Kontrak Perjanjian Mengandungi Riba, Adakah Keseluruhan Operasi Menjadi Haram? 

Soalan

Adakah dikira riba sekiranya sebuah syarikat mengenakan 5% late payment charge? Sekiranya kontrak perjanjian antara dua pihak mengandungi unsur riba (seperti late payment charge), adakah keseluruhan operasi jual beli haram kerana berlandaskan kontrak yang sama? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Maksud Riba Dan Pengharamannya

Daripada segi bahasa, riba’ bermaksud lebihan ataupun tambahan.  Ia juga boleh didefinisikan sebagai segala bentuk tekanan yang berlaku melibatkan urusan jual beli atau pinjaman.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama bersepakat atas pengharaman riba dan ia termasuk dalam dosa besar. Terdapat pandangan yang mengatakan riba juga diharamkan oleh semua agama.

Sehubungan itu, semua pihak ataupun individu yang terlibat dalam pengurusannya adalah dikira terlibat dengan kegiatan riba’. Mereka terdiri daripada penerima hutang pemberi hutang dan pekerja di institusi yang memberi hutang.  Dalam Islam telah dinyatakan bahawasanya amalan riba’ adalah jelas haram dan merupakan dosa besar yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Allah SWT berfirman:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya:Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

[Surah al-Baqarah 2:275]

Allah SWT melarang keras amalan riba’ dan membebaskan diri darinya adalah sifat orang yang beriman dan bertakwa dengan sebenarnya riba amat bertetapan dengan amaran Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.”

[Surah Al-Baqarah 2:278]

Sabda Nabi SAW:

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم آكل الربا، ومؤكله، وكاتبه، وشاهديه»، وقال: «هم سواء

Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, pemberinya,  penulisnya, dan kedua-dua saksinya, Mereka adalah sama.”

[Sahih Muslim No. 4093]

Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis di atas mengandung maksud pengharaman membantu atas perkara yang batil [Lihat: syarah sahih Muslim jld. 11, hlm. 26]

Umat Islam adalah dilarang bekerja di syarikat yang melakukan kontrak perjanjian yang mengandungi unsur riba, kerana ia mempunyai unsur keterlibatan dalam membantu melakukan perkara yang mungkar. Larangan ini jelas seperti Firman Allah SWT;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

[Surah al-Maidah 5:2]

Riba al-Qard

Iaitu riba yang berlaku dalam akad pinjaman hutang. Dalam Mazhab Syafie ia dikenali sebagai Riba al-Qard al-Masyruth fiihi Jar al-Manfaat (riba pinjaman yang disyaratkan mendapat manfaat). Ia boleh berlaku dalam dua keadaan:

  1. Kadar atau sebarang manfaat tambahan (yang lebih daripada jumlah pinjaman) yang disyaratkan pemberi pinjaman kepada peminjam di awal kontrak pinjaman.
  2. Kadar atau sebarang manfaat tambahan (yang lebih daripada jumlah pinjaman) yang dikenakan ke atas peminjam akibat gagal membayar jumlah pinjaman pada waktu yang ditetapkan.

Kedua-dua manfaat dan faedah di atas ini merupakan riba yang diharamkan syarak. [Lihat; Mausua’h al-Fatawa al-Mua’malat al-Maliyyah jld. 14 hlm. 179-180; al-Fiqh al-Manhaji jld. 6, hlm. 83]

Perjanjian Kontrak

Perjanjian kontrak pinjaman bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya ia mengandungi syarat yang diharamkan syarak seperti syarat membuat bayaran tambahan daripada jumlah hutang yang sebenar maka ia diharamkan. Syarat sebegini tidak terpakai dan tidak wajib dipatuhi serta kontrak yang dilakukan juga adalah tidak sah di sisi syarak. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji jld. 6, hlm. 109]

Kesimpulan

Dari keterangan di atas kami simpulkan bahawa;

  1. Caj pembayaran lewat yang dikenakan merupakan tuntutan bayaran yang telah dipersetujui ketika kontrak pinjaman dilakukan. Kontrak sebegini adalah haram kerana mengandungi unsur riba. Namun menurut Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah(denda) dan ta’widh (ganti rugi) adalah dibenarkan tertakluk dengan syarat-syarat tertentu. [Keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara pada mesyuarat ke-4 bertarikh 14 Februari 1998, mesyuarat ke-95 bertarikh 28 Januari 2010 dan mesyuarat ke-101 bertarikh 20 Mei 2010]
  2. Kontrak jual beli secara riba adalah tidak sah pada syarak, dan dinasihatkan supaya diperbaharui akad kontrak jual beli secara bertangguh itu mengikut kehendak syarak.
  3. Menjadi tanggungjawab pekerja Muslim sesebuah syarikat untuk menghindar diri dari terlibat secara langsung membantu menyediakan kontrak perjanjian yang tidak patuh syarak bagi menghindar diri daripada turut bersubahat yang dijanjikan laknat Allah seperti dalam hadis Nabi SAW di atas.
  4. Andainya pekerja Muslim itu tidak memperoleh pekerjaan selain yang ada di syarikat berkenaan, maka bolehlah dia meneruskan pekerjaan di syarikat itu atas asas beliau dianggap dalam keadaan bersangatan hajat. Dalam masa yang sama dia wajib terus mencari pekerjaan lain yang halal dan tetap berazam akan meninggalkan pekerjaan itu sebaik-baik sahaja dia memperoleh pekerjaan lain yang boleh melepaskannya daripada bekerja di syarikat berkenaan.
  5. Berdasarkan faktor bersangatan hajat kepada pekerjaan serta ada usaha untuk mencari sumber pekerjaan lain dan ada niat untuk melepaskan dirinya daripada pendapatan melalui syarikat tersebut, di samping memenuhi keperluan untuk terus hidup, maka hasil pendapatannya daripada syarikat itu adalah halal dalam batas dan lingkungan seperti ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya;

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلآ إثم عليه. إن الله غفور رحيم

Maksudnya: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

[Surah al-Baqarah ayat 2:173]

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑