Persoalan Berkaitan Money Laundering 

Soalan

Kami akan mengadakan Program Mobiliti Jangka Pendek (Outbound) pada tahun ini ke 2 buah universiti tempatan di Indonesia. Sebagai penganjur, para pelajar perlu mencari dana untuk menampung kos ini dan dana luar tersebut perlu masuk ke akaun bank Bendahari Universiti. Masalahnya, jika dimasukkan ke dalam akaun Bendahari Universiti, duit tersebut sukar untuk dikeluarkan. Ini menyukarkan kami kerana kami memerlukan duit untuk menguruskan program ini termasuk pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya.

Oleh itu, kami ingin berkolaborasi dengan satu NGO untuk menggunakan (menumpang) akaun bank mereka. Maksudnya, sebarang dana luar akan dimasukkan ke akaun tersebut dan NGO tersebut bersetuju untuk kami menggunakan akaun mereka.

Isunya sekarang, penasihat program kami tidak bersetuju kerana ia boleh diibaratkan seperti money laundering. Adakah cara ini bercanggah dengan syariat Islam dan boleh diibaratkan sebagai money laundering? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Money Laundering

“Money Laundering” atau pengubahan wang haram adalah satu tindakan atau aktiviti penukaran wang atau nilai harta lain yang diperoleh daripada aktiviti haram (seperti pengedaran dadah, rasuah, perdagangan senjata haram, pemerdagangan manusia, samun, jenayah dan seumpamanya) kepada wang atau pelaburan yang kelihatan sah daripada segi undang-undang. Aktiviti itu dijalankan supaya sumber wang haram dan nilai-nilai material yang lain tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. (Rujuk Journal Asian Journal Of Accounting And Governance, Pengubahan Wang Haram di Malaysia: Analisis Kes Mahkamah)

Terdapat Tiga (3) peringkat atau proses bagi penggubahan wang haram atau juga selalu disebut ‘mencuci’ wang haram. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:

  1. Peringkat pertama dikenali sebagai PENEMPATAN di mana wang dari aktiviti haram yang diperoleh akan disimpan dalam bank atau mana-mana sistem kewangan yang sah.
  2. Lapisan (layering), Pada peringkat LAPISAN pula, akan berlaku proses mewujudkan pelbagai lapisan transaksi dengan menjauhkan lagi dari dana haram. Ianya bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan daripada ia mudah dikesan. 
  3. Peringkat akhir pula dikenali sebagai INTEGRASI di mana ia melengkapkan proses penggubahan wang haram. Dana haram ini akan dibawa masuk ke dalam sistem ekonomi seolah-olah ia dari sumber yang sah. Malahan ia akan dilaburkan atau dibelanjakan kepada tujuan-tujuan yang sah.

Pihak yang terlibat melakukan penggubahan wang haram boleh didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Dari Aktiviti Haram 2001. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM 5,000,000 yang mana lebih tinggi. (Rujuk Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara, AMLA, Anti Money Laudering@ Penggubahan Wang Haram”)

Mencari Dana Dan Konsepnya Menurut Islam

Amalan mencari dana dalam menjayakan sesuatu program serta usaha-usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan merupakan amalan yang sangat terpuji. Islam amat menggalakkan budaya saling membantu dan memudahkan urusan sesama Muslim. Ia termasuk dalam firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَى

Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa.”

(Surah Al-Maidah 5:2)

Mengenai institusi kebajikan atau pihak yang mengumpulkan sumbangan dari pihak lain, Para penganjur perlu memahami situasi dan keadaan mereka dalam menguruskan dana sumbangan tersebut. Di sana terdapat akad Wakalah dan Ijarah yang berkait rapat dengan program mencari dana.

Akad Wakalah

“Wakalah” adalah penyerahan oleh seseorang kepada orang lain suatu tugas yang boleh dilakukannya sendiri, sementara perkara yang diserahkan itu merupakan perkara yang boleh menerima penggantian, agar pihak yang diserahkan itu melakukannya semasa hidupnya. (Rujuk Fiqh Manhaji Juz. 7, Hlm. 165)

Melalui keterangan di atas, pihak yang mengutip sumbangan dianggap sebagai wakil bagi para penyumbang untuk menyampaikan sumbangan kepada para penerima sumbangan.

Hak Wakil Dalam Menguruskan Dana Sumbangan

Seorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu kepada dana sumbangan melainkan berdasarkan keizinan daripada orang yang mewakilkan. Imam al-Syirazi berkata:

ولا يملك الوكيل من التصرف إلا ما يقتضيه إذن الموكل من جهة النطق أو من جهة العرف لأن تصرفه بالإذن فلا يملك إلا ما يقتضيه الإذن والإذن يعرف بالنطق وبالعرف

Maksudnya: “Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan kesesuaian izin orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf kerana tindakan wakil perlu dengan izin (orang yang mewakilkan). Oleh itu, dia tidak memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin dan keizinan itu diketahui samada secara lisan atau ‘Uruf setempat”. (Rujuk Al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafii Jld. 2 Hlm. 165)

Oleh yang demikian, Wakil yang mengutip dana sumbangan perlu memahami batasannya dalam menggunakan dana sumbangan agar tidak berlaku kecuaian dan niat pemberi sumbangan juga perlu diraikan dan dipastikan agar sumbangan mereka digunakan sesuai mengikut kehendak mereka. Mengenai duit sumbangan yang dikhususkan untuk tujuan tertentu seperti yang dinyatakan, ia tidak boleh digunakan melainkan untuk perkara yang telah dikhususkan tersebut. Mengenai hal ini, Syeikh Zakariyya Ansari menyebut dalam kitabnya:

(ولو أعطاه دراهم وقال اشتر لك) بها (عمامة أو ادخل بها الحمام) أو نحو ذلك (تعينت) لذلك مراعاة لغرض الدافع هذا (إن قصد ستر رأسه) بالعمامة (وتنظيفه) بدخوله الحمام لما رأى به من كشف الرأس وشعث البدن ووسخه (وإلا) أي وإن لم يقصد ذلك بأن قاله على سبيل التبسط المعتاد (فلا) تتعين لذلك بل يملكها أو يتصرف فيها كيف شاء.

Maksudnya: “Sekiranya seseorang memberikan beberapa dirham kepada seseorang yang lain lalu berkata: ‘’Belilah untuk kamu dengan wang ini atau gunakan wang ini untuk masuk ke dalam bilik mandi’, atau seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepada penerima melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan penyumbang. Namun, tuntutan ini hanya terpakai sekiranya apa yang dimaksudkan melalui pembelian serban dan masuk bilik mandi tersebut bagi tujuan menutup kepala atau membersihkan diri disebabkan dia melihat kepala penerima terdedah (tidak tertutup) dan badannya kelihatan kotor. Sebaliknya jika dia menyatakannya dalam bentuk pernyataan yang memberi keluasan secara adat kebiasaan, maka tidak menjadi kewajipan untuk menggunakan duit tersebut bagi tujuan di atas. Bahkan penerima berhak memilikinya atau menggunakan wang tersebut bagaimanapun yang dia kehendak. (Rujuk Asna al-Mathalib Juz. 2, Hlm. 480)

Akad “Ijarah”

Ijarah” pula ialah akad ke atas manfaat yang dikehendaki dan diketahui, di mana ia boleh diperoleh melalui bayaran tertentu terhadap sesuatu yang diharuskan dengan bayaran tertentu. (Rujuk Mugnil muhtaj Juz. 3, Hlm. 438)

“Ijarah” merupakan sebuah akad yang di haruskan atau dibolehkan dalam Islam. Allah SWT menjadikannya sebagai salah satu akad demi memudahkan urusan hidup manusia. Para Fuqaha bersepakat atas pensyari’atan Ijarah berdasarkan kepada dalil-dalil daripda al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ yang menunjukkan kebolehan dan keharusan Ijarah itu sendiri.

Allah SWT berfirman:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata, “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita). Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja adalah orang yang kuat lagi amanah”. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah daripada kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, daripada orang-orang yang baik layanannya”.

(Surah al-Qasas 28:26)

Dalam hadis pula daripada Aishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar pernah mengupah seorang penunjuk jalan yang mahir daripada Bani al-Diil. Kemudian Nabi SAW dan Abu Bakar menyerahkan kepadanya kenderaan mereka, dan mereka berdua menjanjikan kepadanya untuk bertemu di gua thaur dengan kenderaan mereka setelah tiga hari. (Rujuk Sahih Bukhari Jld. 3, Hlm. 88)

Kadar Upah Dalam “Ijarah”

Merujuk kepada kebanyakan definisi para Fuqaha terhadap Ijarah, Didapati bahawa penggunaan perkataan ‘iwadh (bayaran upah) dapat dirumuskan sebagai bayaran upah yang diberikan oleh pengguna manfaat sama ada ‘ayn atau pekerjaan kepada pemberi manfaat sama ada ‘ayn atau pekerjaan ke atas manfaat yang dihasilkan. Penentuan ujrah adalah berdasarkan kepada kerja atau kegunaan manfaat tenaga kerja seseorang. Selain itu, Ujrah perlu diketahui kadarnya dengan jelas sama ada dalam bentuk naqd (wang tunai), ’ayn (barang) atau manfaat. Itu berdasarkan kepada hadis Rasulullah:

أعطوا الأجير أجره قبل أن يجف عرقه، وأعلمه أجره وهو في عمله

Maksudnya: “Berikan upah pekerja sebelum kering peluhnya dan maklumkanlah kepadanya kadar upahnya saat ketika ia bertugas”. (Rujuk Sunan Kubra Juz. 12, Hlm. 124)

Merujuk kepada penjelasan dua akad yang telah dijelaskan dan berbalik kepada persoalan yang diajukan, “Berkolaborasi” dengan NGO dapat membawa dua pengertian:

  1. Berkolaborasi dengan NGO dalam menjayakan program tersebut dengan erti kata lain, NGO tersebut juga terlibat dalam mengurus dan mengatur program maka ianya harus dan termasuk dalam akad pertama iaitu Wakalah yang dibenarkan dan NGO akan mengambil kadar upah yang dipersetujui atas kerjasama yang dilakukan tersebut.
  2. Berkolaborasi dengan NGO hanya untuk menggunakan akaun bank mereka sebagai platform pemindahan dana sumbangan dan NGO akan mengambil upah tertentu yang sesuai mengikut kesepakatan yang dibuat. Maka transaksi begini termasuk dalam bab “Ijarah” iaitu menggunakan khidmat mereka dalam proses pemindahan dana sumbangan dan upah akan diberikan mengikut kadar yang bersesuaian.

Bentuk Penentuan Upah

Bentuk penentuan upah pula terbahagi kepada 2 bahagian:

a. Upah yang akan diberikan telah ditetapkan dengan bayaran tertentu atas keseluruhan khidmat yang diberikan dan tidak ditentukan mengikut peratusan dana sumbangan. Hukum upah begini adalah dibenarkan mengikut kesepakatan para Fuqaha’. Sebagai contoh para pelajar telah berkolaborasi bersama NGO dalam urusan penggunaan akaun bank dengan bayaran RM 300 terhadap keseluruhan khidmat yang mereka berikan. Upah begini adalah dibenarkan.

Imam Mawardi menyebut:

فإن ذكر له أجرة معلومة كقوله اغسل هذا الثوب بدرهم فهذه إجارة صحيحة وللغسال الدرهم المسمى

Maksudnya: “Sekiranya seseorang telah menetapkan upah yang diketahui seperti katanya saya mengupah kamu membasuh pakaian ini dengan harga satu dirham maka ia merupakan akad upahan yang sah dan pembasuh tersebut berhak menerima satu dirham seperti yang dipersetujui”. (Rujuk Al-Hawi Kabir Juz. 7, Hlm. 442)

b. Upah yang dipersetujui adalah mengikut peratusan dana sumbangan. Hukum upah begini adalah dilarang mengikut jumhur ulama’. Al-Mawardi menyebut:

لو دفع سفينة إلى ملاح ليعمل فيها بنصف كسبها لم يجز وكان الكسب للملاح لأنه بعمله، وعليه لمالك السفينة أجرة مثلها.

Maksudnya: “Sekiranya seseorang menyerahkan kapal kepada nelayan untuk proses tangkapan dengan bayaran separuh hasil tangkapan(atau peratusan hasil) maka ia tidak dibenarkan dan hasil tangkapan adalah milik nelayan kerana itu merupakan hasil titik peluhnya sementara pemilik kapal hanya berhak dibayar “Ujratul Mithli” iaitu upah dengan kadar bersesuaian.” (Rujuk Al-Hawi Kabir Juz. 7, Hlm. 310)

Justeru,  upah yang ditetapkan mengikut peratusan dana sumbangan adalah tidak dibenarkan dan orang yang diupah tersebut hanya berhak menerima Ujratul Mithli iaitu bayaran dengan kadar bersesuaian.

Apa yang dikatakan sebagai “Money Laundering” memang sering dikaitkan dengan organisasi bukan kerajaan hasil daripada kesempatan yang diambil oleh sebahagian golongan yang tidak bertanggungjawab namun gambaran masalah yang ditanyakan oleh penanya tidak mempunyai unsur pencucian harta atau “Money Laundering”.

Kesimpulan

Berdasarkan gambaran dan huraian yang dibentangkan, tindakan para pelajar menggunakan khidmat NGO dalam memindahkan dana sumbangan adalah harus dan dibenarkan demi melancarkan program yang dirancang dengan beberapa syarat:

  1. NGO mengambil upah yang bersesuaian atas khidmat serta servis yang diberikan.
  2. NGO tersebut dapat dipercayai kerana “Wakalah” itu sendiri merupakan akad amanah.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑