Soalan
Rakan saya pernah mencuri sepasang kasut semasa bekerja di pasar raya dahulu. Sekarang, dia menyesal dengan perbuatan tersebut dan ingin bertaubat. Dia tidak dapat mengembalikan kasut tersebut kerana sudah dipakainya untuk jangka masa yang agak lama. Dia juga tidak berani untuk pergi ke kedai tempat bekerja dulu dan mengaku kesalahannya atas alasan maruah dan kerisauan akan tindakan lanjut yang mungkin diambil. Apakah yang boleh dilakukan oleh rakan saya untuk mengatasi isu ini supaya beliau tidak disoal pada hari Akhirat nanti?
Penjelasan
Jawapan Ikhtisar
Mencuri merupakan salah satu dosa daripada dosa-dosa besar dan pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT. Oleh itu, seseorang yang melakukan perbuatan mencuri perlu memulangkan semula barang yang dicurinya atau menggantikan semula dengan nilai barang tersebut kepada pemilik asal atau waris kepada barang tersebut. Jika tuan atau waris barang tersebut tidak dijumpai, atau dipastikan sudah meninggal dunia maka hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin dengan nilai barang tersebut serta diniatkan pahalanya kepada tuannya.
Jawapan Tafsil
Wa’alaikumusalam wbt,
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Mencuri merupakan perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam. Hukuman bagi pelakunya tidak sekadar dijanjikan di akhirat, bahkan diperuntukkan juga di dunia kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
[Surah al-Maidah 5:38]
Ini adalah hukuman bagi mereka yang mengambil harta orang lain tanpa hak sebagai pembalasan dan juga sebagai peringatan agar orang lain tidak melakukan perbuatan yang serupa. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam urusan-Nya. [Rujuk Tafsir Muyassar, jld. 1, hlm. 114]
Selain itu, terdapat hadis daripada Nabi SAW yang mengarahkan para sahabatnya mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri apabila sabit kesalahan. Sabda Nabi SAW:
لَا تُقْطَعُ يَدُ سَارِقٍ إِلَّا فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksudnya: Tidaklah dipotong tangan pencuri kecuali dia mencuri seperempat dinar atau lebih.
[Sahih Muslim 1684]
Oleh itu, syarak mewajibkan kepada orang yang mencuri untuk memulangkan atau mengganti semula apa yang telah diambil tanpa keizinan tuannya. Iaitu barang asal atau nilaian barang tersebut sekiranya empunya barang itu masih hidup.
Namun sekiranya dia telah meninggal dunia maka wajib menyerahkan barang tersebut kepada warisnya.
Imam al-Nawawi ada menukilkan fatwa Imam al-Ghazali dalam kitab beliau yang menyebutkan bahawa sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mencarinya, maka wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum, seperti jambatan, ribat-ribat (tempat pengajian), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Mekah dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam. [Rujuk al-Majmu’, jld. 9, hlm. 351]
Harta yang dicuri tersebut juga boleh disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT, juga disertakan niat pahala kepada tuannya sekiranya tuan empunya barang atau warisnya sudah meninggal dunia atau tidak dijumpai. [Rujuk Syarh Riyadh al-Solihin, jld. 1 hlm. 89]
Berbalik kepada persoalan, seseorang yang melakukan perbuatan mencuri perlu menanggung akibat dan dosa daripada perbuatan tersebut dengan mengaku kepada tuan empunya barang bahawa haknya telah diambil secara zalim. Walaupun pelaku sudah melakukan taubat tetapi itu merupakan dosa dirinya dengan Allah SWT. Namun, dosa pelaku dengan tuan empunya barang tidak lagi selesai sehingga dipulangkan kembali barang tersebut. Bahkan taubat tidak akan diterima sehingga hak tuan empunya barang tersebut telah diselesaikan. [Rujuk Syarh Riyadh al-Solihin, jld. 1 hlm. 89]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan mencuri adalah berdosa besar dan pelakunya harus bertaubat nasuha kepada Allah SWT dengan segera. Selain itu, pelaku wajib memulangkan semula barang atau ganti nilai barang tersebut kepada tuan empunya barang atau kepada warisnya. Namun, sekiranya pelaku tersebut khuatir terhadap tindakan yang akan dilakukan terhadap dirinya setelah pengakuan dibuat maka saranan kami adalah untuk pulangkan atau gantian wang dengan menggunakan khidmat pos berserta surat permohonan maaf terhadap tuan tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah-perintah-Nya.
Wallahuaklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment