أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةًۭ يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ (٢٤)
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah As-Sajdah 32:24)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “SABAR SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Kitab al-Quran telah memberi gambaran berkenaan orang-orang yang sabar dengan pelbagai sifat yang dinisbahkan dengan kebaikan dan kedudukan yang tinggi. Anugerah kebaikan dan kedudukan yang tinggi ini adalah bertitik tolak daripada keyakinan dengan keterangan ayat-ayat Allah SWT, sebagaimana dijelaskan di dalam surah al-Sajdah, ayat ke 24 yang dibacakan pada permulaan khutbah ini yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan dalam kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah As-Sajdah 32:24)
Sesungguhnya nilai kebaikan sifat sabar ini telah diterjemahkan oleh Allah SWT dengan pemberian pahala yang berlipat kali ganda. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 54:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُم مَّرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ(٥٤)
Maksudnya: “Mereka itu akan memperolehi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan dan mereka juga menderma daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka”.
(Surah al-Qasas 28:54)
Hadis daripada Ibn Abbas Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sabar terhadap apa yang kamu tidak suka itu akan didapati banyak kebaikannya.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Sifat sabar boleh ditakrifkan sebagai keadaan mental yang teguh yang menyokong pegangan agama seseorang ketika berdepan dengan kebangkitan hawa nafsu. Sifat ini akan kita perolehi dan mencapainya sebagai satu natijah atau kesan keyakinan hati terhadap Allah SWT dan rasulNya. Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
”Rasulullah SAW pernah melewati seorang wanita yang sedang menangis di sebuah kubur. Lalu Baginda bersabda, “Bertakwalah pada Allah. Kemudian wanita itu berkata, “Jauhlah dariku. Sesungguhnya engkau belum pernah merasakan musibahku dan belum mengetahuinya.” Kemudian ada yang mengatakan pada wanita itu bahawa orang yang berkata tadi adalah Rasulullah SAW. Kemudian wanita tersebut mendatangi pintu (rumah) Rasulullah SAW. Kemudian dia tidak mendapati seseorang yang menghalangi dia untuk masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW. Kemudian wanita ini berkata, “Aku belum mengenalimu.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, ”Sesungguhnya sabar adalah ketika di awal musibah.”
(Riwayat al-Bukhari)
Setiap hamba yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat hendaklah mempunyai sifat sabar. Tidak dapat dinafikan betapa sifat sabar mempunyai pengaruh yang amat besar sehingga dianggap sebagai raja kepada semua perkara dan keadaan. Justeru, kita yang beriman kepada Allah SWT mestilah memiliki sifat yang agung ini selagi mana kita masih menjalani kehidupan di dunia ini. Dengan memiliki sifat sabar bermakna kita telah menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Justeru dengan sifat sabar dan taat kita akan memperolehi banyak kelebihan, termasuklah pertolongan-pertolongan daripada Allah SWT yang tidak terbatas.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 153:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ(١٥٣)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan suatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya Allah bersama (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah 2:153)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Para ulama dalam membahaskan sifat sabar telah memperincikannya kepada empat jenis.
Pertama, bersabar dalam menunaikan ketaatan kepada Allah SWT, iaitu secara tersiratnya menunaikan ketaatan tersebut dengan penuh keikhlasan. Sementara dari segi zahir pula ia dilakukan dengan sempurna dan menepati sebagaimana yang disyariatkan. Maka, sesiapa yang mampu bersabar dalam menunaikan ketaatan, nescaya akan merasai kemanisan iman dan memperolehi ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Kedua, bersabar untuk mengekang daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT. Dari segi zahir, kita berusaha sedaya upaya menjauhi perkara-perkara mungkar. Sementara dari segi batin pula mengelak daripada berbicara atau memikirkan sesuatu yang mendorong untuk melakukan perkara mungkar tersebut.
Ketiga, sabar dengan erti kata muhasabah diri terhadap dosa-dosa yang telah lepas. Justeru ia akan dapat menimbulkan rasa gerun dan menyesal atas apa yang pernah dilakukan. Kesannya, ia akan membuka satu ruang untuk terus bertaubat.
Keempat, bersabar menahan kemarahan dan kegelisahan serta tidak mengeluh atas perkara-perkara yang tidak disenangi atau tidak digemari.
Sifat sabar sebenarnya merupakan salah satu sifat yang akan menyempurnakan diri seseorang manusia. Ini kerana sikap suka mengeluh menggambarkan betapa seseorang itu tidak reda dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Padahal setiap perkara, sama ada baik atau buruk adalah ditentukan oleh Allah SWT dan hanya Dia sahaja yang maha mengetahui apa yang baik untuk hamba-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 216:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (٢١٦)
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, padahal ia adalah baik untuk kamu dan boleh jadi juga kamu suka akan sesuatu, padahal ia buruk buat kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya”.
(Surah al-Baqarah 2:216)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita akan melalui dua cabaran yang berbeza.
Pertama, cabaran dalam menempuh situasi atau perkaraperkara yang seiring dengan keinginan hawa nafsu.
Kedua, situasi atau perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginan hawa nafsu. Bagi menghadapi kedua-dua cabaran yang berbeza ini, ia memerlukan kepada tahap kesabaran yang tinggi. Situasi pertama, iaitu apabila kita menikmati perkara-perkara yang seiring dengan keinginan hawa nafsu, seperti memiliki harta yang banyak, kemewahan, kesihatan yang baik dan lain-lain, maka ketika ini kita memerlukan kepada tahap kesabaran yang tinggi. Maksudnya sabar dalam mengurus nikmat yang telah dkurniakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian. Tuntutan sabar ketika ini akan diterjemahkan melalui sikap kita yang terhindar daripada sifat lalai terhadap Allah SWT bahkan tidak meninggalkan kewajipannya sebagai seorang hamba Allah SWT dalam melaksanakan ibadah dan tanggungjawab lain.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun ayat 9:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ (٩)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan mengerjakan perintah-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Surah al-Munafiqun 63:9)
Situasi kedua, iaitu apabila melibatkan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginan hawa nafsu, seperti menghadapi kesempitan hidup, kemalangan, kemusnahan harta benda serta kemerosotan pada kesihatan, maka ketika ini pula kita berhajatkan kepada sifat sabar yang lebih tinggi. Ujian-ujian seperti ini boleh mencetus sikap negatif sehingga mendorongnya mengingkari perintah Allah SWT. Oleh itu, hanya dengan sifat sabar sahajalah yang akan mengembalikan fitrah untuk kembali mengingati Allah SWT.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan sentiasa bersabar dan yakin atas ketentuan Allah SWT.
2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa sifat sabar yang dianjurkan oleh syariat akan diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
3. Umat Islam hendaklah memahami bahawa tuntutan sabar adalah merangkumi kesabaran atas nikmat yang diperolehi dengan kesabaran di atas ujian yang dihadapi.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥) ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ (١٥٦)
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
(Surah al-Baqarah: 155-156)
Tarikh: 2 Ogos 2024M l 27 Muharram 1446H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
Leave a comment