Amalan Untuk Mengelak Daripada Kejahatan Zahir Dan Batin

Membaca Surah Al-‘Alaq, Al-Qadr, Az-Zalzalah & Quraisy

Bacalah surah-surah ini sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang setiap hari, iaitu surah Al-‘Alaq, Al-Qadr, Az-Zalzalah dan Quraisy.

Al-Habib ‘Aidrus bin Umar al-Habasyi menyebutkan: “Sesungguhnya membaca 4 surah ini iaitu surah Al-‘Alaq. Al-Qadr, Az-Zalzalah dan Quraisy, masing-masing sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang, boleh mengelakkan kejahatan zahir dan batin. la mujarab dan telah disebutkan oleh Sayyidi Syaikh Abdul Qadir al-Jailani.”

Sentiasa Dalam Keadaan Berwudhu’

Usahakan untuk sentiasa dalam keadaan berwudhu’ sepanjang masa kerana ia adalah cahaya, perisai dan senjata orang yang beriman.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Anas daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Wahai anakku, jika kamu mampu untuk tidak tinggalkan ketika tidur malam melainkan dengan berwudhu’, maka lakukanlah kerana sesungguhnya sesiapa yang didatangi kematian sedangkan dia dalam keadaan berwudhu’, dia diberikan pahala mati syahid.” (Riwayat Imam Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jam al-Ausath, Imam Abu Ya’la dalam Musnadnya dan Imam Al-Baihaqi dalam Asy- Syu’ab. Lihat juga dalam l’anah ath-Thalibin, 2/145.)

Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas Setiap Satunya Dibaca 3 Kali Pada Waktu Pagi dan Petang

Daripada Sayyidina Abdullah bin Khubaib berkata: “Kami telah keluar pada suatu malam yang hujan dan kegelapan yang pekat mencari Rasulullah SAW untuk Baginda mengimamkan kami. Lalu kami menjumpai Baginda. Baginda lalu bertanya, “Adakah kamu sudah solat?” Aku (Abdullah) tidak berkata apa-apa. Lalu Baginda berkata, “Bacalah.” Aku (Abdullah) tidak membaca apa-apa. Kemudian Baginda berkata, “Bacalah.” Aku (Abdullah) tidak membaca apa- apa. Kemudian Baginda berkata: “Bacalah.” Aku (Abdullah) lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang aku harus baca?” Baginda berkata, “Qul Huwallahu ahad (surah Al-Ikhlas) dan al-mu’awwizatain (surah Al-Falaq dan An-Nas) (dibaca) ketika kamu berada pada waktu petang dan ketika kamu berada pada waktu pagi sebanyak 3 kali, ia mencukupkan kamu daripada setiap sesuatu.” (Riwayat Imam Abu Daud, Imam At-Tirmizi dan Imam An-Nasa’i. Imam Abu Daud meriwayatkannya dalam Sunannya dan tidak memberikan apa-apa hukum tentangnya (sakata ‘anhu). Beliau pernah menulis dalam risalahnya kepada penduduk Makkah iaitu apa-apa hadis yang beliau tidak memberikan apa-apa hukum tentangnya (sakata ‘anhu), maka ia boleh diamalkan (fa huwa shalih).)

Ayat Kursi Pelindung Diri daripada Syaitan Sepanjang Hari

Daripada Sayyidina Ubay bin Ka’ab, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila ia (iaitu Ayatul Kursi) dibaca pada waktu pagi, kamu dilindungi (mendapat perlindungan) daripada Kami sehingga petang. “Apabila ia (iaitu Ayatul Kursi) dibaca ketika waktu petang, kamu dilindungi (mendapat perlindungan) daripada Kami sehingga pagi.” (Riwayat Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak.)

Pelindung Diri Daripada Syaitan Ketika Tidur 

Dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Sayyidina Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkannya untuk menjaga simpanan makanan di Baitul Mal. Berlaku kepadanya di mana syaitan mengambil sedikit makanan tersebut selama 3 malam berturut. Ketika diancam untuk dibawa kepada Rasulullah SAW, syaitan takut dan berjanji tidak akan datang mengambil makanan lagi dan mengatakan: “Apabila kamu berada di tempat tidurmu, maka bacalah ayat al- kursi: “Allahu la ilaha illa huwal Hayyul Qayyum” sehingga kamu menyelesaikan keseluruhan ayat. (Sekiranya kamu membacanya), sesungguhnya Allah akan sentiasa menjadikan penjaga untuk kamu dan syaitan pasti tidak mendekati kamu sehingga pagi.”

Sayyidina Abu Hurairah pun melepaskannya. Ketika waktu pagi, beliau berjumpa Rasulullah SAW dan memaklumkan apa yang berlaku. Baginda mengatakan: “Dia telah bercakap benar terhadap kamu, walaupun dia benar-benar adalah pembohong.”

Sumber: Amalan Orang Soleh, Ustaz Muhadir Haji Joll

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑