أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَءَامِنُوا۟ بِرَسُولِهِۦ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِۦ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُورًۭا تَمْشُونَ بِهِۦ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (٢٨)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Hadid 57:28)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kepada Allah. Laksanakan segala perintah, jauhi segala yang ditegah. Semoga kita sentiasa dalam dakapan rahmat Allah. Sedarlah betapa kita sedang berada di rumah Allah, maka tinggalkan seketika kelekaan, berikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan.
Semoga kita meraih kesempurnaan ganjaran solat Jumaat hari ini sesuai dengan apa yang kita persembahkan. Pada hari yang penuh barakah ini, mimbar Jumaat akan membicarakan khutbah bertajuk: “Nilai Diperkasa, Integriti Dipelihara.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Nilai merupakan asas kepada sesuatu tindakan dan pegangan yang menjadi dasar dalam pembentukan sesuatu sikap dalam kehidupan dan pekerjaan. Nilai bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi, ia terhasil daripada pelbagai faktor dan situasi yang dilalui oleh individu di sepanjang kehidupan melalui proses sosialisasi dalam keluarga, masyarakat dan persekitaran pekerjaan.
Pelbagai isu yang berlaku dalam keluarga dan di tempat kerja seperti konflik dengan pasangan, pengabaian anak, anak yang bermasalah, salah laku dan rasuah di tempat kerja berpunca daripada pengamalan nilai yang rendah.
Sebagai insan beriman, nilai ini dibina dan dijana dengan asas iman dan ketaqwaan. Indahnya, bersama pemilikan asas ini kita dijanjikan dengan limpahan rahmat untuk menjadi teman perjalanan kehambaan. Amati pesanan yang termaktub dalam surah al-Hadid ayat ke-28, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya, supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkan dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Setiap pekerja di mana-mana sektor awam atau swasta, juga yang bekerja sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk bertanggungjawab terhadap pembudayaan nilai-nilai murni dalam pekerjaan. Penjawat awam secara khususnya mempunyai peranan penting dalam menjalankan fungsi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Mereka menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat, serta bertanggungjawab dalam pelaksanaan dasar-dasar awam, perkhidmatan, dan pembangunan negara.
Dalam konteks ini, nilai-nilai peribadi akan menjadi asas dan mendukung nilai dalam pekerjaan, seperti hijrah tatakelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran. Semua nilai-nilai ini perlu dibangunkan dan dibudayakan kerana ia akan mengurangkan risiko tingkah laku tidak beretika, meningkatkan tahap kesejahteraan diri serta memberi impak positif kepada prestasi sesebuah organisasi.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Berdasar kepada kepentingan elemen nilai ini, maka pembudayaan nilai dalam perkhidmatan perlu diberi keutamaan dan diperkukuhkan. Pemahaman dan pengamalan nilai yang berterusan perlu dilakukan. Tumpuan kepada aspek pemantapan tadbir urus individu, pemerkasaan peranan pemimpin dan pengukuhan tatakelola organisasi akan membentuk warga kerja yang produktif, berintegriti dan sejahtera. Selaras hasrat ini, beberapa gagasan perlu dijana untuk mencapai nilai-nilai yang disasarkan:
Pertama: Semaikan slogan ‘kerja ialah amanah’. Semaikan dalam jiwa betapa kerja adalah tanggungjawab yang mesti disempurnakan lantaran kita dibayar selaras ketetapan yang perlu dipenuhi. Pastikan imbuhan gaji yang diterima saban bulan adalah setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Slogan ini harus diterjemahkan melalui peningkatan kualiti kerja, berintegriti serta tekun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Kedua: Budayakan integriti dalam bekerja. Istiqamah mengekalkan kejujuran, ketulusan, dan konsistensi dalam bertindak serta sentiasa mematuhi prinsip dan peraturan. Integriti amat penting dalam membina kepercayaan dan kredibiliti dalam kalangan pekerja, pelanggan, dan masyarakat. Secara tidak langsung ia memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan meningkatkan imej perkhidmatan awam.
Ketiga: Hijrah tatakelola menjadi lebih sempurna. Ia merupakan proses peralihan kepada amalan pengurusan yang lebih baik dan berkesan. Dalam konteks ini, hijrah tatakelola bertujuan untuk meningkatkan cara pengurusan dan pentadbiran dalam organisasi untuk mencapai tahap yang lebih baik dari segi kecekapan, ketelusan, dan kebertanggungjawaban.
Semua usaha ini perlu dipergiatkan secara menyeluruh, konsisten dan berterusan sehingga pembudayaan nilai ini menjadi realiti dalam suasana kerja dan perkhidmatan di negara kita.
Nilai-nilai ini jelas disebut di dalam surah al-Qasas ayat 26. Firman Allah SWT:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ (٢٦)
Bermaksud: “Salah seorang perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi pekerja upahan kita, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
(Surah al-Qasas 28:26)
Ketika mengulas ayat ini dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil, Imam al-Baghawi menyatakan jawapan wanita itu ketika bapanya bertanya tentang bukti kekuatan dan amanah yang ada pada Nabi Musa alaihissalam;
“Sungguh, dia kuat kerana berupaya mengangkat batu besar yang menutupi telaga, yang hanya mampu diangkat oleh sepuluh orang. Dia juga amanah kerana meminta aku berjalan di belakangnya bukan di hadapan, agar dia tidak melihat sosok tubuhku ketika pakaianku ditiup angin.”
Rasulullah juga mengingatkan umatnya agar sentiasa kuat dan gigih berusaha. Usah lemah, malas dan mudah berputus asa. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, baginda bersabda:
Bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah, meskipun pada setiap mereka ada kebaikan (kerana beriman). Carilah apa yang lebih memberi manfaat kepadamu, mohon bantuan dengan Allah dan jangan lemah!”
Inilah nilai. Nilai yang diperlukan setiap insan untuk menjadikan dirinya pekerja terbaik dan dihormati. Sentiasa mempamerkan kesungguhan dan ketelusan dalam apa juga perlakuan dan tindakan. Sesungguhnya pembudayaan nilai-nilai murni adalah asas kepada pembentukan budaya kerja yang positif. Semoga Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan
Awam MAPPA 2024 yang berlangsung pada hari ini, berjaya memupuk nilai dan melahirkan para penjawat awam yang ikhlas dan gigih berkerja, sabar berusaha, tabah menabur jasa, jujur dan berintegriti dalam menjunjung amanah agama, bangsa dan negara.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Di penghujung khutbah, mimbar ingin mengajak kita melihat tiga saranan berikut untuk pedoman bersama:
Pertama: Tingkatkan nilai dalam diri kerana ia menjadi asas pegangan dan tindakan yang akhirnya membentuk sikap dan budaya dalam kehidupan.
Kedua: Berdisplinlah mengamalkan nilai dengan memberi tumpuan kepada aspek pemantapan tadbir urus individu, pemerkasaan peranan pemimpin dan pengukuhan tatakelola organisasi untuk membentuk warga kerja yang produktif, berintegriti dan sejahtera.
Ketiga: Binalah nilai dengan asas iman dan ketaqwaan kerana dengannya kita dijanjikan limpahan rahmat untuk menjadi peneman usaha-usaha pengislahan yang dibangunkan.
Renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun ayat 8-11:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ(٨) وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ(٩) أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ(١٠) ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ(١١)
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah al-Mukminun 23: 8-11)
Tarikh Bacaan: 11 Safar 1446h/16 Ogos 2024m
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment