أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ (١٧) مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ(١٨)
Maksud: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
(Qaf 50:17-18)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bangunkanlah ketaqwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Semoga kita dibangkitkan di akhirat dalam kalangan orang-orang yang meraih kejayaan. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan tanpa gangguan perlakuan-perlakuan yang melalaikan seperti berbual-bual dan berinteraksi dengan telefon bimbit. Semoga Allah SWT menganugerahkan kesempurnaan ganjaran di atas kesungguhan beribadah yang kita persembahkan.
Pada hari yang berbahagia ini, mimbar Jumaat akan membicarakan khutbah bertajuk: “Batasi Hubungan, Hindari Kemungkaran.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Media sosial telah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan moden hari ini. Ia terus berkembang untuk memudahkan aktiviti harian kita dan kini menjadi platform komunikasi yang popular bagi penduduk dunia.
Di Malaysia secara khususnya, ramai yang menggunakannya untuk urusan perniagaan secara dalam talian dan tidak kurang juga yang menggunakan media sosial sebagai gerbang maklumat dan medium untuk berinteraksi dengan orang lain. Namun, jika tidak digunakan dengan bijak dan tanpa kawalan, nikmat kemajuan ini boleh membawa kemudaratan.
Antara mudarat yang paling ketara di waktu ini ialah pergaulan bebas di media sosial. Ingatlah, apa sahaja yang kita lakukan tidak akan lepas dari pengawasan dan catatan. Inilah yang dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam surah Qaf, ayat 17 dan 18, yang menjadi mukaddimah khutbah, bermaksud:
“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima segala perkataan dan perbuatannya; yang duduk di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya. Tiada ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Qaf 50:17-18)
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Interaksi sosial yang tidak terkawal di media sosial sama ada dalam bentuk perbualan, pertukaran kandungan atau aktiviti adalah bertentangan dengan nilai-nilai moral dan ajaran Islam. Komunikasi tanpa bersemuka ini menjadikan seseorang itu tidak malu untuk berkongsi apa sahaja. Lantaran tidak dilihat orang lain, mereka yang terlibat berasa selamat dan selesa melakukannya.
Hubungan yang pada awalnya sekadar bertanya khabar dan berbicara, bertukar kepada perkongsian bahan maksiat yang mendorong kepada pertemuan secara fizikal dan akhirnya menjerumuskan kepada perbuatan terkutuk seperti zina. Apa yang menyedihkan dan lebih memalukan adalah perlakuan ini tidak hanya melibatkan golongan muda mudi tetapi mereka yang sudah berstatus suami dan bapa, juga isteri dan ibu turut terlibat sama. Inilah yang menjadi faktor utama kepada kes-kes perlakuan curang sehingga membawa kepada perceraian.
Realitinya kini, gejala negatif di media sosial ini menunjukkan peningkatan kes yang amat membimbangkan. Malah, tanpa rasa malu dan bersalah, ada yang tergamak mempromosikan perbuatan maksiat kerana beranggapan ia adalah normalisasi kehidupan moden. Situasi ini ditambah pula dengan ketagihan melayari laman-laman web yang berunsur pornografi turut menyumbang kepada peningkatan gejala ini.
Rentetan kebimbangan ini, sejak Januari sehingga 1 Jun 2024 lalu, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat capaian lebih 500 laman sesawang bersifat lucah dan sumbang yang sering dilayari oleh warga Malaysia bagi membendung masalah kecelaruan jiwa ini.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Sedarlah betapa gejala ini perlu dihindari dan dihentikan segera. Mari kita amati implikasi buruk akibat perlakuan maksiat yang kian menular ini.
Pertama: Maruah diri dan rasa malu semakin sirna dari jiwa kita. Inilah akibat dosa yang kita lazimi tanpa bertaubat. Tiada lagi iman dan kebaikan pada jiwa yang telah hilang rasa malu yang menjadi benteng terakhir untuk memagar diri daripada dosa. Amati pesanan Rasulullah yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada ‘Uqbah bin ‘Amru radiallahuanhu yang maksudnya: “Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa saja yang kamu mahu.”
Kedua: Dosa yang menjadi budaya hidup ini akan mengundang kesempitan hidup. Belum cukuplah lagi teguran Allah SWT dengan kesusahan yang kita alami? Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa rezeki terhalang dengan sebab perlakuan dosa. Amati hadis riwayat Ibnu Majah daripada Tsauban radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang itu benar-benar terhalang rezekinya dengan sebab dosa yang dilakukannya.”
Ketiga: Setiap dosa kita lakukan tanpa bertaubat, pasti mengundang murka Allah SWT yang membinasakan kita. Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW pernah baginda yang maksudnya: “Awasilah diri kamu dari memandang remeh terhadap dosa-dosa. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan membinasakannya.”
Berpandukan pedoman hadis-hadis ini, kita perlu bersegera menjauhi sebarang aktiviti maksiat dan dosa yang mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT. Sedarlah, azab yang diturunkan akibat perbuatan maksiat ini bukan setakat kepada pelakunya semata-mata, bahkan turut membias dan melingkari persekitaran lokasi kemungkaran itu. Justeru, kita semua wajar berperanan dalam mencegah apa juga bentuk kemungkaran demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup. Berwaspadalah terhadap amaran Allah SWT di dalam surah al-Qasas ayat 59:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِىٓ أُمِّهَا رَسُولًۭا يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِنَا ۚ وَمَا كُنَّا مُهْلِكِى ٱلْقُرَىٰٓ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَـٰلِمُونَ(٥٩)
Maksudnya: “Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.”
(Surah al-Qasas 28:59)
Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran menjelaskan, pelaku kezaliman dalam ayat ini ialah mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT sekalipun setelah berkali-kali diberi peringatan.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin mengajak kita melihat tiga saranan berikut untuk pedoman bersama:
Pertama: Gunakan nikmat kemajuan dalam batas yang dibenarkan syariat. Pelihara maruah diri dan batas pergaulan. Hindari kemungkaran dan maksiat ketika menggunakan media sosial.
Kedua: Setiap pelanggaran syariat pasti mengundang musibah di dunia lagi sebelum di akhirat. Kesempitan dan kepayahan hidup adalah teguran Allah SWT agar kita kembali berubah menjadi hamba yang taat kepada-Nya.
Ketiga: Perbuatan maksiat menerusi media sosial perlu dicegah bagi menjayakan pembentukan sebuah negara yang aman, sejahtera serta dilimpahi keberkatan dan rahmat Allah SWT. Renungi firman Allah SWT di dalam surah al Mu’minun ayat 1-5:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ(١) ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ(٢) وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ(٣) وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ(٤) وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ(٥)
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat); dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
(Surah al Mu’minun 23:1-5)
Tarikh Dibaca: 4 Safar 1446H/9 Ogos 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment