أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ(٢٦)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Ali Imran 3:26)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Bersempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17, pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Raja Ditaati, Negara Dirahmati”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Tanggal 20 Julai 2024 esok, merupakan suatu detik sejarah istimewa Negara apabila Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal disempurnakan di Istana Negara. Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang telah berlangsung pada 31 Januari 2024 lalu, menandakan permulaan pemerintahan Baginda selama lima tahun sekaligus menzahirkan bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong sentiasa dipertahankan dalam usaha menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan negara ini seluruhnya.
Pertabalan ini sangat signifikan kerana ia lambang kepada sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta ia menjulang tinggi darjat Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai payung negara. Baginda, dalam lafaz angkat sumpah telah menekankan dengan jelas akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan. Baginda turut telah melafazkan ikrar untuk memelihara kesucian agama Islam sesuai dengan bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Istiadat Pertabalan ini sangat penting untuk mengukuhkan kesetiaan kita kepada sistem yang telah lama diamalkan, iaitu sistem Raja Berperlembagaan. Yang di-Pertuan Agong berperanan mewujud dan melestarikan perpaduan rakyat, dan memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan yang betul demi memelihara kedaulatannya dan kesejahteraan rakyat. Hubungan raja dan rakyat ini diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Maka sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik. Inilah disebut sebagai hubungan simbiosis yang menunjukkan raja memerlukan rakyat dan rakyat juga memerlukan raja sebagai tempat berlindung.
Perlu kita fahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan kerana kita telah berada dalam institusi ini dengan acuan kita sendiri. Apatah lagi, dengan peranan Baginda yang bertindak sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain, Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan. Rakyat dapat hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong termasuk dalam Ulil Amri (pemimpin) yang wajib ditaati. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ ayat 59:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
(Surah al-Nisaa’ 4: 59)
Ayat ini mengandungi perintah asas iaitu kewajipan taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana dihuraikan oleh Ahmad bin Mustafa al-Maraghi memberikan makna yang lebih umum untuk ulil amri, iaitu para pemimpin negara berserta seluruh jajarannya, ulama, panglima perang dan setiap pemimpin atau orang yang menjadi rujukan manusia berkait permasalahan hidupnya. Ketika mereka sepakat dan memutuskan suatu perkara, maka manusia wajib mematuhinya selagimana keputusan tersebut tidak melanggar syariat (Tafsir al-Maraghi, jilid 5, 72)
Hal ini dikukuhkan lagi oleh sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “(Wajib) atas setiap orang muslim untuk mendengar dan mentaati pemimpin pada perkara yang dia sukai atau benci kecuali jika dia diperintah untuk melakukan kemaksiatan, maka jika diperintah mengerjakan suatu kemaksiatan, tidak ada kewajipan baginya untuk mendengar dan mentaati”. (Muttafaq ‘alaihi)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Justeru, sebagai rakyat, marilah kita menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menunaikan taklifan Baginda yang sangat besar ini. Sama-sama kita berdoa agar Istiadat Pertabalan yang bakal berlangsung akan berjalan dengan lancar dan dalam perlindungan Allah SWT. Seterusnya kita panjatkan jua doa kesejahteraan, ‘afiyah dan ‘inayah buat Baginda dalam meneraju dan memimpin rakyat di negara ini menurut Perlembagaan dan panduan Islam yang ditetapkan.
Inilah sebahagian tanggungjawab kita. Fudhayl bin ‘Iyadh, seorang ulama yang sangat zuhud dan wara’ pernah mengungkapkan: “Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, aku akan tujukan doa tersebut pada pemimpinku”. Ada yang bertanya pada Fudhail, “Kenapa begitu?”. Beliau menjawab, “Jika aku tujukan doa tersebut kepada diriku sahaja, maka itu hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara turut akan mendapat kebaikan”.
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin membuat beberapa rumusan;
Pertama: Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sangat signifikan kerana ia lambang kepada sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta ia menjulang tinggi kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai payung negara.
Kedua: Yang di-Pertuan Agong berperanan mewujud dan melestarikan perpaduan rakyat, dan memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan yang betul demi memelihara kedaulatannya dan kesejahteraan rakyat.
Ketiga: Kita hendaklah menumpahkan taat setia kepada Baginda selaras dengan ikrar Rukun Negara yang telah kita lafazkan.
Sama-sama kita merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ ayat 58:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا (٥٨)
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
(Surah al-Nisaa’ 4:58)
Tarikh Dibaca: 13 Muharam 1446H /19 Julai 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment