Sifat ini sangat perlu untuk diatasi kerana keseluruhan amalan yang dilakukan oleh anggota badan memberi kesan kepada hati. Namun lidah antara anggota yang lebih khusus dalam memberi kesan terhadap hati kerana lidah itu menyampaikan apa-apa gambaran yang terdapat di dalam hati. Maka setiap kalimah yang dituturkan oleh lidah menunjukkan kepada gambaran yang terdapat di dalam hati.
Oleh itu, sekiranya seseorang itu bercakap bohong maka percakapan itu adalah hasil daripada gambaran yang dusta di dalam hatinya dan menyebabkan wajah hatinya terpesong daripada kebenaran kerana berbohong.
Sekiranya seseorang itu memperkatakan tentang sesuatu yang melebihi daripada keperluannya maka hatinya akan menjadi hitam dan gelap sehinggalah kesan penghujung daripada banyak bercakap ialah mematikan hati. Oleh itu, Rasulullah banyak memberi peringatan tentang perihal lidah.
Nabi bersabda yang ertinya: “Barangsiapa yang dapat memberi jaminan kepadaku keselamatan apa yang terdapat di antara kedua jambangnya (lidah) dan antara kedua kakinya (kemaluan), maka aku memberi jaminan kepadanya untuk masuk syurga.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya)
Dan baginda Nabi pernah ditanya mengenai perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka. Baginda nabi menjawab ertinya: “Dua anggota iaitu mulut dan kemaluan.” (Riwayat Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Nabi bersabda yang ertinya: “Tidaklah manusia itu akan disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan kerana hasil daripada ucapan lisan mereka.” (Riwayat Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Nabi bersabda yang ertinya: “Barangsiapa yang diam maka dia selamat.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dengan sanad yang baik.)
Dan Sayyidina Mu’az pernah bertanya kepada Nabi; apakah amalan yang paling afdhal? Lalu Nabi mengeluarkan lidahnya sambil menunjukkan jari kepada lidahnya kemudian baginda bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya dosa anak Adam yang paling banyak adalah disebabkan lidahnya.”(Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dengan sanad yang hasan dan juga oleh al-Tabarani dan Ibn Abi al-Dunya.)
Nabi bersabda yang ertinya: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Nabi bersabda yang ertinya: “Barangsiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah pula kesalahannya, dan barangsiapa yang banyak kesalahannya maka banyak pula dosanya. Barangsiapa yang banyak dosa maka nerakalah lebih utama baginya.” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dengan sanad yang dhaif manakala al-Baihaqi meriwayatkan secara mauquf daripada Saidina Umar)
Oleh yang demikian, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq meletakkan seketul batu di dalam mulutnya agar menghalang dirinya daripada bercakap.
Penyakit Lidah
Ketahuilah bahawa lidah mempunyai 20 jenis penyakit yang telah kami huraikan di dalam kitab “Afat al-Lisan” (Kegelinciran lidah) daripada kitab al-Ihya’ dan kami telah menyebutnya dengan panjang lebar.
Dan memadailah bagi kamu untuk beramal dengan satu ayat, firman Allah SWT:
لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍۢ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ
Ertinya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan.”
(Surah al- Nisa’ 4:114)
Dan maksud ayat tersebut ialah janganlah kamu bercakap tentang perkara-perkara yang tidak bermanfaat bagi kamu, sebaliknya hendaklah kamu menghadkan kepada percakapan yang penting sahaja. Maka inilah cara untuk selamat.
Berkata Sayyidina Anas: Seorang pemuda di kalangan kami pernah mati syahid pada perang Uhud dan didapati terdapatnya seketul batu terikat pada perutnya kerana menahan lapar. Lalu ibunya menyapu debu-debu yang terdapat pada wajah anaknya sambil berkata: Bergembiralah kamu untuk memasuki syurga wahai anakku. Kemudian Rasulullah bersabda yang ertinya: “Dan kamu tidak mengetahui boleh jadi dia bercakap tentang perkara yang tidak bermanfaat baginya atau dia menegah dirinya daripada melakukan sesuatu yang tidak memberi mudarat kepada dirinya.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Ibn Abi al-Dunya dan alTabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat dengan isnad yang baik.)
Dan had bagi perkara-perkara yang tidak memberi manfaat ialah sesuatu perkara sekiranya ditinggalkan tidak menghilangkan pahala dan tidak mendatangkan kebinasaan.
Sumber: 10 Asas Penyucian Hati oleh PMWP