah mereka yang tidak mempunyai mushaf Al-Quran.”

“Dalam hadith sahih diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W.: Bahawa baginda pernah ditanya tentang para bomoh. Maka baginda menjawab, ‘Mereka itu tidak ada apa-apa.’ Mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, terkadang mereka memberitahu sesuatu yang memang benar-benar berlaku.’ Baginda bersabda, ‘Kata-kata mengandungi kebenaran itu dicuri oleh sejenis jin, lalu dikokokkan ke telinga penolongnya sebagaimana kokokan ayam, lalu mereka mencampurkan di dalamnya lebih daripada seratus pembohongan.””

(Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, kitab Adab, bab Qaulur Rijal Lilsyai’in Laisa Bisyai’in Wahua Yanwi Annahu Laisa Bihaq, no. hadith 6213, daripada Saidatina ‘Aisyah R.A., status hadith sahih.)

Syarah dan Tahqiq:

Setiap manusia tidak dapat lari daripada musibah. Pelbagai jenis musibah yang ada. Dan setiap orang akan mengharungi musibah mereka yang tersendiri. Musibah datangnya daripada Allah S.W.T. dan penawarnya juga daripada Allah S.W.T. Jadi Allah S.W.T. menurunkan musibah terhadap hamba-Nya bagi menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya, dan melihat sejauh manakah kebergantungan mereka kepada-Nya.

Manusia akan benar-benar diuji apabila ditimpa musibah. Ketika inilah manusia itu akan dilihat sama ada teguh berdiri di jalan-Nya ataupun akan beralih daripada ajaran-Nya.

Bomoh adalah salah satu jalan penyelesaian singkat dan sesat apabila ditimpa musibah. Manusia tidak akan mengetahuinya selagi tidak diuji. Bagi orang yang diuji, situasinya berbeza dengan orang yang tidak diuji. Orang yang diuji dengan musibah ini, kebanyakannya tidak dapat memikirkan secara rasional jalan penyelesaiannya. Jadi mana yang terlintas di fikirannya, yang dirasakan dapat menyelesaikan masalahnya, akan terus diambil tanpa memikirkan baik dan buruknya. Malahan lebih teruk, ada yang sanggup tidak memikirkan halal dan haramnya.

Berjumpa bomoh, tukang tilik, atau ahli nujum hukumnya haram di sisi Islam. Bomoh yang dimaksudkan adalah bomoh yang menggunakan ayat-ayat selain daripada ayat Al-Quran dalam rawatannya seperti jampi serapah yang tidak diketahui maksudnya. Percaya dengan tilikan bomoh, tukang tilik, atau ahli nujum termasuk dalam perkara syirik dan hukumnya dosa besar. Kata-kata bomoh, tukang tilik, mahupun ahli nujum tidak boleh dipercayai dan dipegang sekalipun ianya benar dan tepat.

Daripada syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi, yang dimaksudkan dengan kokokan ke telinga penolongnya adalah menunjukkan perangai jin apabila dapat mengetahui perkhabaran dengan mencuri dengar perkhabaran dari langit. Apabila jin mengetahui suatu perkhabaran, dia terus memberitahu tuannya atau orang yang bersahabat dengannya seperti kokokan ayam.

Yang dimaksudkan dengan kokokan ayam ialah, berita itu terus disambut oleh para jin yang lain seperti mana kokokan ayam yang disambut oleh ayam yang lain. Namun yang pastinya ada tokok tambah pada berita itu. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad S.A. W. dengan mencampurkan di dalamnya lebih daripada seratus pembohongan. Seribu perkataan yang disampaikan oleh jin, hanya satu sahaja yang benar. Itupun harus disiasat kesahihannya. Itulah perangai jin.

Di dalam agama pula, ulama’ berkata, pendapatnya sendiri, ia menjadi salah sekalipun “Sesiapa yang mentafsirkan Al-Quran dengan tafsirannya benar.” Maksudnya sesiapa yang mentafsir Al-Quran dengan tidak mengikut kaedah yang betul, maka tafsirannya itu tidak betul sekalipun tafsirannya betul.

Contohnya seorang pelajar menjawab satu peperiksaan. Apabila dia tidak tahu akan jawapan bagi suatu soalan, maka jawapan itu diletakkan dengan sesuka hatinya. Tetapi jawapan itu betul.

Kata ulama’, meskipun jawapannya betul, caranya tetap tidak betul. Jawapan yang betul itu kerana nasib menyebelahinya. Adakah seterusnya dia akan terus menjawab dengan betul pada soalan tidak diketahui jawapannya? Adakah nasib akan terus menyebelahinya?

Hal ini dikaitkan dengan perkara yang betul tetapi masih salah. Seperti berita daripada jin, sekalipun ia benar, tetapi caranya tetap tidak benar. Manusia tidak sepatutnya meletakkan kebergantungan terhadap jin, tetapi kebergantungan itu mestilah diletakkan kepada Allah S.W.T. semata-mata. Syirik hukumnya meletakkan tempat kebergantungan selain daripada Allah S.W.T.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑