أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۗ وَمَن يَكُنِ ٱلشَّيْطَـٰنُ لَهُۥ قَرِينًۭا فَسَآءَ قَرِينًۭا(٣٨)
Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”
(Surah An-Nisa’ 4:38)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Riak Dalam Beribadah”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Islam amat menjaga umatnya agar sentiasa berada pada jalan yang benar. Umat Islam dididik supaya sentiasa menjaga akhlak dengan mengeluarkan daripada dalam diri sifat-sifat mazmumah dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah. Antara sifat-sifat mazmumah yang wajib dihindari adalah sifat riak.
Sudut bahasa riak adalah berasal daripada ru’yah bermaksud menampakkan atau memperlihatkan suatu amalan kebaikan sesama manusia. Sudut Istilah bermaksud melakukan ibadah dengan niat supaya dipuji manusia dan tidak berniat beribadah kepada Allah SWT. Sifat ini merupakan perbuatan yang sia-sia kerana ia mengandungi sifat berpura-pura yang sentiasa mencari peluang untuk dipuji. Ia juga menjadi senjata bagi syaitan untuk menewaskan orang-orang yang rajin beribadah sehingga rosak segala amalnya dan tidak sampai kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 264:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat”.
(Surah al-Baqarah 2:264)
Sifat ini boleh datang sama ada dalam keadaan kita sedar ataupun tidak. Kadang kala kita terlupa, lalai dan terleka sehinggakan ada amal ibadah yang kita lakukan ditunjuk kepada umum. Ini bagi meraih perhatian dan pujian daripada orang ramai seperti memuat naik kandungan apa-apa sahaja perkara khususnya amal ibadah yang kita lakukan di media-media sosial dan sebagainya. Kita akan tertunggu-tunggu dan berasa gembira dan berbangga sekiranya ada yang memberi maklum balas memuji kita sehingga kita lupa apakah objektif kita melakukan amal ibadah tersebut.
Kita lebih mengharapkan ganjaran daripada manusia di dunia ini sehinggakan kita lupa bahawa segala amal ibadah yang kita lakukan hanya Allah SWT sahaja yang selayaknya menilai dan memberikan ganjaran. Ingatlah, sesuatu amal ibadah yang kita lakukan adalah kerana menurut perintah Allah SWT untuk kita melakukannya bukan kerana menurut perintah makhluk-Nya. Amalan yang kita lakukan hanya bernilai dan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT sekiranya kita ikhlas melakukan kerana-Nya. Sifat riak ini merupakan satu wabak yang cukup bahaya kerana ia boleh mengancam kemurnian akidah serta merosakkan nilai keikhlasan hati.
Hadis daripada Mahmud bin Labid Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takut terjadi kepada kalian adalah syirik kecil. Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah SAW?” Baginda bersabda: “Itulah riak”, Allah ‘Azza Wajalla akan berfirman kepada mereka pada hari Kiamat kelak semasa manusia diberi balasan atas amalan mereka: “Pergilah kepada orang yang hendak kamu tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu)?”.
(Riwayat Imam Ahmad)
Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Riak adalah haram hukumnya dan dicela oleh Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al- Ma’un ayat 4–6:
فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ(٤) ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ(٥) ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ(٦)
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang; (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (dalam ibadah dan bawaannya).”
(Surah Al-Ma’un 107: 4-6)
Berdasarkan ayat ini orang yang melaksanakan ibadah atau kebaikan dengan tujuan ibadah dan riak maka ibadahnya tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT disebabkan pahala ibadahnya tertutup dengan perasaan riak tersebut.
Hadirin Jumaat yang berbahagia,
Bagi membuang sifat yang keji ini, ia memerlukan kepada mujahadah iaitu jihad dalam diri. Langkah pertama adalah dengan membuang segala perkara buruk yang telah menjadi kebiasaan dalam diri kita. Di samping itu, kita hendaklah memaksa diri untuk melakukan perkara-perkara yang baik. Tanamkan tekad untuk terus beristiqamah membuang sifat riak dalam diri kita ini. Lakukanlah amal ibadah dengan seikhlas hati semata-mata kerana Allah SWT tanpa ada sekutu bagi-Nya. Tidak ada gunanya amal ibadah yang kita lakukan untuk mendapat pujian manusia kerana ia hanya berguna di dunia yang fana ini sahaja. Ingatlah, segala amal ibadah yang kita lakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT adalah demi untuk mendapatkan keredaanNya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 146:
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَٱعْتَصَمُوا۟ بِٱللَّهِ وَأَخْلَصُوا۟ دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَسَوْفَ يُؤْتِ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًۭا(١٤٦)
Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada agama Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu adalah ditempatkan bersamasama orang-orang yang beriman (di dalam syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar”.
(Surah al-Nisa’ 4: 146)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah melakukan segala amal ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, bukan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.
2. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sifat riak kerana ia adalah perbuatan yang merosakkan akidah dan menyekutukan Allah SWT secara tersembunyi.
3. Umat Islam hendaklah menanamkan tekad dalam diri untuk terus berjihad membebaskan diri daripada segala sifat mazmumah dan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah
قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌۭ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا(١١٠)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
(Surah al-Kahfi 18:110)
Tarikh Bacaan: 11 Safar 1446h/16 Ogos 2024m
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment