Hukum Orang Islam Merancang Dan Mengurus Harta Orang Bukan Islam

Soalan

Saya seorang siswazah sarjana undang-undang beragama Islam yang menawarkan perkhidmatan perancang harta dan pusaka khusus untuk orang Islam. Oleh sebab isteri saya seorang mualaf, saya banyak menerima permintaan untuk menulis wasiat dan pemberian untuk ahli keluarga dan rakan-rakan bukan Islam. Saya juga pernah ditanya andainya saya boleh menasihati pentadbir ataupun menjadi pentadbir untuk menguruskan pusaka kecil orang bukan Islam.

Soalan saya apakah hukum seorang Islam:

  1. Memberi khidmat rundingan, nasihat, perancangan dan penulisan wasiat dan pemberian kepada orang Islam untuk harta orang bukan Islam?
  2. Menjadi pentadbir untuk harta pusaka orang bukan Islam?
  3. Mengambil upah untuk perkhidmatan yang saya beri seperti di atas?

Sekian, terima kasih.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Bermuamalat Dengan Orang Bukan Muslim

Kita hidup dalam kalangan masyarakat majmuk, pelbagai bangsa, agama dan adat resam. Justeru, kita tidak dapat mengelak daripada bermuamalah dengan golongan bukan Islam. 

Antara persoalan yang kerap kali dibangkitkan adalah, sejauh mana kita boleh bermuamalah dengan golongan bukan Islam yang diketahui melaksanakan aktiviti ekonomi yang tidak mematuhi Syarak? Apakah pandangan hukum berkaitan dengan transaksi tersebut? 

Secara umumnya Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda melakukan pelbagai transaksi dengan non Muslim. Pelbagai riwayat yang jelas menunjukkan Baginda SAW bertransaksi dengan golongan bukan Islam, antaranya:

Rasulullah SAW pernah berurusan dengan orang bukan Islam semasa hayatnya. Dalam satu riwayat ada disebutkan, baginda nabi SAW pernah bermuamalah dengan seorang Yahudi di dalam urusan jual beli yang dilakukan secara bertangguh dan menjadikan perisai baginda sebagai cagaran bagi urus niaga tersebut. 

Daripada Aisyah RA menyebutkan bahawa;

تُوُفِّيَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ودِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ، بثَلَاثِينَ صَاعًا مِن شَعِيرٍ

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW wafat, perisai baginda Rasulullah SAW masih menjadi gadaian pada seorang Yahudi kerana (hutang Rasulullah SAW sebanyak) 30 gantang gandum”.

[Riwayat al-Bukhari, No.2756 ]

Berdasarkan hadis tersebut, dapat difahami bahawa dalam hal ini Rasulullah SAW bermuamalat dengan orang Yahudi yang terkenal dengan amalan ribanya pada zaman tersebut. Ini menunjukkan bahawa keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam walaupun berkemungkinan urus niaga tersebut berasal daripada sumber yang tidak patuh Syariah.

Mengambil Upah Perkhidmatan

Para Ulama bersepakat pada hukum mengambil upah untuk perkhidmatan yang diberikan kepada Non Muslim. Ia dibenarkan dengan beberapa garis panduan dan syarat tertentu. 

Antara hadis yang menjadi sandaran keharusannya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab Bin ‘Ujrah RA, beliau berkata;.

Maksudnya: Aku menghadap Nabi SAW, aku dapat melihat beliau (tubuhnya) sudah berubah lalu aku berkata; “Kutebus engkau dengan ayahku, Mengapakah kulihat tubuhmu berubah?” Beliau menjawab;“Tidak masuk dalam perutku sesuatu yang masuk ke perut makhluk yang memiliki hati (makhluk hidup) sejak tiga hari.” (Ka’b berkata) lalu Aku berlalu dari situ, ternyata ada seorang Yahudi yang sedang memberi minum seekor unta miliknya. Aku pun membantunya memberikan minum dengan upah satu biji buah kurma dengan setiap satu muatan timba air, sehingga aku berhasil mengumpulkan beberapa biji buah kurma. Lantas aku datang kepada Nabi SAW, Beliau pun bertanya; “Dari mana buah kurma ini, wahai Ka’ab?” Aku pun memberitahu kepada baginda SAW. Kemudian baginda SAW bertanya; “Apakah kamu mencintai aku, wahai Ka’ab?” lalu saya menjawab; “Ya, kutebus engkau dengan ayahku”.

[Riwayat Tabarani Fi al-Awsat No. 7157]

Terdapat sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Sayidina Ali RA mengambil upah bekerja menjirus tanaman daripada seorang Yahudi dengan bayaran sebiji tamar bagi setiap timba air dan kemudiannya memberitahu kepada Nabi SAW, bahkan Nabi SAW tidak mengingkari perbuatan Ali itu. Walaupun pada sanad hadis ini ada kritikan padanya tetapi masih boleh dijadikan hujah dengan shawahid yang lain. 

Hadis tersebut seperti berikut;

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas RA bahawa saidina Ali RA mengambil upah daripada Yahudi sebagai pekerja menjirus tanamannya dengan bayaran upah sebiji buah tamar bagi setiap timba air. [Rujuk: Sunan Ibnu Majah No. 2446]

Sebarang perbuatan yang dilakukan pada zaman Nabi SAW dan tidak diingkari perbuatan tersebut oleh Nabi SAW menunjukkan bahawa perbuatan tersebut harus dan dibenarkan untuk dilakukan dalam agama Islam. [Rujuk: Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah jld. 19, hlm. 45]

Syarat Keharusan

Perkhidmatan yang diberikan kepada Non Muslim itu terikat dengan syarat-syarat berikut;

  1. Perkhidmatan yang dilakukan itu ialah kerja-kerja yang dibenarkan dan harus dilakukan oleh seorang Muslim. Oleh yang demikian tidak diharuskan untuk memberikan perkhidmatan atas tugas yang diharamkan seperti penjualan arak, menternak khinzir dan sebagainya.
  2. Tujuan kerja-kerja yang dilakukan bukanlah untuk memberi mudarat kepada Islam seperti membuat senjata untuk membunuh umat Islam atau bekerja dalam bidang penyiaran bagi memerangi Islam serta tidak terhalang seorang Muslim itu daripada melakukan amal ibadah yang difardukan ke atasnya
  3. Kerja yang dilakukan itu tidak akan menjadikan seorang itu terhina dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang yang Muslim [Rujuk: Fath al-Bari 4, hlm. 452]

Kesimpulan

Dari keterangan di atas kami simpulkan bahawa hukum memberikan perkhidmatan kepada Non Muslim dengan bayaran yang telah dipersetujui kedua belah pihak adalah harus dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan. Namun sekiranya telah diyakini bahawa harta yang diuruskan itu adalah dari sumber/harta yang haram maka hukum mengurusnya dan mengambil upah daripadanya adalah haram.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑