Soalan
Apakah hukum jual beli ‘Mystery Box’ yang kita tidak ketahui isian di dalam kotak dan apakah hukum jika jual beli Parcel yang tidak dituntut?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Jual Beli
Perkataan al-bai’ (jual beli) daripada sudut bahasa bermaksud menukar suatu barang dengan suatu barang yang lain. Dari sudut istilah syarak pula, ialah pertukaran sesuatu harta benda dengan harta benda yang lain, yang keduanya boleh ditasharrufkan (dikendalikan), dengan ijab dan kabul menurut cara yang diizinkan oleh syarak.[lihat kifayah al-akhyar hlm. 232]
Al-Bai’ juga ditakrifkan sebagai;
عَقْدُ مُعَاوَضَةٍ مَالِيَّةٍ يُفِيدُ مِلْكَ عَيْنٍ أَوْ مَنْفَعَةٍ عَلَى التَّأْبِيدِ
Maksudnya: “Al-Bai’ juga adalah akad pertukaran harta benda yang memberikan seseorang hak memiliki sesuatu benda atau manfaat selama-lamanya”.
(Lihat; Mughni al-muhtaj, jld.2, hlm.323)
Hukum Jual Beli
Hukum asal muamalat jual beli adalah harus kecuali jika ada dalil yang melarang. Allah SWT berfirman:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
(Surah al-Baqarah 2:275)
Jual Beli ‘Mystery Box’ Menurut Pandangan Islam
Baru-baru ini, tular sekali lagi di media sosial mengenai jualan ‘mystery box‘ atau barangan yang dipercayai dari gudang yang tidak diambil oleh pemiliknya. Dijual dengan pelbagai harga di platform online shopping, kandungan di dalam kotak atau parcel itu tidak diketahui isinya. Justeru, ia menarik minat orang ramai untuk membelinya kerana mahu mengetahui apakah kejutan yang bakal diterima menerusi kotak misteri tersebut.
Ada juga yang menjual bungkusan yang telah sekian lama disimpan di warehouse kerana tidak dituntut oleh si pembelinya. Jika bertuah pembeli mungkin memiliki barang bernilai namun jika tidak, kemungkinan besar dia akan menerima sampah sarap sahaja!
Pada dasarnya, jual beli barangan yang tidak spesifik mengandungi unsur gharar adalah haram dalam Islam berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan)”.
(Riwayat Muslim No 1513)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari memberikan penjelasan makna “Gharar” beliau berkata;
والغرر ما تردد بين متضادين أغلبهما أخوفهما
Maksudnya: “Gharar” iaitu kemungkinan terjadi dua perkara yang bertentangan dan kebiasaannya akan terjadi perkara yang lebih ditakuti (tidak disukai).
[Rujuk: Asna al-Matalib fi Sharh Rawd al-Talib jld.2 hlm.11].
Merujuk kembali kepada topik jual beli kotak misteri, boleh dikatakan bahawa kewujudan gharar dalam urus niaga ini adalah disebabkan tidak diketahui barangan yang ada di dalam kotak tersebut. Tidak ketahui nilainya, kemungkinan nilai barang yang ada dalam dana lebih tinggi daripada harga yang dibayar, dan mungkin lebih rendah. Keadaan ini menjadikan penjualan itu tidak mematuhi syarat sah jual beli.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Sulaiman al-Bujairami berkenaan syarat-syarat bagi barangan yang mahu dijual beli; beliau berkata;
وَالشَّرْطُ الخَامِسُ العِلْمُ بِهِ لِلْعَاقِدَيْنِ عَيْنًا وَقَدْرًا وَصِفَةً عَلَى مَا يَأْتِيْ بَيَانُهُ حَذَرًا مِنَ الغَرَرِ لِمَا رَوَى مُسْلِمٌ أَنَّهُ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الغَرَرِ
Maksudnya: Syarat kelima, pembeli dan penjual mestilah mengetahui barang yang dijual beli itu apakah barangnya, kuantiti, mahupun klasifikasinya berdasarkan apa yang akan dijelaskan selanjutnya. Syarat ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Nabi SAW melarang jual beli gharar.
[ Rujuk Hasyiyah al-Bujairami ‘ala al-Khatib jld. 3, hlm.7]
Imam Ibnu al-Naqib ketika menjelaskan tentang urusan jual beli yang tidak jelas, beliau berkata;
ولا [يصح] بيع ما لم يعيّن كأحد العبدين، ولا بيع عين غائبة عن العين، مثل بعتك الثوب المروزي الذي في كمي
Maksudnya: Tidak sah menjual barangan yang tidak jelas seperti menjual salah seorang hamba ( tidak ditentukan yang mana satu untuk dijual ) dan juga menjual barangan yang nampak pada pandangan mata seperti kata penjual ” saya jual kepada kamu kain marwazi yang berada di dalam lengan bajuku. [Rujuk: ‘Umdah al-Salik hlm. 150]
Sheikh Nawawi al-Bantani pula berkata;
ولا يصحّ بيع ما لم يره أحد العاقدين ثمناً أو مثمناً
Maksudnya: Tidak sah berurus niaga barang (bayaran atau barangan) yang tidak dapat dilihat oleh penjual atau pembeli. [Rujuk; Nihayah al-Zain hlm. 226]
Kesimpulan
Hasil penelitian dapat disimpulkan bahawa hukum muamalat Islam berkaitan produk Mystery Box yang dipromosikan di Marketplace adalah tidak memenuhi syarat barangan yang boleh dijual kerana termasuk dalam kategori ketidakpastian (gharar) dan jual beli ini hukumnya haram dan tidak sah. Oleh itu barangan yang hendak dijual mestilah jelas diketahui jenis, kuantiti, kualiti dan sebagainya bagi memenuhi syarat-syarat barang dagangan yang harus dijual beli.
Oleh itu hukum berkaitan jual beli bungkusan yang tidak dituntut terdapat beberapa aspek yang perlu diperhatikan:
- Hak Milik: Bungkusan yang tidak dituntut masih dianggap hak milik pembeli asal, selagi belum ada pembatalan transaksi atau penjualan semula. Penjual tidak boleh menjualnya kepada pihak lain tanpa persetujuan pembeli asal.
- Kontrak dan Amanah: Jika ada kontrak yang menyatakan jangka masa tertentu untuk menuntut bungkusan, maka penjual perlu mematuhi syarat-syarat dalam kontrak tersebut. Selepas tempoh yang ditetapkan, jika bungkusan masih tidak dituntut, penjual boleh mengambil tindakan yang termaktub dalam kontrak, seperti mengenakan bayaran storan atau menjual semula barang tersebut.
- Pemulangan Wang (Refund): Jika penjual memutuskan untuk menjual semula bungkusan yang tidak dituntut, adalah wajar bagi penjual untuk mengembalikan wang kepada pembeli asal setelah ditolak kos yang mungkin timbul (seperti kos storan atau pengurusan).
- Nasihat dan Fiqh: Berdasarkan prinsip-prinsip fiqh, tindakan menjual barang yang masih dalam hak milik pembeli asal tanpa persetujuan adalah tidak dibenarkan. Ulama seperti Imam Malik, Imam Shafi’i, dan Imam Ahmad mengharamkan jual beli barang yang belum diterima oleh pembeli.
Justeru, hukum jual beli bungkusan yang tidak dituntut di stor penjual perlu dilihat berdasarkan kontrak asal dan persetujuan kedua-dua pihak. Jika kontrak membenarkan penjualan semula setelah tempoh tertentu, penjual perlu mematuhi peraturan tersebut.
Namun, tanpa persetujuan atau kontrak yang jelas, menjual bungkusan tersebut adalah tidak sah dalam Islam. Sebaiknya, penjual hendaklah berunding dengan pembeli untuk mencari penyelesaian yang adil dan mematuhi syariat.
Ingatlah firman Allah SWT:
لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali berlakunya jual beli yang kamu redai antara kamu”
(Surah al-Nisa’ 4:29)
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment