Mimpi Berkaitan Hari Akhirat 

Soalan

Saya bukan orang Islam tetapi saya mempunyai beberapa persoalan berkaitan agama Islam dari sudut mimpi sewaktu tidur dan ini bermula dari pengalaman saya sendiri. 

Telah hampir 2 tahun saya memikirkan makna mimpi saya. Di dalam mimpi itu, saya berjumpa dengan satu kumpulan yang semuanya lelaki yang segak dan tampan. Mereka berbual dengan saya di persekitaran yang berpasir seperti di gurun. Mereka memperkenalkan saya kepada prinsip yang dipegang mereka lebih kurang  5-6 prinsip tetapi saya tidak ingat butiran tersebut setelah saya terjaga. Mereka juga mengaku bahawa mereka adalah pengikut Nabi Sulaiman dan mereka sangat mengikuti ajaran tersebut. 

Sedang mereka memperkenalkan kumpulan serta ketua mereka, datangnya satu berita bahawa salah seorang dari mereka telah dibunuh. Ini menyebabkan kumpulan tersebut sangat marah dan ketua mereka berkata bahawa terdapatnya permusuhan yang berpanjangan dengan yang kumpulan yang membunuh ahli kumpulan mereka. Dalam keadaan huru hara dan marah itu, datang sebuah kumpulan lagi.

Kumpulan ini mengenalkan diri mereka dengan syahadah (saya tidak tahu itu adalah syahadah sehingga saya membuat carian saya sendiri selepas bangun dan saya dapat memahami bahasa mereka walaupun bukan bahasa tempatan). Terdapat tiga watak yang memainkan peranan dalam kumpulan tersebut. Seorang memakai jubah kelabu dan berserban, kelihatan sangat tegas tetapi muka yang tenang, berumur 30-40-an, langsung tidak bercakap. Dua watak lain adalah berdiri di sebelah kanan dan kiri lelaki yang berjubah itu dan hanya mereka menjawab dan bercakap. 

Pertengkaran berlaku kerana perbezaan pendapat dan kumpulan Nabi Sulaiman ingin membalas dendam serta ketua kumpulan tersebut sangatlah marah dengan tindakan ahli kumpulan mereka dibunuh. Perang diisytihar dan perang tersebut bukan sesuatu yang biasa berlaku seperti wujudnya kereta kebal. Tetapi senjata yang digunakan adalah sesuatu yang baru di mana tentera Nabi Sulaiman boleh menjelma sebagai haiwan, dan tentera di sebelah lelaki pendiam itu memakai pakaian putih, segak dan lebih tampan daripada kumpulan pihak lawan. 

Lelaki berjubah dan pembantunya berdiri di atas bangunan yang sangat tinggi dan memerhati. Manakala ketua kumpulan di sebelah pihak Nabi Sulaiman menyertai perang tersebut. Perang tersebut sangat luar biasa dan bukan sesuatu yang pernah dilihat. 

Di penghujung perang tersebut, kumpulan Nabi Sulaiman tewas dan ketua kumpulan mereka cedera. Ketua kumpulan tersebut mengambil rupa babi hutan dan menghentam tentera lelaki berjubah tersebut dan melarikan diri. Tetapi sebelum melarikan diri, ketua kumpulan tersebut mengisytiharkan bahawa ini hanyalah permulaan dan dia akan datang semula untuk membalas dendam. 

Ketua kumpulan tersebut mendapat bantuan daripada seorang wanita yang sangat cantik yang menggelarkan dirinya sebagai pemerintah wanita (ratu/puteri) selepas kekalahan tersebut. Sejurus kemudian, saya terbangun dari mimpi itu dan berada dalam kekeliruan berkaitan mimpi tersebut. Dalam mimpi tersebut saya menyaksikan semua ini sebagai pemerhati dari jauh. 

Saya berkongsi dengan rakan karib saya yang beragama Islam dan beliau membawa saya berjumpa dengan seorang yang berilmu tinggi dalam agama Islam dan beliau mengesahkan  bahawa semua itu tertulis dalam kitab. 

Saya tidak pernah mengambil tahu tentang hari akhirat, imam, susur galur keturunan atau watak dalam kitab tersebut di hari akhirat. Ini menjadikan saya berfikir adakah mimpi saya sebetulnya seperti di dalam kitab atau mimpi itu hanya sesuatu mainan tidur sahaja dan tidak mempunyai apa-apa makna. 

Saya tahu serba sedikit tentang hari akhirat selepas saya membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang mimpi tersebut kerana mimpi tersebut seperti memberi kesan kepada saya dan saya tidak ingin membuat apa-apa kesimpulan tanpa bukti atau kesahihan dari pihak sepatutnya. Oleh itu, saya menghubungi pihak mufti untuk dapatkan satu gambaran yang jelas. 

Jadi persoalan saya:

  1. Adakah agama Islam mempercayai mengenai mimpi dan simbolik/makna mimpi atau itu adalah anggapan sebagai mainan tidur? 
  2. Adakah mimpi saya tertulis seperti di dalam kitab di hari akhirat. Jika ada sila jelaskan lebih maklumat setiap watak dan maksud serta perihal kumpulan-kumpulan terbabit. 
  3. Apakah mesej yang cuba disampaikan melalui mimpi seperti ini?

Sekian, Terima Kasih

Penjelasan

Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Mimpi Menurut Kaca Mata Islam

Mimpi dalam Islam dapat dibahagikan kepada tiga jenis,

  • Pertama, mimpi benar daripada Tuhan pencipta Allah SWT. 
  • Kedua, mimpi yang menyedihkan daripada syaitan.
  • Ketiga, mimpi ilusi daripada khayalan seseorang pemimpi.

Hal ini dapat difahami daripada hadis berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ وَالرُّؤْيَا ثَلاَثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنَ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنَ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلاَ يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ”‏ ‏.‏ قَالَ ‏”‏وَأُحِبُّ الْقَيْدَ وَأَكْرَهُ الْغُلَّ وَالْقَيْدُ ثَبَاتٌ فِي الدِّينِ‏”‏ ‏.‏ فَلاَ أَدْرِي هُوَ فِي الْحَدِيثِ أَمْ قَالَهُ ابْنُ سِيرِينَ ‏.‏

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Apabila hari kiamat telah dekat, maka jarang sekali mimpi seorang Muslim tidak benar. Orang yang paling benar mimpinya ialah yang paling benar pertuturannya. Mimpi seorang Muslim adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Mimpi itu ada tiga jenis: mimpi yang baik sebagai khabar gembira daripada Allah SWT, mimpi yang membuat kita sedih ialah daripada syaitan dan mimpi yang timbul kerana ilusi atau khayal seseorang. Oleh itu, jika kamu bermimpi sesuatu yang tidak disukai maka bangunlah dari tidur, kemudian solatlah dan jangan ceritakannya kepada orang lain.”

(Riwayat Muslim No. 2263)

Daripada hadis Nabi Muhammad SAW di atas, dapat difahami bahawa Islam mempunyai prinsip dalam hal melibatkan mimpi dan tidak hanya menganggap ia sebagai mainan tidur semata-mata.

Konsep Mimpi Dalam Islam

Mimpi yang datang kepada seseorang itu dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

  1. Mimpi baik sebagai ilham daripada Tuhan.
  2. Mimpi buruk yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  3. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.

Pembahagian pertama terhadap mimpi daripada hadis di atas jelas membuktikan bahawa Islam menjadikan sebahagian mimpi sebagai hal yang bermakna dan menarik seseorang pada nilai keimanan.

Hal ini berbeza dengan sebahagian teori barat yang hanya mengaitkan peranan mimpi sebagai gambaran daripada psikologi seseorang semata-mata. Sebagai contoh teori Sigmund Freud yang hanya mengaitkan “peranan mimpi sebagai satu cara memenuhi keinginan seseorang di mana dengan mimpi, seseorang sebenarnya berusaha memenuhi hasrat dan menghilangkan tekanan jiwa dengan menciptakan gambaran bagi tujuan yang diinginkan kerana di alam nyata susah bagi seseorang untuk meluahkan kekesalan, keresahan, kemarahan, dendam, dan sebagainya, maka muncullah kesemua keinginan itu dalam bentuk mimpi”. (Interpretation of Dream 1900)

Kaitan Mimpi Dengan Diri Seseorang

Mimpi yang baik sering dikaitkan dengan diri seorang Muslim yang baik. Ia membawa berita gembira atau peringatan agar individu tersebut membaiki tindakannya dan berhati-hati daripada kelalaian.

Antara mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi. Ini sepertimana yang diceritakan di dalam kitab suci al-Quran. Contohnya kisah Nabi Ismail AS dan Nabi Ibrahim AS. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ 

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

(Surah al-Saaffat 37:102)

Begitu juga, kisah Nabi Yusuf AS dan Nabi Yaakub AS. Allah SWT berfirman maksudnya:

إِذۡ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّي رَأَيۡتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوۡكَبٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ رَأَيۡتُهُمۡ لِي سَٰجِدِينَ

Maksudnya: “(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.”

(Surah Yusuf 12:4)

Sehubungan dengan itu, kata Imam Ghazali: “Mimpi adalah bentuk inkisyaf (terbukanya tabir) yang tidak akan hasil kecuali dengan hilangnya penutup hati. Justeru, mimpi tidak yang dapat dipercayai ialah mimpi seorang lelaki soleh lagi jujur. Orang yang banyak berbohong maka mimpinya tidak dapat dibenarkan. Hati orang yang banyak melakukan maksiat akan gelap, lalu apa yang ia mimpikan hanya mimpi kosong. Oleh sebab itu seseorang dianjurkan untuk bersuci tatkala hendak tidur, supaya seseorang tidur dalam keadaan suci. Hal demikian merupakan isyarat untuk menyucikan batin yang merupakan tempat asal yang patut disucikan, sedangkan menyucikan anggota lahir merupakan penyempurna saja. (Lihat: Al-Munawi, Faid al-Qadir, Juz 4, Hal. 45)

Berbalik kepada apa yang dilihat oleh penanya, terdapat beberapa elemen yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Antaranya seperti berikut:

  1. Syahadah atau ucapan kepercayaan adalah pernyataan kepercayaan dalam keesaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasulnya. Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam.
  2. Mengenakan pakaian putih, jubah, serban juga merupakan elemen yang berkait rapat dengan agama Islam bahkan termasuk antara pakaian yang digalakkan dalam Islam.

Pakaian Putih

Islam menganjurkan memakai pakaian berwarna putih. Pakaian berwarna putih itu lebih bersih dan lebih baik dipandang. Pakaian putih adalah pakaian yang terbaik. Disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW bahawa pakaian putih lebih baik dan lebih bersih. Sememangnya seseorang yang mengenakan pakaian putih terlihat lebih indah dan bersih. Pemakai akan sentiasa menjaga bajunya agar tidak terkena kotoran.

Rasulullah SAW bersabda:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ اَلنَّبِيَّ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-قَالَ: الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ, فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ, وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ.

Maksudnya: “Kenakanlah pakaian warna putih kerana pakaian putih merupakan pakaian terbaik kalian dan kapankanlah pula orang yang mati di antara kalian dengan kain putih.”

(Riwayat Tirmizi No. 994)

Warna putih dianggap lebih suci kerana sebarang unsur najis akan mudah kelihatan dan mudah dibersihkan. Ianya juga lebih cantik kerana ia menyerlahkan ketenangan dan kesucian.

Mengenakan Serban

Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW, terdapat kenyataan di dalam hadis maksudnya:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ مَكَّةَ – وَقَالَ قُتَيْبَةُ دَخَلَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ – وَعَلَيْهِ عِمَامَةٌ سَوْدَاءُ بِغَيْرِ إِحْرَامٍ 

Maksudnya:Nabi Muhammad SAW telah memasuki kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, ketika itu Baginda memakai serban hitam tanpa berihram.

(Riwayat Muslim No. 1358)

Pemakaian serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat.

Mengenakan Jubah

Jubah juga termasuk pakaian yang dikenakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang tertera dalam banyak hadis dan ianya juga merupakan pakaian kebanyakan orang Islam serta dianggap pakaian yang baik.

Perubahan Wajah

Adapun perubahan wajah kepada babi hutan, Islam menyifatkan perubahan wajah sebagai suatu azab dan bala yang didatangkan oleh Allah SWT sebagai hukuman terhadap sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran benar. Hal ini pernah berlaku kepada Bani Israil saat mereka melanggar kehormatan hari Sabtu yang diperintahkan untuk dimuliakan dengan beribadat. Rentetan daripada pengingkaran tersebut, Wajah-wajah mereka telah diubah kepada rupa monyet dan khinzir.

Allah SWT berfirman:

قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرّٖ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡهُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّٰغُوتَۚ أُوْلَٰٓئِكَ شَرّٞ مَّكَانٗا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ 

Maksudnya: Katakanlah (Muhammad), “Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang fasik) di sisi Allah? Iaitu, orang yang dilaknat dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah Taghut.” Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.

(Surah Al-Maidah 5:60)

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, dapat kami nyatakan bahawa Islam mempunyai prinsip bahkan disiplin ilmu khas berkaitan mimpi. Selain itu, elemen mimpi yang dialami oleh penanya mempunyai kaitan dengan agama Islam. Adapun perjalanan cerita seperti yang disebutkan, ianya tidak tercatat di dalam kitab suci Al-Quran. Di samping itu, mimpi tersebut dapat ditafsirkan sebagai satu bentuk petunjuk ke arah mengubah laluan hidup kepada yang lebih baik dan sempurna.

Semoga huraian ini dapat menjawap persoalan-persoalan yang telah diajukan.

Terima kasih.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑