Teks Khutbah Jumaat (WP): Optimis Mendepani Cabaran Kehidupan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا(٥) إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًۭا(٦)

Maksudnya: “Maka (yakinlah) bahawa sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya bersamakesukaran pasti ada kemudahan.”

(Surah al-Syarh 94: 5-6)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bangunkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan, kita meraih rahmat Allah SWT bersama kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. 

Selaras dengan keperluan mengharungi kehidupan masa kini dengan penuh kebijaksanaan, marilah kita menghayati khutbah bertajuk “Optimis Mendepani Cabaran Kehidupan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Optimis adalah sikap selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu perkembangan, kemungkinan atau sebagainya dengan jangkaan dan harapan baik. Optimis seorang yang beriman hakikatnya bukan sekadar pandangan positif tetapi ianya didasari dengan keyakinan terhadap Allah SWT, kehendak-Nya dan janji-janji-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Firman Allah SWT dalam surah al-Syarh, ayat 5-6 yang dibacakan di awal khutbah, bermaksud:

“Maka (yakinlah) bahawa sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada kemudahan.”

Ayat ini mengandungi pesanan kepada insan yang beriman dalam menghadapi ujian, cabaran, musibah dan segala kesulitan. Jelas, Allah SWT menjamin bahawa setiap kesulitan pasti disusuli dengan kemudahan. Oleh itu, jangan mudah berputus asa, bahkan kita perlu terus optimis dalam menghadapi pancaroba kehidupan. Sikap optimis mencerminkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Setiap yang terjadi pasti membawa hikmah yang besar buat hamba-hamba-Nya. Yakinlah bahawa Allah SWT telah menyiapkan kemudahan dan jalan keluar untuk insan yang sabar, bersyukur lagi berserah diri kepada-Nya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kehidupan di dunia ini adalah medan ujian. Kita diuji dengan senang atau susah, dengan nikmat atau musibah. Berbahagialah insan yang sentiasa positif dalam apa juga situasi yang dihadapi. Inilah orang yang optimis dengan sifat syukur dan sabar. Rasulullah SAW memuji mereka di dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhayb bin Sinan r.a., baginda bersabda:

Maksudnya: “Hebat sungguh perihal orang mukmin. Sungguh, semua urusannya baik dan hal itu tidak berlaku kecuali pada orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka itu baik baginya dan sekiranya dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu juga baik baginya.”

Seseorang yang mengatakan “aku beriman” terkadang dia diuji dengan kekangan dan keterbatasan seperti kekurangan pemilikan, harta atau kesempitan kewangan. Pelbagai implikasi yang mungkin timbul akibat ujian daripada masalah kewangan. Antaranya tekanan mental atau perasaan sehingga menyebabkan masalah rumahtangga atau masalah sosial yang lain.

Ingatlah bahawa, walau apa pun situasinya, cabaran hidup ini adalah untuk menguji sejauh mana ketaatan kita mematuhi segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Jangan kerana masalah kewangan kita mengambil hak orang! Jangan kerana kesempitan kita mencari jalan keluar dengan cara yang haram lagi dimurkai Alllah SWT!

Jangan kerana ujian kehidupan kita bertindak di luar pedoman syariat dan merosakkan hubungan sesama insan. Bersabarlah dengan ujian yang pasti hadir di sepanjang kehidupan.

Begitu juga, jika berlaku pertembungan sesama umat Islam tidak kira apa jua sebabnya, Qunut Nazilah tidak boleh untuk dibacakan kepada sesama muslim. Berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan para sahabat serta pandangan daripada para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada golongan kafir dan murtad, juga apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit dan seumpamanya. Rasulullah SAW membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas para sahabat radiallahuanhum. 

Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad. Manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sabar dan syukur adalah dua sifat mahmudah yang dapat membantu seorang insan untuk optimis dalam kehidupan. Sesungguhnya, Rasulullah SAW menganjurkan bacaan doa ketika ditimpa musibah agar mendapat pahala di atas musibah yang menimpa dan gantian sesuatu yang lebih baik. Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW mengajarkannya doa ini:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ, اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya kami milik Allah SWT dan kepada-Nya kami kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.”

Manakala syukur ialah pengiktirafan seorang hamba terhadap kurniaan Tuhannya dengan pujian terhadap-Nya. Sesungguhnya, syukur itu meraih reda dan nikmat daripada Allah SWT. Sebaliknya kufur atau tidak syukur itu mengundang murka atau azab Allah SWT.

Tahukah kita bahawa dapur Rasulullah SAW sering tidak berasap? Baginda SAW kerap kali hanya menjamah air dan tamar demi mengalas perut yang lapar. Tempat tidur baginda cuma beralaskan tikar yang kasar. Renungkan pedoman Rasulullah SAW untuk mengharungi kehidupan dunia sebagaimana hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:

“Pandanglah orang yang berada di bawah kalian dan janganlah pandang orang yang berada di atas kalian kerana itu lebih baik agar kalian tidak mengkufuri nikmat Allah SWT.”

Tuntasnya, sabar dan syukur adalah tonggak seorang Mukmin untuk optimis mendepani hari-hari yang bakal dilalui. Sifat optimis adalah manifestasi keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Setiap hari berlangsung bersama harapan, kebaikan, dan rahmat Allah SWT. Tingkatkan kualiti ibadah dan laksanakan amanah serta tangungjawab dengan sebaiknya. Tautkan kasih sayang dalam keluarga serta masyarakat dengan menjalinkan hubungan yang harmoni dengan keluarga, tetangga dan masyarakat. Semoga kita beroleh kejayaan serta kebahagian di dunia dan di akhirat.

Mimbar mengambil kesempatan, bersempena dengan Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung, marilah sama-sama kita mendoakan seluruh kontinjen Malaysia dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan dan seterusnya meraih kejayaan yang gemilang serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri bicara khatib, berikut adalah kesimpulan khutbah hari ini:

Pertama: Ketakwaan mampu menjadikan seseorang Mukmin optimis memandang dengan penuh harapan dan keyakinan bahawa setiap ujian pasti diakhiri dengan kemudahan, ganjaran pahala atau kebaikan di akhirat.

Kedua: Sifat sabar dan syukur merupakan dua sifat terpuji yang sangat dianjurkan Islam di mana keduanya memainkan peranan penting membantu seseorang Mukmin optimis meskipun berada dalam situasi sulit.

Ketiga: Kejayaan sebenar seorang Mukmin adalah apabila dia dapat melazimi dua watak hamba Allah yang sejati iaitu bersabar dan bersyukur.

Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Shura, ayat 20:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ ٱلْـَٔاخِرَةِ نَزِدْ لَهُۥ فِى حَرْثِهِۦ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ ٱلدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ (٢٠)

Bermaksud: “Sesiapa yang mahukan (dengan amalnya) faedah di akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada faedah yang diingini dan sesiapa yang mahukan habuan dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan dia tidak akan beroleh suatu bahagian pun di akhirat kelak.”

(Surah al-Shura 42:20)

Tarikh Dibaca: 20 Muharam 1446h/26 Julai 2024m
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑