Hukum Menghasilkan Imej Orang Yang Telah Meninggal Dunia Dengan AI

Soalan

Adakah dibenarkan perbuatan menggunakan aplikasi ‘generative AI’ dalam menghasilkan kerja kreatif digital memaparkan wajah insan yang telah meninggal dunia sebagai salah satu jalan meluahkan rasa kesedihan dan rindu kepada insan tersayang?

Penjelasan

Hukum menghasilkan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital mengambil sama seperti hukum melukis gambar.

Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama. Namun penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan. Selain itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala maka tiada bernyawa manusia dan haiwan tersebut maka hukumnya harus. Oleh itu, penghasilan imej digital orang yang telah meninggal dunia aplikasi “generative AI” adalah harus dengan syarat:

  1. Gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan.
  2. Tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.
  3. Tidak mengaibkan gambar si mati.
  4. Tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.
  5. Tujuan gambar tersebut dibuat hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara.

Wallahu a’lam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑