Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Pahlawan Negara Diredai Dan Perjuangan Diwarisi

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ(٤١)

Maksudnya:  “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah Al-Hajj 22:41)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. 

Bersempena Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Pahlawan Negara Diredai Dan Perjuangan Diwarisi”. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Hari Pahlawan Negara berlaku pada tarikh 31 Julai setiap tahun. Pengisytiharan ini dibuat sempena tamatnya zaman darurat yang menakutkan rakyat bagi menghapuskan kegiatan jahat dan zalim komunis pada tahun 1960. Sambutan Hari Pahlawan Negara ini sebagai usaha dan doa rakyat dalam mengenang jasa pejuang dan perwira yang terkorban dan mati syahid dalam mempertahankan kesucian agama Islam, kemuliaan bangsa dan kedaulatan Negara. Semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota keselamatan lain yang sedang dan telah menabur jasa, khidmat bakti dan melindungi Negara adalah perwira dan pahlawan negara yang wajar kita hargai dan didoakan kebaikan untuk mereka. 

Kita hendaklah ingat dan kenang akan sejarah perjuangan pahlawan tanah air yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara daripada cengkaman musuh dan penjajah. Tidak dilupakan pahlawan negara adalah juga dalam kalangan raja-raja melayu, para cendekiawan, para ulama, tuan-tuan guru dan anak-anak murid mereka yang membangkitkan semangat jihad menentang penjajahan. Penjajah ketika itu bersikap menzalimi penduduk, menghina agama Islam dan mencuri hasil kekayaan negara. Perjuangan ini adalah jihad yang diiktiraf oleh agama Islam kerana mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga kemuliaan agama Islam adalah perintah Allah SWT. 

Pahlawan Negara telah mewariskan negara kepada generasi sekarang untuk dijaga dengan sebaiknya. Kita hendaklah sentiasa  bersedia memelihara dan mengekalkan kemerdekaan negara. Kita samasama bertanggungjawab mempertahankan negara daripada diceroboh oleh mana-mana pihak yang berniat menghancurkan negara. 

Jauhkan sikap mementingkan diri sendiri dengan menuruti hawa nafsu yang tamak dengan pengumpulan harta kekayaan sendiri sehingga lalai dalam mempertahankan negara akhirnya negara ditadbir dan dikuasai oleh pihak musuh. Hindarilah sikap individualistik yang mengikut nafsu dengki dengan berebut jawatan dan merampas hak orang lain untuk kepuasan diri semata-mata akhirnya leka tentang musuh di depan mata. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Pejuang dahulu tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Mereka adalah pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman musuh. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dengan kemerdekaan negara yang diwarisi sehingga kini. Kita merasa terhutang budi kepada pahlawan negara dan hendaklah kita kenang selama-lamanya. Jasa dan pengorbanan serta semangat patriotism pahlawan negara menjadi kebanggaan negara dan teladan kepada kita semua. 

Negara perlu pahlawan yang semangat dan pemikiran baru yang dapat mengekalkan keamanan negara. Negara perlu pahlawan hari ini yang bertaqwa, beriman dan bertawakal. Pahlawan hari ini hendaklah berkeyakinan sama dengan pahlawan silam bahawa mempertahankan kedaulatan negara bukan kerana kebolehan dan kehandalan sahaja tetapi kerana bantuan dan pertolongan, ayat 160 surah Ali Imran

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ (١٦٠)

Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”

(Surah Ali Imran 3:160)

Di samping itu, sebagai rakyat, kita tidak boleh leka dengan hiburan yang melalaikan, fahaman sesat dan gaya hidup bebas sehingga lupa kepada tanggungjawab bersama mempertahankan negara. Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya ayat 32, surah Al-An’am bermaksud: 

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir.” 

Nyatalah, nikmat aman dan merdeka yang dikecapi kini perlu dipertahankan oleh anggota keselamatan dan rakyat semua. Kemerdekaan bukanlah mudah untuk diperolehi. Perjuangan menuntut kemerdekaan dan mempertahankannya terpaksa melalui ranjau penuh duri dalam tempoh yang amat panjang. Justeru, semangat pengorbanan para pahlawan lalu perlu dijadikan jiwa dan inspirasi generasi merdeka bagi menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah. Namun, pada setiap mereka itu adalah baik (yakni kerana berkongsi keimanan yang sama)”. (Riwayat Muslim). 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Pengorbanan pahlawan negara yang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara perlu sentiasa diingat bagi mengelak penjajahan dan pencerobohan berulang. Dengan perubahan masa, negara kini berhadapan dengan pelbagai ancaman musuh baharu. Peristiwa hitam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada tahun 2013 mengorbankan sejumlah pahlawan negara masih diingati. Mereka gugur dalam medan pertempuran mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir-anasir musuh. 

Oleh itu, jangan kita sia-siakan pengorbanan pahlawan negara. Usah benarkan agenda musuh-musuh mahu merosakkan negara. Keselamatan dan keamanan hendaklah terus dipertahankan demi masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Khidmat bakti dan pengorbanan mereka seharusnya dijadikan inspirasi dan semangat bagi generasi hari ini dan akan datang untuk memahami apa yang telah diperjuangkan. Sesungguhnya perit jerih para pejuang tanah air suatu ketika dahulu telah membentuk keamanan Malaysia hingga hari ini. 

Nikmat keamanan ini hendaklah dikekalkan. Semua pemimpin bertanggungjawab mengekalkan keamanan ini. Semua pemimpin hendaklah berusaha menyatukan rakyat bukan memecahbelahkan rakyat. Provokasi dan pemecah belah masyarakat perlu dihindari. Budaya memfitnah, membenci dan menghasut hendaklah dijauhi. Pada masa sekarang, adalah amat penting untuk kita bersama-sama berusaha keras menyemai semangat hormat-menghormati, bertolak-ansur dan saling bekerjasama mengekalkkan kedaulatan dan keamanan negara. 

Kita hendaklah sedar dan jangan lupa bahawa anggota keselamatan terpaksa bersengkang mata, terpaksa berpanas berhujan, meredah hutan belantara dan lautan luas dalam memastikan kita berasa selamat dan hidup dalam keadaan aman. Ada dikalangan kita yang lupa dan tidak ambil peduli nikmat aman yang dikecapi sekarang adalah hasil jerih dan kepayahan pahlawan negara yang sanggup berkorban nyawa sehingga ke titisan darah terakhir. Mereka titipkan roh dan semangat perjuangan mereka untuk kita semua. 

Pahlawan Negara merasakan amat penting generasi sekarang memahami keamanan. Apatah lagi pahlawan negara cukup terkesan dalam hati akan makna keamanan. Mereka pernah hidup sebelum kemerdekaan dengan penindasan dan penahanan yang dilakukan oleh pihak penjajah. Kita hendaklah sentiasa ingat dan sedar akan liku-liku dan pahit maung perjuangan mereka untuk mengekalkan keamanan. Jika kita lupa dan tidak menghargai akan pengorbanan pahlawan negara, maka sejarah dijajah dan dihina berulang semula kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan negara dan tidak menyayangi negara sepenuh hati. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

1. Umat Islam hendaklah sedar bahawa perjuangan pahlawan negara membebaskan dan mempertahankan tanah air adalah usaha jihad yang diredai oleh Allah SWT. 

2. Umat Islam hendaklah sentiasa bersatu padu dan bersiap sedia dengan segala kekuatan bagi menghadapi penjajahan pemikiran, ekonomi, teknologi dan budaya agar kemakmuran dan kemerdekaan negara terus terpelihara. 

3. Umat Islam hendaklah yakin dengan janji Allah SWT bahawa keamanan dan kedaulatan negara di bawah pengawasan dan pertolongan Allah SWT jika kita semua terus mengabdikan diri sebagai hamba kepada Allah SWT dan tidak melakukan syirik kepada-Nya

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ(٥٥)

Maksudnya: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalanganmu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

(Surah al-Nur 24:55)

Tarikh Dibaca: 20 Muharam 1446h/26 Julai 2024m
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑