Perincian Sebahagian Kegelinciran Lidah
Barangkali kamu ingin mengetahui tentang perincian sebahagian daripada kegelinciran lidah. Dan ketahuilah bahawa daripada sejumlah 20 jenis kegelinciran lidah kebiasaannya terkena kepada manusia 5 jenis kegelinciran iaitu berdusta, mengumpat, berbantah-bantah, pujian dan bergurau.
Kegelinciran Lidah 1: Berdusta
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Dan tidaklah seorang berbuat dusta dan selalu berdusta hingga ia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
(Muttafaqun ‘Alaih)
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Celakalah bagi orang yang berbicara lalu berdusta untuk membuat orang lain tertawa. Celakalah ia, celakalah ia.”
(Riwayat Imam Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad. Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini dengan taraf hasan.)
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat; Wahai Rasulullah, mungkinkah seorang mukmin itu terlibat dengan zina? Mungkinkah seorang mukmin itu terlibat dengan mencuri? Nabi SAW menjawab: Kadangkala boleh terjadi demikian. Nabi SAW ditanya lagi; Adakah dia (mukmin yang terjebak dengan maksiat) berdusta? Nabi SAW bersabda yang ertinya: “Tidak, hanyasanya orang yang mencipta dusta ialah orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah.”
(Riwayat Ibn ‘Abd al-Bar di dalam al-Tamhid dengan sanad yang dhaif dan Ibn ‘Asakir.)
Sabda Nabi SAW yang ertinya:
“Mahukah aku khabarkan kepada kalian sesuatu yang termasuk daripada dosa besar? Kami menjawab; Sudah tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah dan menderhakai kedua ibu bapa, ketika itu Nabi tengah bersandar, kemudian baginda duduk lalu melanjutkan sabdanya: Hindarilah daripada percakapan dusta”
(Muttafaqun ‘Alaih)
Sabda Nabi SAW yang ertinya:
“Orang mukmin dibentuk oleh Allah dengan semua ciri-ciri melainkan khianat dan dusta.”
(Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya.)
Bila Diberi Keringanan Untuk Berdusta?
Ketahuilah bahawa berdusta adalah haram dalam setiap perkara kecuali ketika darurat.
Sehinggakan seorang ibu telah berkata kepada anak kecilnya; Marilah ke sini kerana ibu ingin memberikan sesuatu kepada kamu. Lalu Nabi SAW bertanya; Apa yang kamu akan beri kepadanya sekiranya dia datang kepada kamu? Wanita itu menjawab; Tamar. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu tidak menunaikan janjimu, nescaya akan dicatatkan bagi kamu telah berdusta.”
(Riwayat Imam Abu Daud dan Ahmad. Perawinya adalah thiqah.)
Justeru, berwaspadalah daripada berdusta termasuklah dalam khayalan dan bisikan hati.
Hal ini kerana perbuatan ini menetapkan di dalam diri gambaran yang terpesong di dalam hati yang menyebabkan mimpi menjadi dusta. Kamu tidak akan dapat menyingkap rahsia-rahsia alam malakut di dalam tidur kamu bahkan pengalaman terhadap perkara ini telah membuktikannya.
Benar, hanyasanya keringanan dalam berdusta diberikan sekiranya bercakap benar itu boleh membawa kepada bahaya yang lebih berat berbanding daripada berdusta. Maka diharuskan untuk berdusta sebagaimana diharuskan bangkai, sekiranya tidak memakan bangkai itu membawa kepada bahaya yang lebih berat iaitu hilangnya nyawa berbanding dengan memakannya.
Berkata Ummu Kulthum RA:
“Tidaklah Rasulullah memberi keringanan untuk berdusta melainkan dalam 3 keadaan; seorang lelaki yang bercakap bertujuan untuk mendamaikan hubungan antara manusia, seorang lelaki yang berdusta di medan perang dan seorang lelaki yang berdusta dengan isterinya.”
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Ahmad dengan lafaz yang hampir sama maksudnya.)
Keringanan ini diberikan kerana rahsia perang sekiranya diketahui oleh pihak musuh akan menyebabkan mereka semakin berani untuk menyerang, rahsia suami sekiranya diketahui oleh isteri yang akan membawa kepada keruntuhan rumah tangga yang lebih dahsyat berbanding dengan keburukan berdusta. Demikian juga dua orang yang bermusuh sentiasa berada dalam keadaan maksiat dan permusuhan. Justeru, sekiranya untuk mendamaikan keduanya lebih baik dengan cara berdusta, maka itu adalah lebih utama.
Ini semua sebagaimana yang terdapat dalam riwayat hadis dan segala perkara yang seumpamanya ialah seseorang itu berdusta bagi melindungi harta orang lain daripada dirampas oleh orang zalim, atau seseorang itu mengingkari sesuatu penyataan bagi menutup rahsia orang lain bahkan seseorang itu mengingkari perbuatan maksiat yang dilakukannya sendiri daripada pengetahuan orang lain. Hal ini kerana mewarwarkan perbuatan fasiq (mujaharah) dan menzahirkannya adalah haram.
Demikian juga sekiranya seseorang itu mengingkari jenayah yang dilakukan terhadap orang lain bertujuan untuk mententeramkan hatinya. Demikian juga pengingkaran suami terhadap isterinya yang boleh mendatangkan kemudharatan sekiranya tidak berdusta. Kesemua keringanan yang diberikan ini adalah bertujuan untuk menolak kemudharatan.
Walaubagaimanapun, tidak diharuskan untuk berdusta bagi mendapatkan pertambahan harta dan kedudukan. Dan keadaan inilah yang menjadikan ramai manusia berdusta.
Kemudian, sekiranya seseorang itu terpaksa berdusta maka hendaklah dia berusaha untuk menyusun percakapannya yang mempunyai maksud kefahaman yang pelbagai (ma’arid) (Ma’arid ialah seerti dengan tauriyah dalam percakapan iaitu bercakap sesuatu perkara namun maksud yang dikehendaki adalah lain. Namun perbuatan ini tidaklah menjadi suatu kebiasaan sebaliknya hanya digunakan apabila terdesak.) sehinggakan dirinya tidak dianggap berbohong.
Ibrahim bin Adham apabila dicari oleh orang ramai di rumahnya, dia berkata kepada pembantu rumahnya; “Katakanlah kepada mereka; carilah dia di masjid.”
Al-Sya’bi pernah melakar satu bulatan kemudian berkata kepada pembantunya; “Letakkanlah jari kamu di dalam lakaran bulatan ini dan katakanlah; Dia tidak ada di sini.”
Sebahagian daripada orang soleh yang tidak dapat menghadiri jemputan daripada pemerintah memberi jawapan; “Sejak aku berpisah dengan kamu, tidaklah aku mengangkat rusukku daripada bumi melainkan apa yang dikehendaki Allah.” Sebahagian mereka mengingkari apa yang pernah mereka katakan dengan ucapan yang ertinya:
“Sesungguhnya Allah mengetahui, aku tidak mengatakan terhadap perkara ini sesuatu apa pun.”
Maka ucapan itu memberi maksud penafian secara samar disebabkan adanya kalimah “ma” iaitu tidak sedangkan yang dimaksud daripada ucapan itu ialah Allah mengetahui apa yang aku katakan mengenai perkara tersebut.
Dan diharuskan menggunakan kaedah kiasan (ma’arid) untuk tujuan yang ringan sebagaimana sabda Nabi SAW yang ertinya:
“Sesungguhnya tidak boleh masuk syurga bagi orang tua.”
(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Sabda Nabi SAW yang bererti:
“Dan aku akan membawa kamu di atas anak unta.”
(Riwayat Imam Abu Daud dan al-Tirmizi.)
Sabda Nabi SAW yang ertinya:
“Dan di dalam kedua-dua mata suami kamu adanya putih.”
(Riwayat al-Zubair bin Bakar dan Ibn Abi al-Dunya.)
Hal ini kerana kalimah-kalimah ini memberi makna yang samar berbeza dengan maksud yang dikehendaki.
Justeru, perkara ini diharuskan untuk diucapkan kepada isteri, anak bagi menyenangkan hati mereka dengan gurauan. Demikian juga bagi orang yang terhalang daripada makan disebabkan berpuasa, maka janganlah berdusta dengan mengatakan; Aku tidak menyukai sedangkan dia sangat menyukai makanan tersebut. Sebaliknya dia hendaklah menggunakan kaedah kiasan (ma’arid).
Nabi pernah berkata kepada seorang wanita yang mengucapkan sedemikian yang ertinya:
“Janganlah kamu menghimpunkan pendustaan dan berlapar.”
(Riwayat Imam al-Tabarani)
Kegelinciran Lidah 2: Mengumpat
Firman Allah SWT:
أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ
Ertinya: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
(Surah al-Hujurat 49:12)
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Mengumpat itu lebih dahsyat daripada zina.”
(Riwayat Ibn Hibban dalam al-Dhu’afa’, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Marduyah dalam al-Tafsir. Imam al-Suyuti menghukumkan hadis ini sebagai dha’if.)
Dan Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa bahawa barangsiapa yang mati dalam keadaan bertaubat daripada perbuatan mengumpat, maka dia adalah orang terakhir masuk syurga. Dan barangsiapa yang mati dalam keadaan berterusan dengan perbuatan mengumpat, maka dia adalah orang pertama yang akan masuk neraka.
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Pada malam peristiwa isra’ aku telah berjalan melalui suatu kaum yang mencakar muka-muka mereka dengan kuku-kuku mereka. Maka aku dimaklumkan: Mereka adalah orang yang mengumpat.” (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud secara musnad dan mursal. Riwayat secara musnad adalah lebih sahih.)
Ketahuilah bahawa batasan bagi mengumpat sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW ialah kamu memperkatakan tentang perihal yang tidak disukai oleh saudara kamu sekiranya perkara tersebut sampai kepadanya walaupun kamu benar, sama ada kamu menyebut tentang kekurangan pada dirinya, akalnya, pakaiannya, perbuatannya, perkataannya, rumahnya, keturunannya, kenderaannya mahu pun sesuatu yang berkait dengannya. Hal ini termasuklah ucapan kamu seperti; “Sesungguhnya lengan bajunya terlalu luas, atau pakaiannya terlalu labuh.”
Pernah disebutkan di hadapan baginda Rasulullah SAW ;
“Betapa lemahnya orang itu,” lalu baginda Rasulullah SAW bersabda: “Kamu telah mengumpatnya.”
(Diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dengan sanad yang dhaif.)
Dan Sayyidah ‘Aishah pernah menunjukkan isyarat tangannya kepada seorang perempuan yang memberi maksud perempuan itu pendek. Lalu Rasulullah bersabda: “Kamu telah mengumpatnya.”
(Riwayat Imam Ahmad dan asalnya daripada Imam Abu Daud dan al-Tirmizi dan Imam al-Tirmizi mensahihkannya dengan lafaz yang lain.)
Maka dengan demikian, diketahui bahawa mengumpat itu bukan sekadar hanya terbatas pada ucapan lidah sahaja bahkan tiada beza antara pemahaman yang terhasil daripada tangan, simbol, isyarat, pergerakan, penceritaan atau kiasan yang difahami seperti kata-kata kamu; “Sesungguhnya sebahagian daripada kaum kerabat kami dan sebahagian daripada kawan-kawan kami begini dan begini…” Dan ketahuilah bahawa seburuk-buruk jenis mengumpat ialah umpatan ahli al-Qurra’ (Penuntut ilmu atau ulama’.) Contohnya mereka berkata; “Segala puji bagi Allah yang tidak menguji kami dengan menghampiri pemerintah untuk menuntut keduniaan,” atau; “Kami berlindung dengan Allah daripada kurangnya sifat malu,” sedangkan mereka memahami maksud yang dikehendaki dengan ucapan tersebut.
Antara kata-kata mereka; “Alangkah baiknya sekiranya si fulan itu tidak diuji seperti mana kami diuji. Dia kurang sabar terhadap dunia maka kami memohon kepada Allah Ta’ala untuk menyelamatkan kami,” sedangkan tujuan ucapan mereka adalah untuk mengumpat.
Justeru mereka menghimpunkan antara mengumpat dan riya’ serta menzahirkan sifat menyerupai orang soleh yang berwaspada daripada mengumpat. Dan inilah keburukan-keburukan yang mereka tertipu dengannya sedangkan menyangkakan mereka telah meninggalkan perbuatan mengumpat.
Dan demikian juga, kadangkala seseorang itu mengumpat tentang sesuatu sedangkan perkara itu telah pun diabaikan oleh orang yang berada dalam suatu majlis dengan berkata; “Maha suci Allah, ini sungguh menakjubkan,” sehingga membuatkan orang ramai memberi perhatian untuk mendengar kata-katanya. Maka dia menggunakan ucapan zikir bagi membenarkan tindakan buruknya.
Ada juga yang berkata; “Hatiku sibuk teringatkan akan si fulan. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami dan dosa-dosanya,” sedangkan tujuan sebenarnya bukanlah untuk berdoa sebaliknya untuk memperkenalkan keburukan orang lain. Sekiranya ucapan itu bermaksud untuk berdoa sepatutnya dia menyembunyikannya. Dan sekiranya seseorang itu bersedih hatinya disebabkan perbuatan orang lain, sepatutnya dia menutup keaiban dan maksiat orang lain tersebut.
Demikian juga perihal kepada pendengar, kadangkala terzahir rasa cenderung dengan ucapan orang yang mengumpat sehingga membuatkan bertambahnya kesungguhan untuk mengumpat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang ertinya:
“Dan orang yang mendengar umpatan termasuk dalam kalangan orang yang mengumpat.”
(Riwayat al-Tabarani dengan sanad yang dhaif.)
Justeru, bagaimana pula perihal orang yang menggerakkan keghairahan untuk mengumpat?
Demikian juga kadangkala seseorang itu berkata; “Janganlah mengumpat si fulan,” sedangkan hatinya tidak benci terhadap umpatan tersebut namun tujuan ucapan tersebut adalah untuk dikenali sebagai orang yang wara’. Hal ini juga tidak mengeluarkan seseorang daripada dosa mengumpat selagi mana dia tidak membenci dengan hatinya terhadap umpatan tersebut serta tidak terjebak dengan dosa riya’. Maka seseorang itu akan terkeluar daripada dosa mengumpat sekiranya hatinya membenci perbuatan mengumpat dan mendustakan apa yang disampaikan oleh pengumpat dan tidak mempercayainya disebabkan pengumpat itu adalah fasiq yang berhak untuk didustakan.
Seorang muslim yang disebutkan dalam sesuatu umpatan berhak untuk disangka dengan sangkaan yang baik. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
“Sesungguhnya Allah memuliakan darah, maruah dan harta seorang muslim serta Allah mengharamkan seseorang muslim itu disangka dengan sangkaan yang buruk.”
(Riwayat Imam al-Baihaqi dalam al-Shu’ab dengan sanad yang dhaif. Manakala Imam Muslim dan Ibn Majah meriwayatkan dengan lafaz (كل المسلم حرام دمه وماله وعرضه))
Maka mengumpat dengan hati adalah haram sebagaimana mengumpat dengan lidah juga adalah haram melainkan seseorang itu terpaksa untuk mengetahuinya yang tidak boleh diabaikan.
Waktu yang diberi rukhsah (Rukhsah di sini bermaksud keringanan yang diizinkan oleh syara’. ) untuk mengumpat?
Hanyasanya terdapat 6 keadaan yang diberi keringanan untuk mengumpat:
Pertama: Orang yang dizalimi mengadu tentang kezaliman yang dilakukan oleh orang yang zalim terhadapnya ketika menghadap pihak pemerintah bagi menghentikan kezaliman tersebut.
Sekiranya mengadu kepada selain daripada pemerintah atau pihak yang tidak mampu menghalang kezaliman, maka adalah tidak boleh.
Al-Hajjaj pernah diumpat dihadapan sebahagian ulama’ salaf lantas mereka berkata: “Sesungguhnya Allah akan membalas ke atas orang yang mengumpat al-Hajjaj sebagaimana Allah juga akan menghukum al-Hajjaj terhadap perbuatannya yang zalim.”
Kedua: Orang yang diminta bantuan untuk mengubah kemungkaran harus baginya untuk diperdengarkan umpatan tersebut.
Ketiga: Orang yang ingin mendapatkan fatwa sekiranya perlu untuk menyebutkan umpatan tersebut ketika pertanyaannya sebagaimana pertanyaan Hindun kepada Nabi ; “Sesungguhnya Abu Sufian seorang suami yang kedekut tidak memberi nafkah yang secukupnya kepada saya.” Ini adalah merupakan suatu pengaduan namun dihalalkan sekiranya terdapat faedah daripadanya untuk mengetahui sesuatu hukum.
Keempat: Memperingatkan seorang muslim mengenai kejahatan seseorang sekiranya dia mengetahui dan jika dia tidak menyebutnya nescaya akan diterima persaksian orang tersebut. Sebagaimana seseorang itu memberi tahu kepada pembayar zakat mengenai perihal amil yang akan dibuat urusan dengannya atau kepada orang yang akan bernikah mengenai perihal orang yang akan dinikahinya. Sekiranya dia membiarkan urusan tersebut berlaku sehingga dapat mendatangkan kemudharatan maka dia boleh memberitahu keburukan pihak tersebut kepada siapa yang akan terkena mudharat itu sahaja.
Kelima: Ketika seseorang itu hanya dikenali dengan nama yang tidak elok seperti al-A’mash (Si Rabun), al-A’raj (Si Tempang). Namun sekiranya seseorang itu menyebut mereka dengan nama yang lain adalah lebih baik.
Keenam: Sekiranya seseorang itu terang-terang melakukan keaiban bahkan berbangga-bangga di khalayak ramai maka tidak makruh untuk menyebut keaiban tersebut seperti orang pondan dan pemilik rumah pelacuran. Al-Hasan berkata; “Tiga golongan yang tidak dikira sebagai mengumpat ke atas mereka ialah orang yang mengikut hawa nafsu, orang fasiq yang jelas sifat fasiqnya dan pemerintah yang zalim.”
Sumber: 10 Asas Penyucian Hati oleh PMWP
Sifat Tercela: Bercakap Berlebihan (Bahagian 1)