Hukum Tahan Kentut Di Hujung Waktu Solat

Soalan                   

Saya solat di hujung-hujung waktu, maka saya terpaksa tahan kentut. Apakah status solat saya sedangkan tidak kentut?

Penjelasan

Hukum menahan kentut ketika solat adalah makruh apabila masih terdapat keluasan waktu. Situasi tersebut boleh mengganggu kekhusyukkan solat. Walau bagaimanapun disunatkan untuk mengulangi solat tersebut. Sementara itu, solat di penghujung waktu (waktu solat hampir tamat) tetap perlu diteruskan bagi menghormati serta memelihara waktunya walau dalam keadaan tahan kentut dan tidak makruh hukumnya.

Antara perkara yang boleh membatalkan wuduk adalah keluar sesuatu daripada qubul (kemaluan hadapan) lelaki atau perempuan atau dubur (kemaluan belakang) sama ada yang keluar itu bentuk tinja, air kencing, angin, ulat, nanah, darah, batu-batu dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, menahan sesuatu keluar dari dua lubang qubul dan dubur boleh mengganggu kekhusyukan solat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RAanha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلَا وَهُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya:Tiada solat (tiada kesempurnaan) ketika makanan dihidang dan juga ketika keadaan seseorang itu menahan diri daripada hadas (membuang air kecil dan besar.)”

(Riwayat Muslim 560)

Makna “tiada solat” dalam hadis merujuk kepada hilangnya rasa khusyuk dan kesempurnaan dalam solat. Jelas hadis di atas menunjukkan bahawa menahan sesuatu keluar daripada qubul dan dubur (air kecil, najis, angin, muntah) akan mengakibat hatinya tidak fokus serta mengganggu kekhusyukannya. 

Oleh itu, hukum menahan daripada hadas ketika solat adalah makruh apabila masih ada keluasan waktu menurut jumhur ulama. Namun, disunatkan untuk mengulangi solat tersebut. Sementara, sekiranya berbaki waktu sedikit sehingga apabila seseorang itu makan dan bersuci menyebabkan tempoh waktu solat tamat, maka solat tetap wajib diteruskan bagi memelihara waktunya tanpa boleh melambatkannya dan solatnya sah menurut majoriti ulama.

Penutup

Hukum menahan kentut ketika solat adalah makruh ketika mempunyai keluasan waktu dan solatnya tetap sah. Walau bagaimanapun dianjurkan untuk mengulangi solat tersebut dengan melakukannya secara tenang tanpa tergopoh-gapah bagi memastikan kekhusyukan dalam solat. Namun, apabila solat dilaksanakan di hujung waktu, solatnya tetap perlu diteruskan bagi memelihara solat pada waktunya walau dalam keadaan menahan kentut mahupun lapar.

Wallahu a’lam

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑