Sifat Tercela: 5 Kegelinciran Lidah  (Bahagian 2) 

Kegelinciran Lidah 3: Suka Berbantah-Bantah dan Berdebat (Al-Mira’ Wa Al-Mujadalah) 

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Barangsiapa yang meninggalkan perdebatan sedangkan dia berada di pihak yang benar, akan dibina baginya mahligai di dalam syurga yang tertinggi. Barangsiapa yang meninggalkan perdebatan sedangkan dia berada di pihak yang batil, akan dibina baginya mahligai di tepian syurga.”

(Diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Tirmizi dan dia berkata; hadis Hasan)

Dan Nabi  bersabda yang ertinya:

“Seseorang hamba itu tidak dapat menjadi sempurna pada hakikat keimanan sehinggalah dia meninggalkan perdebatan walaupun dia adalah benar.”

(Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dengan sanad yang dhaif.)

Maksud perdebatan itu ialah membalas hujahan terhadap ucapan orang lain dengan menzahirkan kekurangannya sama ada dengan lafaz atau makna. Dan kadangkala pendorong terhadap berlakunya perdebatan ialah kerana ingin meninggi diri dengan menzahirkan kelebihan diri dan sebabnya pula ialah kebodohan yang teruk, dan kadangkala pendorong terhadap perdebatan adalah kerana tabiat kebinatangan (al-sabu’iyyah) yang terdapat dalam tabiat diri yang dijelmakan untuk memperlekehkan orang lain dan mengalahkannya.

 Justeru, suka berbantah-bantah dan berdebat dapat menguatkan kedua-dua sifat buruk ini yang membinasakan. Bahkan wajib bagi seseorang itu untuk membenarkan apa yang dia dengar tentang kebenaran dan berdiam diri ketika mendengar tentang kesalahan, melainkan sekiranya dengan menyebutnya mempunyai faedah agama dan ucapannya dapat didengari oleh orang lain lalu dia mengingatkan orang lain dengan lembut dan bukannya dengan kekerasan.

Kegelinciran Lidah 4: Berlebihan Dalam Bergurau 

Berlebihan dalam bergurau menyebabkan banyak ketawa, mematikan hati, mewariskan sifat dendam, menjatuhkan kemuliaan dan kehormatan. Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Sesungguhnya seorang yang bercakap dengan suatu ucapan bertujuan untuk orang ramai ketawa dengannya, maka akan dicampakkannya ke dalam neraka yang lebih jauh dari bintang-bintang.” (Dikeluarkan oleh Ibn Abi al-Dunya dengan sanad yang hasan dan diriwayatkan oleh al-Syaikhan (Imam al-Bukhari dan Muslim) sepertinya.)

Dan Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Janganlah kamu berdebat dengan saudara kamu dan janganlah kamu mempermainkannya.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dia berkata; hadis gharib.) 

Dan ketahuilah bahawa bergurau dengan kadar sedikit dalam sebahagian waktu adalah tidak mengapa terutamanya ketika bersama dengan isteri dan kanak-kanak bagi menggembirakan hati mereka.

Dikisahkan tentang perkara ini daripada Rasulullah SAW namun baginda bersabda yang ertinya:

“Sesungguhnya aku bergurau dan tidaklah aku bercakap melainkan yang benar.”

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi dengan lafaz yang hampir dan dia berkata; hadis hasan sahih.)

Dan tidak semudah itu bagi orang lain mengikut kaedah yang dilakukan oleh baginda nabi SAW. Dan sesungguhnya diriwayatkan bahawa baginda pernah bersaing dengan ‘Aishah dalam berlumba lari. (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah.)

Nabi  pernah berkata kepada seorang wanita tua yang ertinya: “Orang tua tidak akan masuk syurga.”(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan telah disebut dalam takhrij terdahulu.) Iaitu tidak akan menjadi tua orang yang masuk syurga. 

Dan nabi  pernah bertanya kepada seorang kanak-kanak yang ertinya: “Wahai bapa ‘Umair, apa yang dilakukan oleh alNughair?” (Muttafaqun ‘Alaih.) Al-Nughair ialah anak burung merpati yang menjadi mainan kanak-kanak tersebut. Dan Nabi  pernah berkata kepada Suhaib ketika dia sedang makan tamar yang ertinya: “Adakah kamu makan tamar sedangkan kamu sakit mata? Lalu beliau menjawab; Aku makan pada bahagian lain, lalu Rasulullah pun tersenyum.” (Diriwayatkan oleh Ibn Majah, al-Hakim dan perawi-perawinya adalah thiqah.) 

Justeru, inilah dan seumpamanya contoh-contoh yang termasuk dalam gurauan yang dibolehkan dengan syarat perbuatan ini tidak dilakukan sebagai suatu kebiasaan. 

Kegelinciran Lidah 5: Berlampauan Dalam Pujian 

Sebagaimana yang berlaku kepada kebiasaan orang ramai ketika menziarahi golongan pembesar dan pemerintah yang mempunyai pangkat dan kerabat yang merupakan anak-anak dunia (al-Muhtasyimin) serta sebagaimana yang berlaku kepada kebiasaan golongan tukang cerita (al-Qussas) dan pemberi peringatan (al-Muzakkir) yang memuji orang-orang kaya yang hadir di dalam majlis-majlis mereka. 

Terdapat enam penyakit dalam pujian. Empat penyakit berlaku kepada orang yang memuji manakala dua penyakit berlaku kepada orang yang dipuji. 

Pertama: Sesungguhnya seseorang itu berlebih-lebihan dalam memuji maka dia menyebutnya dengan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap orang yang dipuji. Maka dia telah menjadi seorang pendusta. 

Kedua: Seseorang itu menzahirkan kecintaan terhadap orang yang dipuji dengan perkara-perkara yang dia sendiri tidak menyakininya. Maka dia telah menjadi seorang munafiq dan riya’. 

Ketiga: Seseorang itu memperkatakan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti, Maka dia menjadi seorang yang tergesa-gesa seperti kata-katanya; “Sesungguhnya dia seorang yang adil, Sesungguhnya dia seorang yang wara’,” dan lainlain lagi ucapan yang seseorang itu sendiri tidak pasti. Pernah seorang lelaki telah memuji seseorang di hadapan Rasulullah SAW lalu baginda bersabda yang ertinya: “Celaka kamu, kamu telah memotong leher sahabat kamu, Sekiranya seseorang itu ingin memuji saudaranya maka hendaklah dia berkata; Aku menyangka si fulan seorang yang….dan bukanlah aku memujinya sebagai orang yang suci di sisi Allah. Allah lah sebagai penghitungnya sekalipun seseorang itu memang mengetahui tentang perihal saudaranya.”(Muttafaqun ‘Alaih daripada hadis Abi Bakrah yang seumpamanya dan diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi al-Al-Dunya) 

Keempat: Seseorang itu menggembirakan orang yang dipujinya. Boleh jadi orang yang dipujinya itu seorang yang zalim, maka dia telah melakukan maksiat dengan memasukkan kegembiraan dalam hatinya. Nabi  bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya Allah murka apabila dipuji orang yang fasiq.” (Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi dengan sanad yang dhaif.) Al-Hasan telah berkata; “Barangsiapa yang menyeru kepada orang fasiq untuk terus kekal dengan kefasiqannya, maka sesungguhnya dia lebih suka untuk melakukan maksiat.” 

Justeru, orang yang zalim dan fasiq sepatutnya dicela agar dia terputus keinginannya terhadap kezaliman dan kefasiqan. 

Adapun bagi orang yang dipuji, salah satu penyakit hati yang akan terkena padanya ialah: 

Kelima: Orang yang dipuji akan berlaku dalam dirinya sifat sombong atau berasa takjub dengan diri sendiri sedangkan kedua-duanya adalah perkara yang membinasakan. Oleh sebab itu, nabi  bersabda yang bermaksud: “Kamu telah memotong leher sahabat kamu.”

Keenam: Orang yang dipuji akan berasa gembira dengan pujian terhadapnya lalu menyebabkan dia menjadi lemah untuk beramal dan redha dengan keadaan dirinya yang dipuji. Nabi SAW bersabda yang ertinya: “Sekiranya seseorang itu berjalan kepada orang lain dengan membawa pisau yang tajam lebih baik daripada dia memuji orang tersebut di hadapannya.” (Imam al-‘Iraqi berkata; Aku tidak mendapati asal bagi sanad hadis ini. Imam al-Zabidi tidak menyatakan komentarnya dalam al-Ithaf.)

Sekiranya sesuatu pujian itu terselamat daripada penyakit-penyakit ini terhadap orang yang memuji dan orang yang dipuji, maka tidak mengapa pujian tersebut bahkan disunatkan memujinya. 

Nabi SAW bersabda yang ertinya: “Sekiranya ditimbang Iman Abu Bakr berbanding dengan Iman sekalian alam nescaya berat lagi timbangan Iman Abu Bakr.” (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dan al-Dailami daripada hadis Ibn ‘Umar dengan sanad yang dhaif. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman secara mauquf setakat ‘Umar dengan isnad yang sahih)

Nabi SAW bersabda yang ertinya: “Sekiranya bukan aku yang diutuskan sebagai rasul, nescaya kamulah wahai Umar yang akan diutuskan sebagai rasul.” Dan sesungguhnya Rasulullah  memuji ramai dalam kalangan sahabat kerana baginda mengetahui bahawa pujian beliau akan menambahkan kesungguhan mereka dan tidak mewariskan rasa takjub dengan kelebihan diri. (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dan al-Dailami daripada hadis Ibn ‘Umar dengan sanad yang dhaif. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman secara mauquf setakat ‘Umar dengan isnad yang sahih.)

Bagaimana seorang yang dipuji untuk selamat? Orang yang dipuji wajib untuk meneliti akan bahaya penghujung daripada pujian, perincian riya’, penyakit amalan dan mengingati apa-apa yang dia ketahui tentang keburukan batin dalam dirinya terutama apaapa yang terdapat dalam fikirannya. 

Sekiranya orang yang memujinya mengetahui tentang perkara-perkara tersebut nescaya orang tersebut akan menahan pujiannya. Justeru, seharusnya orang yang dipuji menzahirkan tidak suka terhadap pujian dan membencinya di dalam hati. Perkara ini diisyaratkan dengan sabda nabi yang ertinya: “Taburkanlah tanah ke atas muka orang yang memuji.” (Diriwayatkan oleh Imam Muslim) 

Dan sebahagian daripada para sahabat ketika dipuji mereka membaca doa:

اللهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ بِي مِنْ نَفْسِي، وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِي مِنَ النَّاسِ، اللهُمَّ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”

Dalam riwayat yang lain, terdapat tambahan lafaz:

وَاجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.

(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman 4524 dan 4534)

Sumber: 10 Asas Penyucian Hati oleh PMWP

Sifat Tercela: 5 Kegelinciran Lidah (Bahagian 1)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑