Sifat Tercela: Marah 

Ketahuilah bahawa marah itu adalah nyalaan api yang diambil daripada api Allah yang dinyalakan, yang dapat membakar sehingga sampai ke hati. Dan barangsiapa yang hatinya dikuasai dengan perasaan marah, sesungguhnya hatinya telah bersegera ke saluran syaitan. 

Sesungguhnya syaitan adalah makhluk yang diciptakan daripada api. Dan menahan diri daripada marah berlebihan adalah termasuk daripada perkara penting dalam agama. 

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Bukanlah orang yang kuat itu adalah orang hebat dalam berlawan. Sebaliknya orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”

(Muttafaqun ‘Alaih) 

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Marah itu dapat merosakkan iman sebagaimana cuka itu dapat merosakkan madu.”

(Diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan al-Baihaqi dengan sanad yang dhaif) 

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Tidaklah seseorang itu marah melainkan hanya mendekatkan dirinya dengan neraka jahannam.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Bazzar dan Ibn ‘Adi dengan isnad yang dhaif) 

Dan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah, apakah perkara yang paling dahsyat? Rasulullah menjawab: Kemurkaan Allah. Lalu lelaki itu bertanya lagi; Justeru, apakah yang dapat menyelamatkanku daripada kemurkaan Allah? Nabi menjawab: Hendaklah kamu tidak marah.”

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn ‘Abd al-Bar dan Ibn Hibban menghukum hadis ini sebagai sahih.) 

Dan pernah seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW ;

“Perintahkanlah aku dengan suatu amal yang aku perlu kurangkan? Nabi  bersabda: Janganlah kamu marah.”

(Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan al-Tirmizi) 

Bagaimana tidak diambil berat mengenai penyakit marah sedangkan marah itu boleh membawa kepada penyakit zahir iaitu memukul, mencela dan mengumpat serta penyakit batin iaitu iri hati, hasad, menzahirkan keburukan, gembira dengan musibah yang menimpa orang lain, suka menyebarkan rahsia, membuka keaiban yang terselindung, seronok dengan musibah yang menimpa orang yang dibencinya serta berdukacita dengan nikmat yang diperolehi oleh orang lain. 

Justeru, setiap satu daripada sifat-sifat buruk ini adalah suatu kebinasaan. 

Mengubati Sifat Marah 

Terdapat dua tugas bagi kamu sekiranya ingin mengubati sifat marah: 

Pertama: Mematahkannya dengan cara latihan. Dan bukanlah maksud saya mematahkan itu ialah dengan membuangnya kerana sifat ini tidak dapat dihilangkan sepenuhnya dan tidak harus untuk dilenyapkan. Bahkan sekiranya sifat marah ini lenyap daripada seseorang wajib untuk dia mendapatkannya kembali.

Hal ini kerana marah itu adalah alat berperang dengan orang-orang kafir, mencegah kemungkaran dan memperbanyak amalan kebaikan.

Sifat marah itu ibarat seperti anjing pemburu. Latihan tersebut hanya diperlukan untuk menjinakkan sifat marah sehingga tunduk kepada akal dan syara’. Maka sifat marah itu hanya akan bangkit dengan arahan akal dan syara’ dan akan tenang dengan arahan kedua-duanya serta sesekali tidak akan menyalahi kedua-duanya sebagaimana akurnya anjing pemburu terhadap tuannya.

Kesemua ini boleh terjadi dengan melawan nafsu (mujahadah) iaitu dengan membiasakan diri dengan sifat penyantun dan menanggung dengan penuh sabar ketika terdedah kepada perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan. 

Kedua: Mengawal sifat marah ketika ia memberontak dengan menahan diri dengan diam tanpa bicara dan dibantu dengan panduan ilmu dan amal.

Adapun panduan ilmu: Seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa tiada sebab untuk marah melainkan dia mengingkari terhadap sesuatu yang telah ditetapkan mengikut kehendak Allah yang sememangnya bukan mengikut kehendaknya sendiri. Dan perkara ini merupakan kemuncak kejahilan. 

Di samping itu, seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa kemurkaan Allah ke atasnya adalah lebih besar daripada kemarahannya atas sesuatu. Sesungguhnya kemuliaan Allah adalah sangat besar sedangkan berapa ramai orang yang telah berbuat maksiat dan menyalahi perintahNya. 

Justeru kenapa seseorang itu hendak marah kepada Allah sekiranya orang lain menyalahi perintahnya. Dan segala perintahnya kepada hamba, ahli keluarga dan teman-temannya tidaklah menjadi lebih wajib dipatuhi berbanding perintah Allah ke atas dirinya.

Adapun panduan amal: Seseorang itu hendaklah membaca: 

أعوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

Ertinya: “Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.” 

Hal ini kerana dia mengetahui punca kemarahan itu adalah datang daripada syaitan. Sekiranya dia masih tidak tenang, maka hendaklah dia duduk sekiranya dia masih berdiri ketika marah. Dan hendaklah dia berbaring sekiranya dia masih dalam keadaan duduk ketika marah. Hal ini adalah berdasarkan hadis.

(Diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi al-Dunya dengan isnad yang sahih suatu hadis dengan makna tersebut. Dan Imam Ahmad turut meriwayatkannya dalam Musnadnya dan demikian juga Abu Daud dan Ibn Hibban)

Perubahan kedudukan postur seseorang itu memberi kesan kepada proses untuk bertenang. Sekiranya seseorang itu masih belum tenang maka hendaklah dia mengambil wudhu’.

Nabi SAW  bersabda yang ertinya:

“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api. Sementara api akan dapat dipadamkan dengan air. Sekiranya salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwudhu’.”

(Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Ahmad dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir.) 

Nabi SAW bersabda yang bererti:

“Sesungguhnya marah itu adalah batu api di dalam hati anak Adam. Tidakkah kamu melihat kepada merahnya mata dan membengkaknya urat orang yang marah. Sekiranya kamu mendapati keadaan tersebut berlaku, maka pukullah pipinya dengan tanah.”

(Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan dia berkata; hasan sahih) 

Perkara ini adalah memberi isyarat dengan meletakkan anggota yang paling mulia iaitu muka kepada tempat yang paling hina iaitu tanah bagi mematahkan sifat sombong yang merupakan sebab besar berlakunya marah. Di samping itu perkara ini juga memberi isyarat bagi menyedarkan bahawa seseorang itu adalah hamba yang hina maka tidak layak untuk sombong. 

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: 

“Sesungguhnya seorang yang penyabar dan pemaaf itu dapat mencapai darjat orang yang mendirikan malam dengan ibadah dan berpuasa. Dan sesungguhnya akan ditulis baginya sebagai orang yang perkasa terhadap apa yang dimilikinya melainkan kepada ahli keluarganya.”

(Diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dengan sanad dhaif dan diriwayatkan juga oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah) 

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Barangsiapa yang dapat menahan kemarahan ketika mana sekiranya dia ingin melepaskannya dia mampu melakukannya, nescaya Allah akan memenuhkan hatinya pada hari kiamat dengan penuh keamanan dan keimanan.”

(Diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi al-Dunya dengan isnad yang dhaif dan Imam al-Tirmizi meriwayatkan seumpamanya dengan sanad yang hasan)

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Tiada suatu tegukan yang paling disukai Allah melainkan tegukan kemarahan yang ditahan oleh seorang hamba. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah akan memenuhkan dadanya dengan iman.”

(Diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi al-Dunya dan pada hadisnya dhaif. Dan terdapat hadis-hadis dalam kitab-kitab Sahih tentang perihal menahan kemarahan) 

Sumber: 10 Asas Penyucian Hati oleh PMWP 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑