أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ (١٣٤)
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”
(Surah Ali Imran 3:134)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Batasi Nafsu Hindari Marah”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Marah merupakan salah satu sifat mazmumah dan cabang nafsu yang wujud dalam diri manusia. Sebagai orang yang beriman, kita dituntut untuk mengawal nafsu daripada merosakkan hati dan iman. Sering kali manusia melakukan dosa akibat tidak dapat mengawal nafsu dan api kemarahan namun kita perlu berusaha mengurus sifat marah. Begitu juga, keperluan nafsu dalam kehidupan terkait dengan urusan kehidupan seharian seperti makan, minum dan berkahwin. Nafsu marah yang tidak terkawal akan mendatangkan perbuatan keji seperti menyakiti dan memukul orang, mengeluarkan kata-kata kesat termasuk dalam bentuk tulisan seperti memfitnah, mencaci maki, bercakap kotor dan pelbagai bentuk perbuatan termasuk mencederakan orang lain.
Sifat marah hanya dapat dibendung dengan mempraktikkan sifat sabar dalam urusan kehidupan. Namun begitu, sabar dalam keadaan marah bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan ketahanan dan keteguhan iman bagi merasionalkan emosi yang agresif dan pemikiran yang kusut. Hadis daripada abu Sa’id al-Khudri Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya marah itu adalah batu api di dalam hati anak Adam”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Tetamu Allah SWT yang dikasihi sekalian,
Sejak akhir-akhir ini, kita digemparkan dengan pelbagai kes jenayah tragis yang dilaporkan sama ada di dada-dada akhbar atau di media-media sosial. Beberapa siri kejadian jenayah bunuh yang membimbangkan masyarakat berlegar dalam info-info media sosial. Terserlah perbuatan kejam yang bertentangan dengan norma dan akal waras manusia. Ia dilakukan oleh si pelaku yang mengikut kehendak nafsu jahat dan gagal mengawal marah yang membelenggu diri. Siri kejadian yang berlaku dan berulang menjadikan kita berfikir dan merenung jauh ke dalam diri, dimanakah hilangnya sifat ihsan dan perikemanusiaan hingga hilang pertimbangan dan rasa belas kasihan terhadap sesama insan. Sedangkan Rasulullah SAW menegaskan agar umatnya hendaklah sentiasa berkasih sayang sesama manusia dan kepada makhluk lain.
Hadis daripada Abdullah bin ‘Amru Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit”.
(Riwayat at-Tirmizi)
Hakikatnya, kita mengetahui setiap kekejaman adalah salah dari segi moral dan agama namun perbuatan tersebut dilihat gagal dibendung dan dikekang dalam masyarakat serta merosakkan nilai kemanusiaan sejagat. Apa pun alasan sipelaku yang membunuh jiwa seseorang tanpa hak tetap berdosa dan ianya termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Mereka perlu bertaubat bersungguh-sungguh dengan kembali taat kepada Allah SWT dan perlu menyesal atas perbuatan dosa yang dilakukan serta memohon keampunan Allah SWT. Begitu juga, Allah SWT mengancam orang-orang yang melakukan dosa dan melampaui batas itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat 14:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُۥ يُدْخِلْهُ نَارًا خَـٰلِدًۭا فِيهَا وَلَهُۥ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ(١٤)
“Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
(Surah Al-Nisa’ 4:14)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Tidak dinafikan, kadangkala perbuatan dan tindakan di luar kawalan manusia berpunca dari nafsu marah yang membuak-buak sehingga menjadi dendam kesumat. Selain itu, tekanan emosi yang tidak stabil serta terpedaya dengan belitan bisikan syaitan yang menyesatkan mengajak melakukan perkara kemungkaran. Ini kerana, manusia yang mengikut telunjuk nafsu marah lebih mudah terperangkap dan terpedaya dengan godaan nafsu untuk melakukan sesuatu perbuatan diluar batasan.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berilah wasiat kepadaku. Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu marah, beberapa kali, kemudian Nabi bersabda lagi: Jangan kamu marah” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah SWT, kita perlu membatasi nafsu dan hindari marah dengan mentaati perintah dan larangan Allah SWT. Setiap manusia perlu merawat kepelbagaian penyakit jiwa.
Maksud penyakit jiwa bukanlah penyakit mental namun penyakit hati. Ianya sifat-sifat mazmumah yang membelit dan melingkari hati seperti dendam, hasad, marah, iri hati dan sebagainya. Bahkan, penyakit mazmumah adalah punca utama dan penyebab kepada penyakit lahiriah. Ini bermaksud, jika penyakit jiwa dan fikiran dapat dirawat maka sudah pasti penyakit lahiriah juga akan dapat dirawat.
Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ(٥٣)
Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.””
(Surah Yusuf 12:53)
Seterusnya dekatilah al-Quran dalam urusan kehidupan seharian. Jadikan al-Quran sebagai teman dalam setiap urusan kehidupan. Ini kerana, membaca al-Quran adalah satu keutamaan kerana golongan yang mencintai al-Quran dijanjikan pelbagai kelebihan dan hikmah tersirat yang tiada tandingan. Melalui penghayatan dan tadabbur al-Quran jiwa menjadi tenang dan damai, hati dan fikiran juga dididik dan dijentik tentang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, tentang kewujudan syurga, neraka dan perkaraperkara ghaib yang lain. Pada tahap ini, iman mula bercambah menusuk ke dalam jiwa dan hati orang Mukmin berteraskan kepada ilmu wahyu dan kalam ilahi.
Hadirin yang berbahagia,
Belajarlah dan berusaha sedaya upaya untuk menahan dan mengawal nafsu marah. Ini kerana, ianya merupakan satu sikap dan amalan terpuji serta dituntut oleh Allah SWT. Realitinya, kita tidak mampu menahan marah atas ujian yang kecil mahupun besar. Kadang-kala, apabila muncul ujian, menahan marah dalam diri sukar untuk dipraktikan meskipun pada perkaraperkara yang remeh. Sebagai orang beriman, kita perlu sedari dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengawal nafsu marah. Ini kerana, sikap menahan marah mendidik diri bertenang dan menyesuaikan perubahan diri akibat emosi dan tekanan yang sedang membelenggu diri.
Ketahuilah, proses menahan marah bukanlah suatu perkara yang mudah, ia memerlukan kesungguhan secara istiqamah dan bersabar dengan ujian kehidupan.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Terdapat kesan besar kepada individu, komuniti dan masyarakat akibat daripada perbuatan dan tindakan diluar batasan nafsu marah. Bagi individu sipelaku yang dikenakan hukuman sudah pasti akan menyesali tindakan perbuatannya dan merana sepanjang hidup serta dihantui perasaan bersalah sepanjang hayat ibarat menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tiada gunanya. Dari sisi lain, orang yang rapat dengan si pelaku dalam kalangan ahli keluarga, rakan taulan dan masyarakat setempat akan menerima kesannya. Ahli keluarga akan dibayangi dengan perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat. Ini semua kesan jangka panjang terhadap perbuatan dan tindakan melampau selama beberapa detik namun memusnahkan seluruh kehidupan.
Justeru, sebagai orang beriman kita perlu menjadi individu yang bertimbang rasa dan bersabar meskipun kadang-kala menempuh situasinya yang sukar untuk menenangkan hati kita hingga dapat mendidik jiwa menjadi muslim yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, rawatlah kepelbagaian emosi marah, sedih, duka, takut, gembira dan kecewa dengan memperteguhkan iman dan tauhid, menyemai sifat sabar dalam hati, tingkatkan amalan kebaikan dan istiqamah mengerjakan solat secara berjemaah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 277 bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Pada mereka tidak ada kekhuatiran dan tidak (pula) mereka bersedih hati”
(Surah al-Baqarah 2: 277)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah SWT mencintai dan mengasihi hamba-Nya yang berkasih sayang dan berbelas ihsan sesama insan dan kepada makhluk lain.
2. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa sifat marah merupakan salah satu cabang nafsu yang berada dalam diri manusia yang boleh merosakkan hati dan iman.
3. Umat Islam hendaklah menghindari daripada mengikut telunjuk nafsu marah kerana ianya lebih mudah terperangkap dan terpedaya dengan godaan untuk melakukan sesuatu tindakan dan perbuatan yang di luar batasan.
Tarikh Bacaan: 2 Rabiulawal 1446H/6 September 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment