Istilah takdir atau sinonim dengan perkataan ketentuan mahupun qada’ dan qadar didefinisikan sebagai suatu ketentuan dan ketetapan Allah SWT dalam setiap inci kehidupan manusia. Hubungkait persoalan takdir dengan konsep qada’ dan qadar iaitu meyakini bahawa sesuatu perkara yang dikehendaki oleh Allah SWT pasti akan berlaku jua sejajar dengan ketetapan-Nya.
Perkara ini juga perlu diselarikan dengan konsep keimanan kepada Allah dan Rasul agar segala tindak tanduk kita berada dalam kerangka keimanan yang hakiki. Ia dapat digambarkan seumpama satu perancangan mahupun kehendak yang ingin dicapai dalam kehidupan kita melalui keazaman dan usaha tinggi namun berakhir dengan ketidakcapaian hasrat tersebut.
Situasi ini, dapat diterjemahkan sebagai satu ketentuan dan takdir Allah SWT yang membawa seribu hikmah tersembunyi dalam kehidupan kita. Secara tersirat menggambarkan keindahan Islam sebagai agama yang syumul dalam menyelami kecamukan emosi sedih, gundah-gelana, kemurungan, ketidaktenangan dan seumpamanya sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id berikut:
Maksudnya: Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)
Begitu juga keadaannya apabila kita ditakdirkan menghadapi ujian kehidupan yang memberikan kesan kepada emosi sama ada sedikit atau banyak, ia perlu ditangani dengan baik daripada pelbagai aspek.
Ujian dalam hidup ini datang dalam pelbagai bentuk tanpa mengenal pangkat dan rupa mahupun keturunan serta tanpa mengira waktu dan tempat. Kegagalan untuk mengenalpasti dan menangani dengan baik permasalahan dalam hidup akan menyukarkan proses penyelesaian dan sebagainya.
Merujuk kepada isu kesihatan mental pada hari ini, ia merupakan satu bentuk ujian kehidupan atau ketentuan Ilahi yang perlu ditangani dengan baik daripada pelbagai aspek.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), isu ini berpunca daripada tiga faktor utama iaitu faktor diri, faktor persekitaran dan faktor hidup.
Di mana, faktor diri melibatkan permasalahan personaliti, keturunan dan cita-cita serta harapan yang tidak realistik. Faktor persekitaran merangkumi masalah kewangan, kesesakan tempat tinggal mahupun jalan raya, suasana di tempat kerja, perhubungan sosial dan pencemaran. Manakala faktor hidup merangkumi kehilangan orang yang disayangi atau bercerai, gagal dalam perniagaan mahupun percintaan dan kejadian bencana alam, peperangan, rusuhan, keganasan termasuk penderaan.
Permasalahan-permasalahan ini merupakan ‘rezeki’ yang kita tidak nampak hikmah di sebaliknya. Masalah atau ujian yang hadir dalam kehidupan kita adalah sebagai asbab untuk lebih dekat dan mengenali Allah SWT, atau lebih menghayati erti kewujudan dan kebergantungan seorang makhluk kepada pencipta-Nya. Diriwayatkan oleh Abi Yahya bahawa Rasulullah SAW menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan dunia sebagaimana hadis berikut yang maksudnya:
“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Namun, setiap permasalahan yang wujud ini tidak akan lenyap begitu sahaja tanpa usaha memulihkan, menambahbaik kehidupan, mencari penawar dan sebagainya. Justeru, adalah perlu untuk mengenali tanda atau simptom yang menunjukkan kita mengalami atau mempunyai masalah kesihatan mental.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyenaraikannya seperti mudah marah atau mudah meradang, keresahan yang teruk, kerisauan yang berlebihan, perubahan selera makan, masalah tidur (susah untuk tidur atau mudah tertidur), letih lesu, kurang tumpuan terhadap aktiviti harian, memikir atau bercakap tentang bunuh diri, penyalahgunaan dadah dan alkohol, tingkahlaku agresif dan perubahan personaliti yang ketara. Semua tanda atau simptom ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya bergantung kepada jenis dan tahap yang dialami.
Selain merujuk kepada agensi yang berkaitan, Islam turut menyediakan kaedah-kaedah tertentu dalam menyantuni insan-insan pilihan ini. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa tuntutan yang perlu dilakukan untuk memastikan umat Islam mencapai tahap kesihatan mental sewajarnya iaitu merangkumi 5 aspek yang utama:
- Rohani yang perlu diisi dengan pengabdian kepada Allah.
- Amalan minda atau akal yang perlu diisi dengan pengetahuan.
- Amalan fi zikal yang perlu diisi dengan riadah.
- Amalan pemakanan yang perlu diisi dengan perkara yang halal.
- Gaya hidup yang perlu diisi dengan amalan yang sihat.
Tuntutan ini adalah untuk memastikan umat Islam memiliki tahap kesihatan jasmani dan rohani yang baik selain daripada memelihara nikmat kesihatan yang Allah kurniakan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan aman pada dirinya, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia.”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Begitu juga, tuntutan yang digariskan ini adalah sejajar dengan galakan penjagaan kesihatan mental yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu makan makanan berkhasiat, urus masa dengan baik, kongsi perasaan dengan orang yang dipercayai, lakukan aktiviti yang anda suka atau minat dan bermanfaat, sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, lakukan aktiviti fi zikal atau senaman, berjalan dan beriadah serta elakkan pengambilan rokok, dadah dan alkohol.
Ini membuktikan tuntutan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW merupakan panduan universal yang sesuai pada setiap masa dan tempat serta semua penganut agama. Adalah dirumuskan bahawa hubungkait konsep takdir dengan ujian-ujian yang hadir dalam kehidupan ini merupakan satu ketentuan-NYA yang kita tidak dapat lari daripadanya tetapi perlu dihadapi dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawa setiap kejadian yang berlaku merupakan perkara terbaik yang Allah rezekikan kepada hambanya.
Begitu indahnya Islam sebagai agama yang syumul, menghadirkan ujian dalam kehidupan ini dalam pelbagai bentuk dan rupa agar hambaNYA sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada-NYA seterusnya menjurus kepada husnul khatimah.
Perkara ini secara jelas diterangkan melalui firman Allah:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali-Imran, 3:102)
Dr. Nurulashiqin Mahmud Zuhudi
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, JAKIM
Majalah Sinar Rohani, 2024
Leave a comment