Bolehkah Seorang Ibu Menjadi Imam Kepada Anak Lelakinya Yang Masih Kecil?

Soalan

Bolehkah seorang ibu menjadi imam kepada anak lelaki 9 tahun dan anak perempuan 4 dan 7 tahun? Hal ini kerana anak lelaki perlu solat sendirian sedangkan saya dan anak perempuan solat berjemaah apabila berada di rumah. 

Penjelasan

Lelaki tidak boleh menjadi makmum kepada wanita dan solat jemaah dalam keadaan ini tidak sah. Hal ini kerana antara syarat sahnya untuk menjadi makmum mestilah lelaki tidak menjadi makmum kepada perempuan mahupun khunsa musykil (khunsa yang tidak dikenal pasti kecenderungan jantinanya. Perkara ini dinyatakan oleh Ad-Damiri dalam karya Najm al-Wahaj:

لا تصح قدوة رجل ولا خنثى بامرأة

Maksudnya: “Tidak sah makmum lelaki dan khunsa (musykil)berimamkan perempuan

Begitu juga, fuqaha mazhab Syafi’i bersepakat tidak membenarkan kanak -kanak lelaki yang sudah baligh solat dibelakang imam perempuan. Perkara ini dijelaskan dalam karya Majmu’:

وَاتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى أَنَّهُ لَا تَجُوزُ صَلَاةُ رَجُلٍ بَالِغٍ وَلَا صَبِيٍّ خَلْفَ امرأة

Maksudnya: “Fuqaha Syafi’i bersepakat bahawa lelaki yang sudah baligh dan kanak-kanak (mumaiyiz) tidak boleh (haram) solat berjemaah di belakang wanita 

Berikut adalah kategori solat berjemaah yang sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:

  1. Lelaki menjadi makmum kepada lelaki.
  2. Perempuan menjadi makmum kepada lelaki
  3. Khunsa menjadi makmum kepada lelaki
  4. Perempuan menjadi makmum kepada khunsa
  5. Perempuan menjadi makmum kepada perempuan

Kategori solat berjemaah yang tidak sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:

  1. Lelaki menjadi makmum kepada perempuan
  2. Lelaki menjadi makmum khunsa (kemungkinan imam perempuan)
  3. Khunsa menjadi makmum kepada perempuan (kemungkinan makmum lelaki)
  4. Khunsa menjadi makmum kepada khunsa (kemungkinan imam perempuan makmum lelaki.

Lelaki yang telah mencapai had umur mumayyiz  tidak sah menjadi makmum bagi imam perempuan. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini :

وَلَا تَصِحُّ قُدْوَةُ) ذَكَرٍ (رَجُلٍ) أَوْ صَبِيٍّ مُمَيِّزٍ (وَلَا خُنْثَى بِأُ) نْثَى (امْرَأَةٍ) أَوْ صَبِيَّةٍ مُمَيِّزَةٍ

Maksudnya: Lelaki atau kanak-kanak lelaki yang mumaiyiz dan khunsa (musykil) tidak sah menjadi makmum kepada wanita, atau dengan kanak-kanak perempuan yang mumaiyiz. 

Justeru itu, ibu tidak boleh menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia   mumayyiz  iaitu 6 atau 7 tahun dan ke atas. Bahkan, sekiranya anak-anak lelakinya baik bacaannya, maka kanak-kanak tersebut layak menjadi imam kepada ibunya. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini:

وَ) تَصِحُّ الْقُدْوَةُ (لِلْكَامِلِ) وَهُوَ الْبَالِغُ الْحُرُّ (بِالصَّبِيِّ) الْمُمَيِّزِ لِلِاعْتِدَادِ بِصَلَاتِهِ، «وَلِأَنَّ عَمْرَو بْنَ سَلِمَةَ بِكَسْرِ اللَّامِ كَانَ يَؤُمُّ قَوْمَهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَهُوَ ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعٍ» ، رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

Maksudnya: Lelaki yang sempurna iaitu baligh dan merdeka menjadi makmum kepada kanak-kanak mumaiyiz hukum solatnya adalah sah. Perkara ini berdasarkan ‘Amr bin Salamah mengimamkan kaumnya pada zaman Rasulullah SAW sedangkan beliau berumur enam atau tujuh tahun, hadis riwayat al-Bukhari” 

Penutup

Kesimpulannya, ibu tidak sah menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz. Sementara itu, sekiranya anak-anak lelaki yang baik bacaan al-Qurannya lebih layak untuk menjadi imam bagi makmum lelaki apatah lagi boleh menjadi imam kepada wanita.

Wallahu a’lam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑