أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يُقَلِّبُ ٱللَّهُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةًۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ (٤٤)
Maksudnya: “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.”
(Surah An Nur 24:44)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Sudahkah Kita Merdeka?”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Tanggal 31 Ogos 2024 seharusnya menyedarkan kita semua bahawa Malaysia telah menjangkau umur 67 tahun menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Kemerdekaan bukan sekadar retorik pengisahan sejarah semata-mata atau sekadar catatan peringatan agar semua tidak lupa daripada menyambutnya. Lihat berapa banyak negara yang mencapai kemerdekaan secara fizikal tetapi masih dijajah secara bukan fizikal. Bahkan kepesatan sains teknologi masa kini memungkinkan penjajahan dalam bentuk baharu terutamanya dalam bentuk minda, jiwa dan budaya. Negara sudah 67 tahun merdeka namun pemikiran, budaya dan gaya hidup penjajah masih kuat mencengkam setiap aspek bernegara sama ada dalam aspek politik, sosial dan ekonomi.
Islam menjelaskan maksud kemerdekaan bukan sahaja dalam aspek fizikal semata-mata sebaliknya merangkumi aspek mental, fizikal dan spiritual. Islam memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia. Islam memerdekakan manusia daripada belenggu dunia yang sempit lagi fana. Islam memerdekakan manusia daripada kezaliman sistemsistem perundangan ciptaan manusia.
Imam Ibnu Kathir merekodkan dalam al-Bidayah wa al Nihayah bahawa Rib’i bin Amir Radhiallahuanhu ketika bertemu Rustam, seorang panglima Parsi yang bertanyakan: “Siapakah kamu?”. Katanya: “Kami adalah kaum yang diutuskan Allah SWT untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan Yang Esa, dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”.
Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Manusia yang merdeka ialah mukmin muwahid iaitu orang yang mengesakan Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya. Mukmin muwahid adalah manusia merdeka yang bebas daripada belenggu perhambaan sesama makhluk. Kemerdekaan di sisi Islam ialah kebebasan atau pelepasan diri daripada segala belenggu dunia yang mengikat diri makhluk yang dicipta kepada ketundukan terhadap Khalik Yang Maha Esa. Hanya dengan ajaran serta amalan agama yang benar manusia dapat dimerdekakan daripada kejahilan, kegelapan dan kezaliman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 16:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ (١٦)
Maksudnya: “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Ma’idah 5:16)
Mukmin muwahid dengan kemurnian akidahnya pasti selamat daripada ancaman fahaman kufur pluralisme, liberalisme dan sekularisme. Mukmin muwahid adalah manusia merdeka yang memiliki jati diri sebenar iaitu seorang yang patuh terhadap suruhan serta larangan Tuhannya.
Hakikat yang perlu disedari bahawa di dunia ini tiada kebebasan mutlak tetapi memerlukan kepada bentuk-bentuk peraturan, undang-undang atau tatakelola yang dapat mengaturnya. Hanya tatakelola Maha Pencipta sahaja yang dapat mengatur segala urusan manusia dengan sebaiknya. Melalui wasiat Baginda SAW, kita mendapat jaminan tidak akan sesat selama mana berpegang dengan al-Quran dan sunah Rasul-Nya.
Muslim dengan jati diri sebenar pasti menolak prilaku cemar tidak bermaruah dan kehidupan jijik yang tidak bermoral seperti pengamalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, penindasan, menghasut demi kepentingan peribadi dan sebagainya. Muslim dengan jati diri sebenar pasti selamat daripada pengaruh budaya yang mempamerkan penampilan, pakaian, pergaulan, hiburan dan lain-lain yang menyalahi syariat Islam.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Manusia yang merdeka melahirkan negara yang merdeka, negara yang utuh dan teguh. Keutuhan sebuah negara adalah berdasarkan keimanan, jati diri dan perpaduan rakyatnya. Islam sebagai agama yang benar telah menyediakan pelbagai tatakelola dalam membentuk individu merdeka dalam masyarakat dan negara. Setiap Muslim sesama Muslim adalah bersaudara yang perlu saling kukuh memperkukuh antara satu dengan yang lain. Setiap manusia walau berlainan jantina, ras dan bangsa perlu saling mengenali untuk mewujudkan keserasian serta masyarakat yang harmoni. Keutuhan dan keteguhan negara merdeka penting dalam mengekalkan kesejahteraan seterusnya kemajuan negara.
Kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil perjuangan negarawan, ilmuwan dan pahlawan yang berjiwa merdeka dan berjasa kepada negara yang sanggup bergadai nyawa menentang penjajah demi kemerdekaan. Perjuangan, kepayahan serta keperitan yang dialami generasi terdahulu perlu dihayati sebaiknya agar ianya dapat dihargai dan disyukuri generasi masa kini. Sesungguhnya, semangat cintakan negara merdeka merupakan satu tuntutan Islam.
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW telah menzahirkan sifat patriotik dan jiwa merdeka baginda dengan sabdanya:
“Alangkah baiknya dirimu wahai Mekah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.”
(Riwayat al-Tirmidzi)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa kemerdekaan merupakan anugerah Allah SWT yang seharusnya dipelihara dan dipertahankan kerana ianya diperolehi dengan rasa iman dan air mata.
2. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Islam telah membebaskan akal dan jiwa manusia melalui konsep pengabdian kepada Allah SWT, ketaatan kepada rasul-Nya dan kepatuhan terhadap syariat-Nya.
3. Umat Islam hendaklah menghayati konsep ‘Jiwa Merdeka’ agar semangat patriotisme dapat disuburkan seterusnya mewujudkan penyatuan hati dalam kalangan warga demi kesejahteraan negara.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوٓا۟ إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ (١١)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakan-Nya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.”
(Surah Al-Ma’idah 5:11)
Tarikh Bacaan: 25 Safar 1446H/30 Ogos 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment