Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kepada Allah SWT. Laksanakan segala suruhan dan hindari semua tegahan. Semoga kita meraih kebahagiaan dan ketenangan kehidupan yang dijanjikan secara pasti bersama ketaqwaan. Berikan tumpuan, tinggalkan seketika kelekaan untuk mendapat kesempurnaan ganjaran solat Jumaat yang diharapkan.
Seiring dengan keprihatan terhadap sambutan Hari Masjid Sedunia pada 21 Ogos setiap tahun, khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: “Pertahankan Kesucian Rumah Allah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Hari Masjid Sedunia disambut untuk mengenang peristiwa tragis yang amat mengguris hati umat Islam. Meskipun sudah 55 tahun berlalu, tanggal 21 Ogos 1969 tetap mengembalikan ingatan kepada perlakuan biadap Denis Michael Rohan, seorang Zionis warganegara Australia, yang tega membakar Masjid Al-Qibli, salah sebuah monumen dalam kompleks Masjid Al-Aqsa.
Meskipun Rejim Zionis Israel menafikan, beliau terbukti mendapat sokongan dan koordinasi daripada rejim itu, yang mahu Masjid al-Aqsa dihapuskan bagi membina Haikal Sulaiman di situ. Kebakaran itu memusnahkan lebih satu pertiga kawasan masjid, meliputi keluasan 1500 meter persegi. Kemusnahan melibatkan bumbung, tingkap-tingkap yang indah, hiasan ayat-ayat al-Quran, Mihrab Zakaria, Mimbar Salahuddin al-Ayyubi dan Masjid Umar al-Khattab.
Ketika ditangkap, pelaku menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kewajipan agama dan perintah tuhan yang termaktub dalam kitab mereka. Begitu tinggi keyakinan dan perjuangannya demi agama. Kita pula bagaimana? Sebagai umat Islam, apa yang telah kita lakukan demi mempertahankan rumah Allah? Renungkan firman Allah dalam Surah al-Jin ayat 18, bermaksud;
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah, maka jangan kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.”
(Surah al-Jin 72:18)
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Kebiadaban Yahudi terhadap Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin bukan suatu perkara baharu. Mereka telah melakukan banyak siri pencerobohan dan gangguan kepada umat Islam yang beribadah, bahkan sering menghalang umat Islam dari memasuki Masjid al-Aqsa. Mereka sebenarnya berhasrat merobohkan Masjid Al-Aqsa untuk membina Haikal Sulaiman di situ.
Adakah kita akan hanya melihat dan berpeluk tubuh? Bukankah masjid adalah lambang maruah umat Islam, simbol kesatuan dan kekuatan kita? Apabila masjid diceroboh dan dihina, ia bermaksud maruah kita juga telah diinjak dan dipijak-pijak. Apakah kita rela melihat semua ini terus begini? Atau bagaimana sebenarnya nilai diri kita?
Sesungguhnya, sambutan Hari Masjid Sedunia ini bertujuan mengusik kepedulian, menarik keprihatinan dan membangkitkan semangat umat Islam terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa secara khusus dan kepentingan seluruh masjid di dunia secara amnya.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Usaha mempertahankan dan membela Masjid Al-Aqsa akan dapat dijayakan jika umat Islam kembali membangunkan peranan masjid-masjid mereka. Keutuhan masjid-masjid di seluruh dunia akan memacu kesatuan dan menggembleng kekuatan untuk mempertahankan maruah umat Islam dan Masjid Al-Aqsa secara khususnya. Perlu disedari, betapa kita semua bertanggungjawab untuk mengembalikan kemuliaan dan kesucian masjid agar ia dipandang tinggi dan dihormati di mata dunia. Antara usaha-usaha yang wajar dijana bagi menjayakan gagasan ini ialah:
Pertama; Jadikan masjid sebagai pusat pengukuhan rohani, pembentukan jati diri dan roh persaudaraan Islam. Asasnya, masjid perlu sentiasa tampil bersih, kemas, dan terjaga kesuciannya. Pastikan fizikal masjid kekal dalam keadaan layak dan nyaman sebagai ruang beribadah. Imam Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Aisyah radiallahuanha katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW memerintahkan agar masjid-masjid dibina di setiap penempatan dan ia sentiasa dibersihkan dan diharumkan.”
Pengisiannya pula, imarahkan masjid dengan aktiviti kerohanian. Ajak generasi muda ke masjid agar mereka memesrai masjid. Pupuk iman dan semai kecintaan agar kesinambungan ini terus berlangsung. Hanya dengan iman dan cinta mampu membangkitkan kepedulian dan kesungguhan mempertahankan maruah agama. Inilah hasil semaian iman.
Kedua: Bangunkan masjid sebagai pusat ilmu dan peradaban. Pelbagaikan ruang majlis ilmu dengan pendekatan yang menarik perhatian semua peringkat usia. ‘Tak kenal maka tak cinta’. Berikan mereka hak untuk benar-benar memahami Islam dan menghayatinya. Kita bertanggungjawab untuk sentiasa menyediakan ruang-ruang ini kepada masyarakat. Kecintaan, keprihatinan dan pengorbanan demi agama hanya akan tercetus dengan asas utama ini.
Ketiga: Aktifkan masjid sebagai pusat pembangunan tamadun insan yang meliputi sosiobudaya, ekonomi, kemanusiaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat. Tata kelola pengurusan masyarakat yang prihatin, kolektif dan efisen akan melahirkan umat yang cintakan rumah Allah. Inilah kemakmuran masjid yang dinyatakan Allah SWT di dalam Surah al-Taubah ayat 18:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ(١٨)
Maksudnya: “Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan sifat-sifat tersebut), maka diharapkan mereka menjadi dari kalangan yang mendapat petunjuk.”
(At-Taubah 9:18)
Sekalipun kalimah (عَسَىٰٓ) pada asasnya bermaksud harapan atau mudah-mudahan, namun apabila Allah SWT yang menyebutnya, ia adalah suatu yang pasti terjadi. Inilah yang dijelaskan Ibnu Kathir dan at-Tabari dalam kitab tafsir mereka. Ertinya, para pengimarah masjid adalah kelompok yang sentiasa dijanjikan petunjuk dan pedoman dalam menguruskan kehidupan.
Sungguh, kejayaan pengimarahan sesebuah masjid menjadi penanda aras kepada tahap iman kita terhadap Allah SWT. Masjid yang meriah dengan imarah lahir dari keampuhan iman pendokong-pendokongnya. Begitu jugalah sebaliknya. Inilah hakikat sebuah masjid, nadi kehidupan umat Islam. Seharusnya usaha-usaha mengembalikan pengimarahan dan peranan masjid perlu terus berlangsung seiring kepentingan mempertahankan kesucian masjid dan kehormatan maruah umat Islam.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Di penghujung khutbah, khatib suka untuk menyarankan beberapa tindakan susulan yang perlu, selaras bicara khubah hari ini;
Pertama: Sambutan Hari Masjid Sedunia bukan sebuah perayaan. Ia sebuah nostalgia pedih yang menuntut kepedulian terhadap rumah Allah yang kian terpinggir jauh dari hati majoriti umat ini.
Kedua: Kembalikan peranan masjid secara inklusif. Selayaknya masjid menjadi paksi kesatuan umat yang di situ kita membangun kekuatan, membina maruah dan melakar kecemerlangan.
Ketiga: Umat Islam dijanjikan petunjuk dan pedoman, asal sahaja mereka kembali memakmurkan masjid, rumah Allah yang sarat dengan rahmat dan ketenangan.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam Surah al-Taubah, ayat 109:
أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍۢ فَٱنْهَارَ بِهِۦ فِى نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٠٩)
Maksudnya: “Maka adakah orang yang membangunkan masjid di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”
(At-Taubah 9:109)
Tarikh Bacaan: 18 Safar 1446H/23 Ogos 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment