أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًۭا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًۭا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٢٠)
Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah diperhamba oleh Firaun), dan Dia memberikan kepada kamu sesuatu yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat pada waktu itu”.
(Surah Al-Maidah 5:20)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah sekalian
Marilah kita tingkatkan taqwa kepada Allah SWT. Laksanakan segala suruhan-Nya dan jauhi semua tegahan-Nya. Moga-moga ketaqwaan membawa kita mengecapi kebaikan dunia dan akhirat. Berikanlah tumpuan, tinggalkan seketika kelekaan untuk kita mendapat kesempurnaan ganjaran Jumaat yang diharapkan.
Bersempena sambutan hari kemerdekaan negara yang akan kita sambut esok, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, “Membangun Jiwa Merdeka”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah sekalian,
Esok genaplah 67 tahun negara tercinta kita mencapai usia kemerdekaan. Kemerdekaan yang diperolehi hasil perit jerih mengurniakan nikmat kuasa, pemerintahan dan kebebasan. Justeru nikmat kebebasan ini wajar dihargai dan disyukuri dengan cara yang benar. Inilah yang pernah diperingatkan oleh Allah SWT melalui Surah al-Maidah ayat ke 20 yang dibacakan di awal khutbah, bermaksud;
“Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah diperhamba oleh Firaun), dan Dia memberikan kepada kamu sesuatu yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat pada waktu itu”.
(Surah Al-Maidah 5:20)
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Kemerdekaan sebenar ialah apabila seseorang atau sesuatu bangsa itu bebas daripada penjajahan dari sudut zahir atau batin. Mereka bebas berbuat apa yang diyakini baik untuk diri, agama, bangsa dan negara. Mereka hanya takut kepada Allah SWT dan bertindak berpandukan al-Quran dan al-sunnah. Persoalannya, bagaimanakah cara kita membina kemerdekaan jiwa bersama kemerdekaan yang telah kita kecapi hari ini?
Berikut adalah beberapa anjuran agama untuk membina jiwa merdeka:
Pertama: Merdeka Minda
Masyarakat yang merdeka minda berfikiran kritis, inovatif dan berfikir di luar kotak, berbataskan syariah. Mereka bebas daripada pemikiran negatif, mampu berfikir secara matang, menyelesaikan masalah secara rasional, berlandaskan fakta, data dan bukti, bukan dengan emosi. Namun sayangnya realiti masyarakat kita tidak begitu. Lihatlah ciapan-ciapan di media sosial; banyak kandungan yang kurang bijak dan kurang adab, menyentuh isu agama, perkauman, body shaming dan tidak kurang juga yang membuka aib diri sendiri, pasangan juga keluarga.
Alasan mereka ia sekadar berjenaka dan hiburan semata, sedangkan apa yang dimuatnaik ternyata kandungan berunsurkan lucah, makian, kecaman, hinaan, dan kata-kata kesat. Fahaman-fahaman yang negatif dan merosakkan sebegini perlu dikawal dan disekat. Kita perlu sentiasa beringat, bahawa pihak musuh sentiasa mencari helah untuk menyerang minda dan cara menilai kita. Inilah yang dipanggil Ghazwul Fikri yang boleh merosakkan nikmat kemerdekaan.
Justeru sebagai ibu bapa bewaspadalah, awasi ahli keluarga terutama anak-anak remaja kita.
Kedua: Merdeka Budaya
Merdekakah kita sekiranya penjajahan masih berlaku dalam budaya hidup? Masyarakat kita masih belum bebas daripada berpakaian gaya penjajah, yang mencolok mata dan aurat yang terbuka. Jika ditanya, mereka mengatakan ia fesyen dan gaya. Fabrik yang kurang sesuai menyebabkan pakaian menjadi terlalu ketat hingga menampakkan bentuk dan anggota badan, warna kulit dan pakaian dalam. Begitu juga, Islam sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan. Amalkanlah budaya hidup sihat dengan menjaga kebersihan, pemakanan yang seimbang dan beriadah.
Kawal nafsu makan kerana ia boleh mengundang pelbagai penyakit yang merosakkan tubuh badan. yang Allah SWT amanahkan kita menjaganya. Islam juga menganjurkan penjagaan diri melalui puasa, solat, dan amalan-amalan yang memelihara keseimbangan keperluan jasmani dan rohani.
Hindari penyalahgunaan dadah, minuman keras dan perbuatan maksiat. Ingatlah, mengawal diri dari perkara haram adalah sebahagian daripada usaha mencapai kemerdekaan fizikal. Melalui Surah Yaasin ayat 65 Allah SWT tegas mengingatkan:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ(٦٥)
Maksudnya: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan yang dilakukan), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”
(Surah Yasin 36:65)
Ketiga: Merdeka Jiwa
Merdeka jiwa berlaku pada seseorang yang hanya mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dan bebas dari ketergantungan kepada makhluk lain atau hal-hal duniawi. Ia lahir melalui ketaatan dan penghayatan terhadap ajaran agama. Lalu lahirlah kekuatan iman yang memberikan ketenangan jiwa dan ketabahan dalam menghadapi segala cabaran hidup.
Iman memerdekakan jiwa daripada penjajahan sifat-sifat mazmumah seperti bersangka buruk, iri hati, dendam dan terlalu cintakan dunia. Justeru, bersihkanlah hati dengan bermujahadah melazimi sifat-sifat mahmudah.
Percayalah kemerdekaan jiwa ini akan menganugerahkan ketenangan hidup dan keampuhan melazimi kebaikan. Inilah gambaran hati manusia yang telah merdeka selaras hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Nu’man bin Basyir radiallahuanhu;
Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ini ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ingatlah, itulah hati.”
Inilah kemerdekaan sebenar. Dengan kemerdekaan minda, kita mampu menepis propaganda yang menggugat keharmonian negara dengan bijaksana. Kita mampu menjadikan kekacauan dan konflik di negara asing sebagai pengajaran paling berharga. Dengan kemerdekaan budaya, kita berupaya mencorak jati diri dan bangsa, membina semangat patoritisme dan cintakan negara untuk membentuk masyarakat yang harmoni, progresif dan berjaya. Dengan jiwa merdeka kita dapat hidup secara aman dan harmoni dalam masyarakat yang majmuk di negara tercinta. Kita suburkan perilaku mulia dan sikap hormat menghormati yang menjamin kestabilan negara.
Nilai akhlak digarap lalu menjunjung Islam sebagai model agenda perpaduan nasional yang didukung bersama. Sesuai dengan kemampanan Islam sebagai rahmatan lil alamin, agama bersifat sejagat selayaknya.
Tetamu-tetamu Allah yang berbahagia,
Di penghujung khutbah, khatib ingin berpesan dan menyarankan beberapa tindakan susulan bicara khutbah hari ini;
Pertama: Kemerdekaan sebenar adalah merdeka jiwa. Ia bukti kesyukuran dan pengisian sebenar kemerdekaan sebuah negara.
Kedua: Pelihara nilai kemerdekaan ini. Waspada dengan musuh yang sentiasa mencari peluang merosakkan nilai kemerdekaan yang kita miliki.
Ketiga: Umat Islam perlu tampil sebagai insan-insan berjiwa merdeka. Biar Islam disanjung dan diterima sebagai model perpaduan dan kesejahteraan sejagat.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj, ayat 41:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ (٤١)
Maksudnya: “Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Surah al-Haj 22:41)
Tarikh Bacaan: 25 Safar 1446H/30 Ogos 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment