Keutamaan Susunan Jenazah Dalam Satu Liang Lahad

Soalan

Adakah dalil atau rujukan dalam keutamaan susunan jenazah dalam satu liang lahad mengikut tahap kealiman atau hafiz al-Quran dan lain-lain?

Penjelasan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian.

Mengikut kaedah asal pengebumian jenazah adalah dengan dikebumikan di dalam satu liang lahad yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Hal ini seperti yang disebutkan di dalam matan Safinah al-Naja:

حفْرَةٌ تَكْتُمُ رَائِحَةً وَتُحْرِسُهُ مِنَ السِّبَاعِ وَأَكْمَلُهُ قَامَةً وَبَسْطَةً وَيُوضَعُ خَدُّهُ عَلَى التًّرَابِ وَيَجِبُ تَوْجِيهُهُ إِلَى القِبْلَة

Maksudnya: Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta melindungi daripada haiwan buas. Liang lahad yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, meletakkan pipi jenazah menyentuh tanah dan wajib menghadapkannya ke arah kiblat.

Secara asasnya mengebumikan banyak jenazah dalam satu liang adalah haram. Namun dalam situasi yang lain, sekiranya terdapat keperluan atau keadaan yang mendesak untuk pengebumian jenazah lebih dari satu di dalam satu liang lahad adalah harus satu liang lahad maka diharuskan. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini :

(وَلَا يدْفن اثْنَان) ابْتِدَاء (فِي قبر وَاحِد) بل يفرد كل ميت بِقَبْر حَالَة الِاخْتِيَار لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Dua jenazah tidak boleh dikebumikan di dalam satu kubur, bahkan setiap jenazah perlu diasingkan dalam satu kubur (untuk setiap mayat) dalam keadaan bukan darurat berdasarkan contoh ikutan amalan Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, Islam memberikan panduan menyusun jenazah dalam satu liang lahad. Cara susunan banyak jenazah dalam satu liang lahad telah diajarkan oleh Baginda SAW berdasarkan hadis berikut:

احْفِرُوا، وَأَوْسِعُوا، وَأَحْسِنُوا، وَادْفِنُوا الِاثْنَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ فِي قَبْرٍ وَاحِدٍ، وَقَدِّمُوا أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا

Maksudnya: Galilah, perluaskanlah, perelokkanlah dan kebumikanlah mereka dua orang atau tiga orang dalam satu kubur dan dahulukanlah dalam kalangan mereka yang banyak hafalan al-Qurannya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Berpandukan hadis di atas Imam al-Ramli menjelaskan:

المستحب في حال الاختيار أن يدفن كل ميت في قبر كذلك (فعل النبي صلي الله عليه وسلم وأمر به) فان كثر الموتي بقتل وغيره وعسر افراد كل ميت بقبر دفن الاثنان والثلاثة في قبر واحد لما روى (أنه صلي الله عليه وسلم قال للانصار يوم أحد احفروا واوسعوا وعمقوا واجعلوا الا ثنين والثلاثة في القبر الواحد وقدموا اكثرهم قرآنا) وليقدم الافضل الي جدار للحد مما يلي القبلة

Maksudnya: Dalam keadaan yang tidak mendesak disunatkan pengebumian setiap jenazah dalam satu liang lahad. Begitulah yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah SAW sekiranya terdapat jenazah yang ramai disebabkan terbunuh dalam peperangan atau lainnya. Hal ini kerana wujud kesulitan untuk mengebumikan satu persatu maka dua atau tiga jenazah boleh dikebumikan dalam satu liang kubur. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW, di mana Nabi SAW pernah berkata kepada kaum Ansar ketika peperangan Uhud, “Galilah, perluaskanlah, perelokkanlah dan kebumikanlah mereka dua orang atau tiga orang dalam satu kubur dan dahulukanlah dalam kalangan mereka yang banyak hafalan al-Quran” dan tentukanlah kedudukan jenazah-jenazah yang paling utama dengan dinding kubur yang menghadap kiblat.

Walaupun begitu, terdapat beberapa syarat yang diletakkan oleh para ulama bagi melaksanakan pengebumian lebih daripada satu jenazah dalam satu liang lahad. Syarat-syarat perlaksanaannya adalah seperti berikut:

  1. Hendaklah jenazah diasingkan mengikut jantina namun jika ada pertalian mahram dan perkahwinan diharuskan untuk dikebumikan bersama.
  2. Hendaklah dipisahkan antara dua jenazah dengan penghadang.
  3. Tidak menggali semula kubur jenazah lama untuk mengebumikan jenazah baharu kecuali jika jenazah lama sudah reput.
  4. Meraikan susunan jenazah di dalam liang lahad mengikut keutamaan dan ketinggian taraf jenazah. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafiʻi bahawa perlu mengutamakan mereka yang lebih banyak hafalan al-Qurannya, diutamakan bapa berbanding anak walaupun anak lebih afdal kerana kedudukan bapa lebih dihormati, didahulukan ibu berbanding anak perempuan dan lain-lain.

Kesimpulan

Keutamaan susunan jenazah mengikut tahap kealiman, tahap hafalan al-Quran dan seumpamanya memang terdapat panduan daripada hadis Nabi SAW dan penjelasannya oleh para ulama fiqh seperti Imam al-Ramli, Imam al-Nawawi dan lain-lain.

Wallahuaʻlam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑