أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (١٦٩)
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”
(Surah Ali Imran 3:169)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024, maka pada hari ini saya akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Perjuangan Demi Nusa Tercinta”.
Sebelum itu, saya ingin mengajak umat Islam sekalian untuk terus mendoakan penduduk Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim zionis Israel. Sehingga ke hari ini, mereka masih lagi diserang dan dibunuh tanpa belas kasihan. Kita juga turut berduka cita dengan berita kematian Ismail Haniyeh yang dibunuh oleh rejim zionis Israel laknatullahi‘alaihim. Beliau merupakan antara pemimpin Hamas yang sangat kental dan teguh jiwanya memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin. Semoga segala jasanya dicatat sebagai amal-amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”.
(Surah Ali Imran ayat 169)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Nikmat yang kita terima di atas dunia ini terlalu banyak. Tidak dapat diperhitungkan satu demi satu. Maka, menjadi kewajipan kita untuk sentiasa mensyukuri segala nikmat tersebut dan dalam masa yang sama terus melaksanakan ketaatan terhadap setiap perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Antara nikmat terbesar yang kita miliki ketika ini ialah nikmat iman dan Islam. Sudah tentunya dengan nikmat ini, kita dapat menjalani kehidupan dengan berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan bimbingan Rasulullah SAW serta tunjuk ajar para ulama yang telah mewariskan ilmu dari satu generasi ke generasi yang lain.
Nikmat-nikmat ini juga diberi kepada kita juga sebagai bentuk ujian untuk melihat sama ada kita bersyukur kepada Allah SWT atau kufur dengan-Nya. Hal ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman a.s.
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّى لِيَبْلُوَنِىٓ ءَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya”.
(Surah al-Naml 27:40)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Selain itu, kita tidak dapat menafikan bahawa rasa aman, tenteram dan harmoni di negara ini merupakan salah satu nikmat yang sangat besar. Pastinya, nikmat yang kita kecapi ini merupakan salah satu daripada usaha generasi terdahulu terutamanya dari kalangan perajurit-perajurit negara yang telah berkorban jiwa dan raga mereka mempertahankan kedaulatan tanah air ini. Mereka telah menunjukkan keberanian yang jitu dalam menghadapi musuh. Mereka juga mengajar kita tentang sabar dan tekun dalam mencapai matlamat negara yang bebas merdeka. Dengan kecekalan dan kesungguhan mereka itu juga, ia membuahkan hasil yang sangat indah sepertimana yang dapat kita lihat pada hari ini.
Maka, salah satu sikap murni kita terhadap pejuang dan pahlawan negara ini ialah dengan berterima kasih dan menghargai segala jerih-perih yang telah mereka curahkan. Selayaknya juga kita turut mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat para pahlawan negara ini lebih-lebih lagi yang gugur di medan peperangan.
Imam Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya”.
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dalam sejarah Islam sendiri, tercatat rapi bahawa Islam turut memiliki banyak tokoh yang terkenal dengan sifat kepahlawanannya. Antaranya ialah Saidina Hamzah, Saidina Khalid bin Al-Walid, Salahuddin al-Ayubi dan beberapa lagi tokoh lain. Manakala nama-nama seperti Imam Muhammad bin Idris al-Syafie dan Imam Abu Hamid al-Ghazali pula merupakan sebahagian pahlawan yang memelihara dan mempertahankan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut menjadi pedoman buat negara kita.
Negara kita juga memiliki barisan tokoh pahlawan yang telah terkorban mempertahankan negara seperti Leftenan Adnan Saidi, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau, Dato’ Maharaja Lela dan seluruh barisan hadapan keselamatan yang terdiri daripada tentera, polis dan sebagainya.
Para pahlawan negara ini telah melaksanakan salah satu daripada fardu kifayah dan melaksanakan Maqasid Syariah iaitu mempertahankan nyawa, agama, harta, akal, dan keturunan. Mereka berkorban demi nusa tercinta dan kedaulatan agama dan bangsa. Tidak semua orang mampu untuk melakukan sepertimana mereka telah buktikan. Terlalu banyak pengajaran dari perjuangan para pahlawan ini yang kita boleh garap untuk kebaikan bersama. Maka amat wajarlah untuk kita terus mengenang dan menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan ini.
Dengan usaha para pahlawan negara itu jugalah, kita dapat mendaulatkan Islam di negara tercinta dan kita bebas melaksanakan ajaran Islam di bumi bertuah ini. Signifikannya juga sambutan Hari Pahlawan kepada kita ialah supaya generasi ke generasi akan sentiasa memandang tinggi nikmat keamanan ini dan seterusnya memelihara dan mempertahankan keamanan yang kita miliki.
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan;
Pertama: Terlalu banyak nikmat dari Allah SWT yang kita kecapi dan sewajarnya kita mensyukuri segala nikmat tersebut.
Kedua: Setiap perbuatan baik orang lain terhadap kita hendaknya dibalas dengan kebaikan sama ada melalui ucapan, tindakan atau malah doa kepada mereka.
Ketiga: Para pahlawan negara telah melaksanakan fardhu kifayah yang sangat besar dan ia menepati kehendak Maqasid Syariah yang bertujuan memelihara nyawa, agama, harta, akal dan keturunan.
Firman Allah SWT dalam Surah ali Imran ayat 146:
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّۢ قَـٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌۭ فَمَا وَهَنُوا۟ لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا۟ وَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٤٦)
Maksudnya: “Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”.
(Surah Ali Imran 3:146)
Tarikh: 2 Ogos 2024M l 27 Muharram 1446H
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment