Hukum Tentang Hutang & Bankrap

Soalan

Saya mempunyai syarikat Sdn Bhd yang telah pun tidak beroperasi dan sudah digulungkan/bankrap tetapi masih berhutang dengan pembekal-pembekal sebelum ini. Rentetan itu, saya juga turut muflis dan segala harta saya ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Sebahagian dari hutang itu ketika saya menjadi pengarah di dalamnya telah saya jamin.

Persoalannya, adakah saya masih perlu melangsaikan hutang yang saya telah jamin sedangkan peminjam asal (syarikat) telah muflis dan tiada kemampuan untuk membayar hutang tersebut? Bagaimana pula hutang yang saya tidak jamin ketika sebagai pengarah syarikat tersebut?  Seperti mana sedia maklum, undang-undang Malaysia iaitu akta syarikat telah menetapkan bahawa Syarikat dan Individu adalah dua entiti yang berbeza. Cuma 1 bernyawa dan 1 satu tidak bernyawa.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Penubuhan dan Pemilikan Syarikat

Syarikat Sdn. Bhd. dikategorikan di bawah jenis syarikat berhad iaitu saham yang dihadkan. Mudahnya, saham perniagaan tidak boleh dijual kepada orang awam. Modal penubuhan syarikat umumnya datang daripada pemilik syarikat.

Daripada segi pemilikan pula, pemilik syarikat boleh terdiri daripada satu atau sekurang-kurangnya dua individu. Syarikat perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk beroperasi.

Dari segi saham atau syer pula, individu yang mempunyai syer terbesar boleh mengawal syarikat. Malah syer atau saham dalam syarikat Sdn. Bhd. boleh dimiliki lebih daripada satu individu. Kumpulan ini dikenali sebagi Board of Directors (BOD) atau Lembaga Pengarah Syarikat. Malah, mereka ini turut dikenali sebagai pemegang saham syarikat.

Hutang Syarikat

Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan wasilah untuk bermewah dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh. Tamak kepada harta dan cinta dunia akan melupakan manusia pada akhirat penyakit suka berhutang merupakan antara faktor dan penyumbang kepada masalah amalan riba, pecah amanah, rasuah, keruntuhan rumah tangga, penipuan dan sebagainya lagi

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang:

اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ المَأْثَمِ والمَغْرَمِ فَقَالَ له قَائِلٌ: ما أكْثَرَ ما تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ، فَقَالَ: إنَّ الرَّجُلَ إذَا غَرِمَ، حَدَّثَ فَكَذَبَ، ووَعَدَ فأخْلَفَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Bukhari no. 832 dan Muslim no. 1325)

Tidak kurang juga berlaku, individu atau syarikat yang suka berhutang atau meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Nabi SAW menegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, baginda SAW bersabda;

من أخَذَ أمْوالَ النَّاسِ يُرِيدُ أداءَها أدَّى اللَّهُ عنْه، ومَن أخَذَ يُرِيدُ إتْلافَها أتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.”

(Riwayat Bukhari no. 2387)

Berbalik semula kepada isu yang ditanyakan, kami memutuskan bahawa semua pemegang syer adalah berkongsi pada keuntungan syarikat dan juga menanggung kerugian berdasarkan jumlah syer masing-masing. 

Imam Nawawi menjelaskan perkara tersebut dalam karya beliau al-Minhaj dalam bab syarikat dengan katanya;

والربح والخسران على قدر المالين.

Maksudnya: “Keuntungan sebuah syarikat dan kerugiannya adalah berpandukan kadar harta (syer) kedua-dua orang yang bersyarikat”.

Hukum ini berdasarkan kaedah feqah seperti berikut

الغرم بالغنم

Maksudnya: Kos dan kerugian yang berlaku dari sesuatu mestilah ditanggung oleh orang yang mendapat manfaat daripadanya. [Rujuk: al-qawaid al-Fihqhiah wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arba’ah jld. 1, hlm. 543]

Ini bermaksud bahawa sesiapa yang memperoleh manfaat sesuatu, mesti juga akan menanggung kerugiannya.

Kesimpulan

Hasil penelitian di atas dapat dijelaskan bahawa menurut hukum muamalat Islam hutang syarikat mestilah dibayar dengan harta syarikat yang telah bankrap itu sendiri dan hutang yang berbaki hendaklah ditanggung oleh pemegang syer dan dibahagikan mengikut kadar syer mereka. [Rujuk: islamweb.net, no. fatwa 34140 dan 59764]

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑