Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Tanggungjawab Umat Terbaik

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ (١٠٤) 

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali Imran 3:104)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Tanggungjawab Umat Terbaik”. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Pada hari ini, marilah kita sama-sama merenung dan menghayati tanggungjawab kita sebagai umat terbaik yang diamanahkan melaksanakan amar makruf, nahi mungkar dan beriman kepada Allah SWT. Ini adalah tugas dan tanggungjawab setiap muslim, termasuk pemerintah dan institusi-institusi pemerintahan yang melaksanakan dasar dan penyampaian kepada rakyat. Allah SWT telah berfirman dalam Surah ali-‘Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ

Maksudnya: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah perkara yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” 

(Surah ali-‘Imran 3:110)

Dalam ayat ini jelas disebut bahawa umat Islam adalah sekelompok manusia yang dipilih oleh Allah SWT sebagai ummah terbaik yang ditugaskan melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan beriman kepada Allah SWT. Amar makruf atau menyeru kepada kebaikan adalah suatu perbuatan atau perkataan yang mengajak manusia melakukan perkara baik yang diterima oleh hukum syarak dan akal. Nahi mungkar pula adalah suatu perbuatan untuk menghalang dan mencegah perkara yang bercanggah dengan hukum syarak dan akal serta mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Hadis daripada Abu Sa`id al-Khudri Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasa dan tindakan). Jika tidak mampu, maka dengan lisannya (nasihat). Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan itu adalah selemah-lemah iman.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Amar makruf nahi mungkar atas dasar keimanan kepada Allah SWT adalah dua perkara penting yang perlu dilakukan secara sejajar oleh setiap individu muslim. Ianya tidak boleh ditinggalkan atau hanya melaksanakan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ini kerana, amar makruf nahi mungkar adalah dua elemen penting dakwah yang saling berkait rapat. Seorang yang baik (soleh) juga perlu menjadi orang yang membaikkan (muslih) orang lain, atau dengan kata lain seorang Islam terbaik tidak hanya memperbaiki dirinya, bahkan menjadi tanggungjawabnya untuk berusaha dan membantu orang lain untuk menjadi baik.

Sebagai seorang muslim yang soleh, dibahunya ada tanggungjawab untuk memperbetul dan memperbaiki individu lain dan masyarakat seluruhnya. Inilah tanggungjawab besar umat Islam yang sangat menepati maksud penciptaan dan kewujudannya di dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ (٣٣)

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” 

(Surah Fussilat 41: 33)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Jika tugas amar makruf nahi mungkar ini tidak dilakukan oleh umat Islam, maka kita semua akan menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemudharatan. Antaranya ialah: 

Pertama: Kerosakan di muka bumi akan semakin bermaharajalela. Kemungkaran yang dibiarkan akan melahirkan kemungkaran-kemungkaran lain dengan jumlah yang lebih banyak dan menyebabkan kehidupan dunia dan keadaannya semakin rosak dan hilang arah. 

Kedua: Datangnya azab dari Allah SWT kerana umat sudah tidak peduli dengan syariat amar makruf nahi mungkar. Ingatlah ketika Allah SWT menurunkan azabnya, maka ia akan menimpakan azab itu kepada semua orang yang ada di tempat tersebut, baik orang soleh atau pun jahat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 25:

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ (٢٥)

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”

(Surah al-Anfal 8:25)

Ketiga: Doa tertolak. Ajaran Islam menekankan soal amar makruf nahi mungkar sebagai kewajipan moral dan sosial yang penting. Seseorang yang mengabaikan tanggungjawab ini menyebabkan doa mereka tidak diterima oleh Allah SWT akibat tidak melaksanakan prinsip-prinsip agama dengan sepenuhnya. Hadis daripada Hudzaifah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hendaknya kalian melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Atau jika tidak, niscaya Allah akan mengirimkan siksaan dari sisi-Nya kepada kalian. Kemudian kalian memohon kepada-Nya, namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”

(Riwayat At-Tirmizi) 

Keempat: Tidak mendapat pertolongan Allah SWT. Pertolongan Allah SWT tidak akan pernah diturunkan kepada hamba-Nya jika hamba tersebut meninggalkan amar makruf nahi mungkar. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 40 dan 41 yang bermaksud; 

“Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. (Iaitu) orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.”  

(Surah Al-Hajj 22:40-41)

Kelima: Akan menyebabkan manusia menuju kebinasaan kerana membiarkan kemungkaran terus terjadi dan tidak ada usaha yang serius untuk mengubahnya dengan cara yang ditetapkan oleh syariat. Hadis daripada an-Nu’man bin Basyir Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud; 

“Perumpamaan orang yang mengingkari atau mencegah larangan Allah SWT dan orang yang terjatuh dalam larangan tersebut seperti sebuah kaum yang berundi pada sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapatkan bahagian atas dan yang lainnya di bahagian bawah. Saat orang-orang yang di bahagian bawah ingin meminum air, mereka harus melewati orang yang berada di atas. Mereka pun berkata, ‘Alangkah baiknya kalau kita membuat lubang di tempat kita agar tidak mengganggu orang-orang yang ada di atas.’ “Apabila mereka membiarkan orang-orang tersebut melakukan keinginan mereka, mereka semua pasti binasa. Namun, apabila mereka mencegah orang-orang tersebut, orang-orang itu pasti selamat. Mereka semua juga pasti selamat.”

(Riwayat Al-Bukhari).

Muslimin yang dirahmati Allah SWT

Untuk merealisasikan tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar, tiga perkara asas dan penting perlu dilakukan oleh kita:- 

Pertama: Berusaha sedaya upaya menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Menuntut ilmu adalah kerana ilmu adalah penyuluh kepada kegelapan. Seseorang yang menuntut ilmu akan sentiasa mendokong kebaikan yang dibawa oleh Islam dengan memberi dan membetulkan sesuatu dengan ilmu dan kefahamannya yang betul, bukan dengan emosi,  sikap memusuhi, dendam, fitnah, sangkaan buruk, memburukkan dan menyerang peribadi seseorang. 

Kedua: Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah bagi memastikan wujudnya persekitaran yang mendokong kepada perlaksanaan amar makruf nahi mungkar oleh umat Islam. Pemerintah hendaklah berusaha memastikan pembinaan prasarana dan suasana yang menggalakkan dan mempermudahkan urusan amar makruf dapat dilaksanakan dan dalam masa yang sama pemerintah hendaklah melaksanakan dasar-dasar yang mengekang ruang dan peluang melakukan kemaksiatan. Ulamak sebagai pewaris nabi perlulah dirujuk dan bekerjasama rapat dalam pelbagai aspek pemerintahan bagi memastikan unsur pembinaan ruang-ruang melakukan kebaikan dapat berjalan dengan betul dan tepat dan menghalang sama sekali unsur dan penyebab yang membawa kehancuran kepada umat Islam. 

Ketiga: Semua pihak dalam struktur masyarakat hendaklah sentiasa mendidik dan membimbing ke arah pembentukan jiwa-jiwa umat Islam yang mempunyai keyakinan yang tinggi kepada agama Islam sebagai cara hidup dengan berpaksikan akidah yang sahih. Keyakinan kepada Islam sebagai cara hidup yang syumul akan melahirkan kekuatan yang tersendiri dan membina hala tuju yang jelas tentang sebuah kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah ali-‘Imran ayat 139 :

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ(١٣٩)

Maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

(Surah ali-‘Imran 3:139)

Ingatlah, sekiranya umat Islam lemah imannya dan gagal melaksanakan amanah amar makruf nahi mungkar, maka sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah SAW, umat Islam akan diratah oleh musuhnya bagaikan mengerumuni makanan dalam satu dulang. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

1. Umat Islam hendaklah melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar kerana itu adalah perintah Allah dan jika gagal, cuai dan sengaja meninggalkannya, maka akan dilaknat oleh Allah SWT. 

2. Umat Islam tidak perlu takut atau bimbang untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar kerana ia akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT, walau ianya sukar dan ditentang oleh musuh-musuh Islam. 

3. Umat Islam hendaklah berdoa memohon kepada Allah SWT agar amar makruf nahi mungkar terus tertegak di muka bumi ini.

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ (٤١)

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

(Surah Al-Hajj 22:41)

Tarikh Bacaan: 18 Safar 1446H/23 Ogos 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑