Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
Ertinya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis – dalam riwayat lain di sisinya (Muslim): Amalan-amalan akan dibentangkan pada setiap hari Khamis dan Isnin – Maka diampunkan setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu melainkan seorang lelaki yang mempunyai permusuhan antaranya dengan saudaranya. Lalu dikatakan (kepada para malaikat), Tangguhkanlah (keampunan kepada) dua orang ini sehingga mereka berbaik-baik. Tangguhkanlah (keampunan kepada) dua orang ini sehingga mereka berbaik-baik. Tangguhkanlah (keampunan kepada) dua orang ini sehingga mereka berbaik-baik.”” Dalam riwayat lain di sisinya (Muslim) juga: “Lewatkanlah (pengampunan kepada) kedua-duanya sehingga mereka berbaik-baik – diulang sebanyak dua kali -.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih. Tahkik Sunan Abi Daud: Sanadnya sahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi Muslim.)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
Ertinya: “Bahawa Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu ada seseorang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?’ Maka Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya hari Isnin dan Khamis ialah hari Allah mengampunkan setiap Muslim di dalamnya melainkan dua orang yang bermusuhan. Dia berfirman, ‘Tinggalkanlah mereka berdua sehingga kedua-duanya berbaik-baik.”””
(Riwayat Ibnu Majah. Tahkik Sunan Ibnu Majah: Sanadnya sahih)
Pengajaran
- Antara kelebihan lain bagi hari Isnin ialah hari kelahiran Nabi SAW dan wahyu diturunkan pada hari itu.
- Dalam riwayat Ibnu Majah, Nabi SAW sangat beristiqamah dalam berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.
- Mengelakkan persengketaan sesama manusia dan segera mencari jalan perdamaian apabila berlaku perselisihan.
- Saling menghormati pandangan orang lain dan mengeratkan hubungan persaudaraan yang telah terbina.
Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a comment