Soalan
Mohon pendapat dan pandangan pihak pejabat mufti berkaitan hukum bagi seseorang yang mempunyai kelayakan menjadi imam berbanding jemaah yang lain seperti seorang Hafiz yang mempunyai suara lantang, mempunyai ilmu berbanding jemaah lain namun mempunyai keuzuran dalam bab kebersihan seperti kencing tidak lawas untuk menjadi imam? Adakah dia boleh mengimami jemaah lain?
Penjelasan
Jawapan Ikhtisar:
Seseorang yang mempunyai keuzuran seperti kencing tidak lawas masih boleh mengimami jemaah selagi dia mengikuti prosedur kebersihan dan wuduk yang ditetapkan serta memenuhi syarat-syarat lain sebagai imam.
Jawapan Tafsil:
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Istilah Imam Menurut Sisi Syarak
Perkataan imam dari segi bahasa tsabit daripada perkataan dasar أَمَّ يَؤُمُّ yang bermaksud kemahuan dan juga mendahului atau mendepani. Manakala dari segi istilah pula bermaksud hubungan solat seseorang dengan solat orang lain dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’ ataupun dikenali sebagai al-Imamah as-Sughra (الإِْمَامَةِ الصُّغْرَى). [Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, jil. 6, hlmn. 201].
Imam solat fardu adalah sebaik-baik amalan yang dilakukan oleh sebaik-baik manusia yang mempunyai sifat terpuji dan tidak dikira solat jemaah itu jikalau tiada imam. Jumhur fuqaha’ berpandangan imam adalah lebih afdal daripada azan dan iqamat berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyuruh para sahabat yang paling alim dan mahir al-Quran untuk menjadi imam:
إِذَا كَانُوا ثَلاَثَةً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَحَدُهُمْ، وَأَحَقُّهُمْ أَقْرَؤُهُمْ
Maksudnya: “Jika mereka bertiga, hendaklah salah seorang dari mereka mengimami mereka, dan yang paling berhak di antara mereka adalah yang mahir membacanya (al-Quran)”.
[Sunan an-Nasaie 840]
Syarat Menjadi Imam
Walau bagaimanapun, para ulama’ menetapkan agar tidak sembarangan daripada kalangan manusia untuk menjadi imam untuk solat fardu lima waktu di masjid atau surau. Maka antara syarat yang digariskan oleh ulama’ buat para imam antaranya; [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, jil. 6, hlmn. 201].
a. Mestilah Islam dan Berakal
Para fuqaha bersepakat dalam mensyaratkan seseorang itu Muslim untuk dilantik menjadi imam dan tidak sah solat di belakang orang kafir. Ulama juga bersepakat bahawa imam mestilah berakal dan bukannya seorang yang mabuk dan gila
b. Mestilah Seorang Lelaki
Fuqaha as-Shafieyah juga bersepakat bahawa syarat menjadi imam bagi jamaah lelaki mestilah dari kalangan lelaki dan bukannya wanita berdasarkan hadis Nabi SAW:
وَلَا تَؤُمَّنَّ اِمْرَأَةٌ رَجُلًا
Maksudnya: “Janganlah seorang wanita menjadi imam buat lelaki.”
[Riwayat Ibn Majah 1081]
c. Paling Mahir dalam Fiqh Solat
Sebagai tambahan, Imam al-Khatib as-Syirbini juga menerangkan antara syarat menjadi imam adalah seseorang yang paling faqih dalam bab solat walaupun bukan seorang hafiz al-Quran dan dia lebih utama berbanding seseorang yang mahir dan hafiz al-Quran. Hal ini kerana kepentingan kepada ilmu fiqh solat itu lebih utama dari al-Quran berdasarkan teladan Sayidina Abu Bakar yang menjadi imam di kala terdapat para sahabat yang lebih mahir dan hafiz al-Quran pada ketika itu:
لَمْ يَجْمَعْ الْقُرْآنَ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ ﷺ غَيْرُ أَرْبَعَةٍ كُلُّهُمْ مِنْ الْأَنْصَارِ: أُبَيّ بْنُ كَعْبٍ، وَمُعَاذُ بْنُ جَبْلٍ، وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ، وَأَبُو زَيْدٍ
Maksudnya: “Tidaklah dikumpulkan al-Quran pada zaman Nabi melainkan empat sahabat dari kalangan Ansar iaitu Ubay bin Ka’ab, Mu’adz bin Jabal, Zaid bin Tsabit, dan Abu Zaid”
[Sahih Muslim 2465]
Permasalahan kencing tidak lawas (سلس البول)
Para alim ulama dari kalangan fuqaha’ sudah banyak membincangkan permasalahan ‘silis al-bawl’ ini di dalam kitab mereka. Imam al-Nawawi berpendapat bahawa sah solat seseorang yang mempunyai penyakit ini dengan berdalilkan qias, beliau berkata:
وَاسْتَدَلُّوا لِلصِّحَّةِ مَعَ مَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ بِالْقِيَاسِ عَلَى مَنْ صَلَّى خَلْفَ مُسْتَجْمِرٍ بِالْأَحْجَارِ أَوْ بِمَنْ عَلَى ثَوْبِهِ أَوْ بَدَنِهِ نَجَاسَةٌ يُعْفَى عَنْهَا فَإِنَّ اقْتِدَاءَهُ صَحِيحٌ بِالِاتِّفَاقِ
Maksudnya: Istidlal bagi mengatakan sah solatnya adalah berdasarkan qiyas dengan seseorang yg beristinja’ dengan batuan atau seseorang yang mempunyai kekotoran di baju atau di badan, maka kesemua ini adalah dimaafkan oleh syara’ dan seseorang yang menjadi makmumnya juga sah solatnya. [Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 4, hlmn. 263]
Selain itu, Dar Ifta’ Misriyah juga memberikan fatwanya dengan mengatakan seorang imam solat jemaah yang mempunyai penyakit ini sah solatnya dan tiada masalah sebagaimana hukum yang telah diistinbatkan oleh fuqaha’ Malikiah dalam satu qaul dan Syafieyah dalam qaul al-Asah iaitu seseorang yang selalu berhadas asbab penyakit ‘silis al-Bawl’ ini dimaafkan oleh syarak, maka apabila dimaafkan buat dirinya, maka dimaafkan juga buat selain dirinya (makmumnya). [Lihat Dar Ifta’ Misriyah, fatwa no. 7492]
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan masalah ini mempunyai perbahasan yang panjang oleh para Fuqaha’ dalam permasalahan imam mempunyai penyakit ‘silis al-bawl’ dan makmum kesemuanya sihat. Maka, ada ulama’ dari kalangan Hanabilah dan Hanafiah berpendapat bahawa tidak sah solat seorang imam yang mempunyai penyakit ini kerana adanya najis secara hakikat, tetapi pada imam tersebut tidak merasakannya. Manakala, fuqaha Malikiah dalam qaul masyhur dan qaul al-Asah (الأصح) mazhab Shafi’iyah mengatakan bahawa:
الْجَوَازُ لِصِحَّةِ صَلاَتِهِمْ مِنْ غَيْرِ إِعَادَةٍ، وَلأَِنَّهُ إِذَا عُفِيَ عَنِ الأَْعْذَارِ فِي حَقِّ صَاحِبِهَا عُفِيَ عَنْهَا فِي حَقِّ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Dibolehkan (untuk seorang yang mempunyai penyakit silis bawl itu menjadi imam) dan sah solatnya serta tidak perlu mengulang semula solat kerana apabila dimaafkan uzur itu buat dirinya (imam), dimaafkan jua buat selain daripadanya (makmum).”
[Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, jil. 25, hlmn. 190]
Kesimpulan
Berpandukan kes dan keterangan di atas, seseorang yang mempunyai penyakit kencing tidak lawas (silis al-Bawl) diharuskan dan dibolehkan baginya menjadi imam dan tidak terbatal solatnya dan makmum berdasarkan pendapat yang sahih daripada Imam al-Nawawi dan juga pendapat Imam Haramain dan al-Ghazali di dalam kitabnya al-Basit.
Maka, tidak ada keperluan untuk menggantikan imam yang mempunyai penyakit itu dengan imam yang baharu. Walau bagaimanapun, sekiranya mempunyai imam yang sihat dan sama taraf keilmuannya dalam solat, hafiz al-Quran dan bacaan yang baik tajwidnya, maka imam yang sihat itu lebih diutamakan. Sekiranya tiada, maka tiada masalah imam yang mempunyai keuzuran itu menjadi imam berdasarkan pendapat al-Asah dalam mazhab as-Shafie.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahuaklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment